| BENGKEL
SPTA BANTU MANTAPKAN KURIKULUM DAN SILIBUS
Selaras
dengan usia Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa (SPTA) yang akan
menjangkau tujuh tahun pada sesi hadapan, satu bengkel untuk menilai
semula prestasi Sekolah dari segi kurikulum dan silibus telah diadakan
di Shangri-la’s Rasa Ria Resort, Kota Kinabalu pada 28 hingga
31 Januari 2004.
Timbalan
Naib Canselor (Akademik), Profesor Dr. Mohd. Zahedi Daud yang telah
merasmikan bengkel tersebut amat mengalu-alukan penganjuran bengkel
sedemikian bagi membantu memantapkan lagi kurikulum dan silibus yang
sedia ada. Beliau
turut meminta pihak SPTA supaya bersedia untuk membincangkan juga
kursus-kursus yang perlu diwujudkan sekiranya program pengajian prasiswazah
dipanjangkan ke empat tahun.
Pihak
SPTA juga disarankan untuk mengambil maklum tentang kehendak dan keperluan
sektor industri perhutanan semasa membincangkan kurikulum serta silibus
dan seterusnya berusaha dengan gigih ke arah menjadikan UMS sebagai
sebuah universiti penyelidikan.Bengkel
ini telah diselenggarakan bersama diantara SPTA dengan GTZ (Deutsche
Gessellschaft für Technische Zusammenarbeit) dibawah projek ‘’Malaysian-German
Forestry Education Project” (MGFEP) yang telah mula berfungsi
pada 1 Julai 2003.
Projek
MGFEP ini akan berjalan selama enam tahun dan bertujuan untuk membantu
SPTA dalam aspek-aspek akademik. Bagi membimbing perbincagan di Bengkel
tersebut, pihak GTZ telah megundang Dr. Ulrich Gärtner, Pengarah
Urusan, AMI Asian Management Institute Ltd., Bangkok.
Bengkel yang turut mengambil kira pergolakan masa kini terutama sekali
mengenai perubahan dan pembaharuan dalam sektor perhutanan dan industri
kayu-kayan dalam penilaian tersebut telah dihadiri oleh seramai 25
peserta yang terdiri daripada pensyarah, tutor dan tiga orang wakil
GTZ.
|
| IPMB
ANJUR “SEMINAR: MARINE AND COASTAL REMOTE SENSING APPLICATION
USING OPTICAL AND RADAR DATA”
Institut
Penyelidikan Marine Borneo (IPMB) dengan kerjasama Pusat Remote Sensing
Malaysia (MACRES) telah menganjurkan “Seminar: Marine And Coastal
Remote Sensing Application Using Optical And Radar Data” yang
telah diadakan di Auditorium Perpustakaan UMS pada 26 Januari 2004.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (HEP), Prof.
Datuk. Dr. Mohd. Noh Dalimin yang mewakili Naib Canselor UMS.
Prof.
Tony Milne dari University of South Wales dan Dr. Ian Tapley dari
Commonwealth Scientific Industrial & Research Organisation (CSIRO)
yang merupakan dua orang pakar dari Australia telah dijemput sebagai
penceramah jemputan dalam seminar ini.
Para
peserta terdiri daripada kakitangan akademik Sekolah Sains Sosial
(SSS), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), IPMB, badan
kerajaan dan swasta serta pelajar tahun satu program Sains Marin.
Turut hadir ialah Pengarah MACRES, Dato’ Prof. Nik Nasaruddin
Mahmood selaku pengerusi sesi perbincangan panel bertajuk ‘Implementation
Strategies for Marine and Coastal Remote SensingProgramme in Sabah”
pada penghujung seminar tersebut.
|
| |
| SEKOLAH
PERUBATAN UMS ANJUR BENGKEL KLINIKAL Sekolah
Perubatan (SPU) UMS telah mengadakan Bengkel Klinikal pada 6 hingga
8 Februari yang lalu. Majlis ini telah dirasmikan oleh, Pengarah Pusat
Pengurusan Penyelidikan dan Persidangan UMS, Prof. Dr. Zainodin Hj.
Jubok yang mewakili Tan Sri Prof. Naib Canselor UMS.
Bengkel
ini yang telah dihadiri oleh kakitangan akademik SPU dan pakar perunding
telah membincangkan secara terperinci kurikulum Tahun Klinikal sekolah
berkenaan.
Dua orang
penceramah telah dijemput iaitu Prof Dr. Zabidi Azhar Mohd. Hussin,
pakar pediatrik yang juga Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM
dan Prof. Dr. Khoo Ee Ming, pakar perunding Perubatan Keluarga Pusat
Perubatan Universiti Malaya (UMMC).
