MalayEnglish (UK)

Fokus dan Percaya Diri Kunci Kejayaan Ikon Alumni UMS

 

FOKUS DAN PERCAYA DIRI, KUNCI KEJAYAAN IKON ALUMNI UMS

Published: Wednesday, 8 November 2017

 

4

 

 Fokus dan tetap percaya dengan matlamat yang ingin dituju perlu ada dalam diri untuk terus maju ke hadapan.

 Jangan sesekali mudah berputus asa dan hilang tumpuan walau pun ada masyarakat di sekeliling yang kurang menaruh keyakinan.

 Demikianlah kunci utama graduan berkelulusan Sains Akuakultur di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Jubair Juhinin, ketika  memulakan pusat pelancongan Arnab Village yang menjadikan Kampung Purakagis, Ranau antara destinasi popular bagi  pengunjung yang datang ke Kundasang, Ranau.

 Pada awalnya, usaha beliau untuk memajukan pusat pelancongan perkampungan arnab dipandang sinis oleh sesetengah  pihak sehingga pada suatu ketika, beliau hampir berundur, namun dengan semangat yang ada serta kemahuan untuk  mencuba sesuatu yang lain dari kebiasaan akhirnya membuahkan hasil dan kini tersenyum lebar dengan meraih pulangan  sehingga RM300,000 setahun.

 Terletak 104 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, ternyata anak sulung dari tiga beradik itu telah berjaya menambah  satu lagi produk pelancongan di Ranau yang sebelum ini masyhur dengan destinasi pelancongan seperti Taman Kinabalu,  Ladang Teh Sabah, Kolam Air Panas Poring dan Tagal Ikan di Kampung Luanti. 

 Walaupun hanya bermodalkan kurang daripada RM5,000 dengan fasiliti dan landskap persekitaran pada tahap yang  minimum, beliau tetap optimis produk pelancongan yang dibangunkan di atas tanah 0.2 hektar itu mampu memberi  pulangan.

 “Kini kawasan Arnab Village dinaik taraf dari segi kemudahan awam seperti tandas, selain kami juga menambah keluasan  taman, kandang arnab dan menyediakan kedai cenderahati,” katanya sambil memaklumkan harga tiket masuk bagi  pengunjung tempatan ialah RM3 (kanak-kanak) dan RM5 (dewasa) manakala bagi pengunjung antarabangsa  pula RM5 (kanak-kanak) dan RM10 bagi dewasa.

 Atas kejayaan yang dikecapi itu, Jubair merupakan salah seorang dari antara puluhan ribu alumni UMS yang terpilih dan  diiktiraf sebagai Ikon Alumni UMS.

Sumber: Salbinous Saribun

 

i1i2i3i4i5i6i7i8i9

 


PUSAT ALUMNI, Aras 1, Bangunan Anjung Siswa, Universiti Malaysia Sabah, Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia | Phone: (+6088) 320000 Samb. 4165/4223, Fax : (+6088) 320202, Inquiry:alumni@ums.edu.my

Kami mempunyai 6 pengunjung dan tiada ahli dalam talian