Idea
dan cadangan daripada para penceramah serta peserta bengkel yang rata-rata
amat berpengalaman dalam merangka kurikulum Tahun Klinikal telah dapat
memberikan sumbangan yang amat memberangsangkan di dalam membantu
pembangunan Sekolah Perubatan UMS.
Kurikulum
ini akan diikuti oleh pelajar kumpulan pertama sekolah ini yang dijangka
akan memasuki Tahun Klinikal pada pertengahan tahun 2005. Turut menyertai
bengkel ini adalah pakar perunding perubatan Hospital Queen Elizabeth
Kota Kinabalu, Dr Jayaram Menon.
|
| KEMPEN
PENJIMATAN ELEKTRIK MENCAPAI SASARAN
Pada
akhir bulan Jan 2004, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP)
sebagai pemantau implimentasi Kempen Penjimatan Fasa 1 telah mendapati
kadar penjimatan telah melebihi sasaran sejak bulan Oktober 2003 iaitu
penjimatan 13% daripada penggunaan elektrik sebelum kempen.
Matlamat
kempen ini adalah untuk membangkit kesedaran kepada seluruh warga
kampus untuk berjimat cermat, megurangkan bil UMS sekurang-kurangnya
10%, meningkatkan rasa “Sayang UMS” dan rasa kepunyaan
seluruh warga kampus, menggalakkan penggunaan utiliti secara terancang
dan terkawal oleh setiap jabatan di UMS, mengadakan ‘ Pertandingan
Pengurusan Utiliti Terbaik UMS’ di antara semua Jabatan dan
memastikan penggunaan utiliti di UMS tidak disalahgunakan untuk tujuan
peribadi.
Kempen
yang telah dilancarkan oleh Naib Canselor UMS, Tan Sri Prof. Datuk
Seri Panglima Dr. Abu Hassan Othman, pada 4 Jun 2003 lepas mendapati
bahawa pada akhir Jan 2004, iaitu selepas 7 bulan pertama kempen ini
berjalan, prestasi penjimatan adalah kekal kepada purata bulanan 10
Peratus atau RM 67,276.
Analisis
yang dibuat menunjukkan bahawa pada bulan Jun 2003, jumlah penggunaan
adalah RM 672, 764.00 dan sebulan selepas itu penurunan kecil berlaku
di mana hanya 0.6% atau RM4, 113.00 sahaja. Penurunan berlaku perlahan-lahan
dan sehinggalah pada bulan Oktober 2003 berlaku penurunan sebanyak
13% iaitu telah mencapai sasaran kempen ini.
Jika
dilihat secara kasar, perbezaan penggunaan elektrik sebelum dan selepas
kempen ini dilancarkan adalah bertambah tinggi kerana pertambahan
bangunan Universiti Fasa 2A. Walau bagaimanapun jika diteliti secara
terperinci penggunaan elektrik setiap bangunan adalah 70 % disebabkan
oleh sistem penghawa dingin. Oleh itu, faktor utama yang membantu
dalam penjimatan ini adalah penjadualan kuliah yang optimum di mana
mengurangkan jumlah jam operasi sistem penghawa dingin. Pemantauan
terhadap penggunaan Sistem ini akan memberi kesan penjimatan yang
ketara.
Melalui
kempen ini, dilihat bahawa pengguna semakin peka kepada bentuk-bentuk
pembaziran yang berlaku di sekitar bangunan masing-masing seperti
lampu iaitu ada yang akan mematikan lampu pejabat pada waktu rehat
jam 1.00 hingga jam 2.00 petang.
Ini menunjukkan
bahawa tahap kesedaran pengguna semakin mendalam dan diharapkan sikap
ini akan terus ditingkatkan. Oleh itu, warga UMS disarankan agar terus
menyokong dan memantau penggunaan utiliti universiti supaya kejayaan
kempen ini akan dapat ditingkatkan lagi ke tahap yang maksimum.
|
| |
|
KONSERT ORKESTRA UMS PAMER PERSEMBAHAN MANTAP Persembahan
oleh Orkestra UMS, Sekolah Pengajian Seni (SPS) di bawah pimpinan
Dekannya yang juga merupakan pemimpin Orkestra tersebut, Prof. Madya
Abdul Jamal Abdul Hamid dengan 50 orang pemuziknya tidak mengecewakan
para penonton apabila 22 buah lagu dari alunan klasik sehinggalah
ke genre pop dan kontemporari dipersembahkan dengan begitu menakjubkan.
Konsert
Gala : “An Evening with UMS Orchestra” yang telah berlangsung
di Dewan Besar UMS pada 17 Januari 2004 yang lepas telah mendapat
tepukan gemuruh daripada 3,000 penonton yang terdiri daripada pelbagai
lapisan masyarakat bukan sahaja warga kampus UMS malahan juga masyarakat
luar.Menurut
Prof. Madya Abdul Jamal Abdul Hamid, konsert ini diadakan bertujuan
untuk menguji tahap professionalisme pelajar-pelajar muzik UMS kepada
masyarakat luar serta menjana tabung kegiatan pelajar-pelajar Sekolah
Pengajian Seni.
“Konsert
ini juga sebagai pembuka tirai bagi tahun 2004 dan sekaligus memperlihatkan
kepada masyarakat khususnya di Sabah ini tentang keupayaan pelajar-pelajar
SPS dalam mempersembahkan satu produksi muzik yang berkualiti,”
ulas beliau.Antara
tetamu khas yang turut menyaksikan konsert tersebut ialah Naib Canselor
UMS yang juga merupakan penaung Orkestra UMS, Tan Sri Prof. Datuk
Seri Panglima Dr. Abu Hassan Othman serta isteri, Puan Sri Hajah Jamilah
Sudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Yang Berhormat Datuk K.Y.Mustafa,
Pengarah Penyiaran Kawasan Sabah, Datuk Jumat Engson, Ahli Lembaga
Pengarah UMS, Pegawai Utama serta Pegawai-Pegawai Kanan Universiti.
Konsert
ini juga turut menampilkan persembahan istimewa daripada Yang Berhormat
Datuk K.Y. Mustafa yang mendendangkan lagu Flamboyan dan juga persembahan
mantap oleh Puan Sri Hajah Jamilah Sudin dengan lagu kegemarannya
iaitu Taman Firdausi. Kedua-dua persembahan ini diiringi Orkestra
UMS.
Konsert
pada malam itu juga semakin menarik dengan penglibatan tenaga pengajar
SPS dari luar negara iaitu Hyang Hea Suk dari Korea dan Halina Ostojoska
dari Poland yang telah memberi persembahan dengan penuh bertenaga
yang memperlihatkan tahap muzikal yang tinggi sambil diiringi pemain
piano, Dominic Tan. Petikan gitar solo Bunyi Gitar oleh fingerstyle
guitarist, Roger Wang juga turut menambat hati para penonton.
Semua
repertoire yang dipersembahkan telah digubah oleh pensyarah-pensyarah
muzik, antaranya ialah Memory gubahan Agnes Ku Chun Moi, Sigtune,
La Macarena, Pengabadian Cinta dan Mencintai Mu gubahan Prof. Madya.
Abd Jamal Abd. Hamid, Sulam Sembilan gubahan Sahar Sa’di Hashim,
Bunga-bunga Cinta, Siou, Kosorou dan Flamboyan gubahan Andrew Poninting,
Can’t take my eyes of you gubahan Md. Izham Attan, Power of
Love, From This Moment, That The Way It Is dan Bukan Cinta Biasa oleh
Ian Baxter, Taman Firdausi dan One Moment In Time oleh Khairil Anwar
Dean, Akhirnya Kini Pasti, Engkau Bagai Permata, Mission Impossible
dan Corazon Espinado gubahan Mohd. Sahar Adam.
Tidak
dinafikan suatu ketika kelak Orkestra UMS ini akan seiring dengan
orkestra-orkestra professional sama ada dari dalam atau luar negara.
Persembahan yang menakjubkan pada malam tersebut sesungguhnya telah
menyemarakkan nama UMS, bukan sahaja sebagai pusat kecemerlangan pengajaran
dan pembelajaran muzik malah sebagai tempat di mana pemuzik professional
di negara ini bakal dilahirkan. |
| |
| IBTP
ANGGOTAI EKSPEDISI SAINTIFIK MELALAP 2004
Institut Biologi
Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) dengan kerjasama Taman-Taman Sabah
dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) telah menganjurkan
Ekspedisi Saintifik Melalap di kawasan pedalaman Daerah Tenom, Sabah
pada 25 hingga 31 Januari 2004 yang lepas.
Melalap merupakan
salah satu kawasan yang masih belum diterokai status kepelbagaian
biologinya. Oleh yang demikian, ekspedisi yang dijalankan ini secara
langsung bertujuan mengkaji kepelbagaian biologi dan inventori kimia
flora dan fauna, melakukan pemetaan dan memperolehi data bagi maksud
penderiaan jarak jauh, membekalkan peluang kepada penyelidik untuk
merancangkan penyelidikan jangka panjang atau pendek di kawasan ini,
memberi latihan teknik persampelan kepada penyelidik tempatan, melibatkan
komuniti tempatan dalam penyelidikan supaya mereka sedar dan memberi
sokongan kepada usaha pemuliharaan dan juga mendokumentasikan pengetahuan
tempatan yang terdapat di dalam kawasan ini.
Ekspedisi ini
juga merupakan sebahagian daripada Program BBEC (Bornean Biodiversity
Ecosystem Conservation) dan telah disertai oleh 78 orang peserta yang
datangnya dari pelbagai agensi dan institusi pengajian tinggi. Ini
termasuklah Jabatan Mineral dan Geosains Sabah, Pusat Penyelidikan
Perhutanan Sabah (FRC), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia
(KUSTEM), Sekolah Sains dan Teknologi serta Sekolah Sains Sosial,
UMS.
Menurut
Penyelaras ekspedisi ini yang juga merupakan Pensyarah IBTP, Nurhuda
Mansoor, sebanyak 13 spesies katak, 13 spesies mamalia kecil, 7 genus
semut, 59 species burung telah direkodkan sepanjang ekspedisi ini
dan kawasan ini dilihat berpotensi menjadi satu kawasan pelancongan
utama di Sabah pada masa akan datang. |
| |
| MAJLIS
MALAM ANUGERAH KOLEJ KEDIAMAN UMS DISAMBUT MERIAH
Pada setiap penghujung
sesi pengajian, hampir semua kolej kediaman dan persatuan-persatuan
sekolah di UMS mengadakan Majlis Malam Anugerah yang bertujuan untuk
memperingati sumbangan serta memberi penghargaan terhadap ahli yang
telah banyak menabur jasa kepada organisasi masing-masing. Paling
istimewa, di majlis inilah pelajar tahun akhir yang akan menamatkan
pengajian mereka di UMS diraikan. Majlis in dikenali dengan berbagai
nama seperti Malam Penghargaan, Malam Anugerah, Malam Citra Bestri
dan sebagainya.
Di sepanjang bulan
Januari hingga Mac baru-baru ini, program-program sedemikian telah
dianjurkan. Kegigihan serta semangat kerjasama serta kemahiran dalam
berorganisasi pelajar UMS terserlah apabila mutu penganjuran serta
sambutan ahli-ahli amat memberangsangkan. Beberapa buah hotel terkemuka
di ibu negeri telah dipilih sebagai tempat berlangsungnya majlis-majlis
berkenaan termasuklah Hyatt Regency, Pacific dan Magellan Sutera Resorts
and SPA, Karambunai Resort, Hotel Promenade, Hotel Tang Dynasty dan
Hotel Beverly. Kemeriahan Program Makan Malam ini diserikan lagi dengan
kehadiran para pemimpin Negeri Sabah serta lain-lain orang kenamaan
di majlis-majlis tersebut bagi merasmikan program berkenaan. Namun
kesempatan sebagai perasmi ini pula telah digunakan pula oleh para
jemputan khas untuk berkongsi pengalaman, cerita serta memberikan
nasihat yang amat berguna kepada para pelajar yang hadir pada majlis
sedemikian.
Majlis telah diselang-selikan dengan beberapa persembahan
menarik serta penyampaian beberapa anugerah seperti Anugerah Emas
Pengetua, pelancaran kemeja-T kolej kediaman, memperkenalkan barisan
pimpinan yang baru, penyampaian sijil penghargaan serta penyampaian
hadiah-hadiah kepada para pemenang pertandingan yang telah diadakan.
Setiap tahun, mutu penganjuran majlis seperti ini kelihatan meningkat
dan diharapkan pengnjuran majlis-majlis seperti ini dapat memberikan
pengalaman yang berguna kepada pelajar dalam menguruskan organisasi
serta meninggalkan kenangan istimewa khasnya kepada pelajar-pelajar
tahun akhir.
|
| KARNIVAL
SUKAN TERTUTUP SPE
Aktiviti sukan
anjuran Persatuan Mahasiswa Perniagaan dan Ekonomi (PMPE) telah berjaya
diadakan pada 25 hingga 27 Januari 2004 bertempat di Kompleks Sukan
UMS.
Di antara acara
pertandingan yang telah dianjurkan adalah Pertandingan Bola Sepak
Piala Dekan Tertutup SPE, Pertandingan Bola Jaring Piala Dekan Tertutup
SPE, Pertandingan Futsal (Wanita), Pertandingan Bola Keranjang (lelaki
- 3 on 3 ), Pertandingan Bola Tampar (Lelaki dan Wanita) dan Acara
Sukaneka.
Seramai 200 orang
pelajar telah mejayakan aktiviti-aktiviti tersebut. Para pensyarah
juga turut menyertai pertandingan yang dianjurkan seperti pertandingan
bola sepak, Futsal, Bola Tampar dan sebagainya.
Majlis perasmian dan penutupan telah dilakukan oleh
Dekan SPE, Prof. Madya Dr. Syed Azizi Wafa setelah selesai menyaksikan
Perlawanan Akhir Pertandingan Bola Sepak Piala Dekan di antara Kelab
Perakaunan dan Kelab Kewangan dan Perbankan, di mana Kelab Perakaunan
telah menjadi juara. Juara Keseluruhan disandang oleh Kelab Perhotelan,
manakala Kelab Perniagaan Antarabangsa menyandang gelaran Penyokong
Terbaik.
|