BahasaMelayuMalaysiaEnglish (UK)

Activity

Marine BioD Edu-Stations (MBES) sempena Marine Biodiversity Awareness Week (MBAW) 2018

Marine BioD Edu-Stations (MBES) sempena Marine Biodiversity Awareness Week (MBAW) 2018

26 Julai 2018, Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah

Seperti sedia maklum, Hari Lautan Sedunia (WOD) dan Hari Segitiga Terumbu Karang (CTD) diadakan pada 8 dan 9 Jun setiap tahun semenjak kedua-dua program ini diwujudkan iaitu pada tahun 2008 dan 2014. Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS memulakan sambutan WOD dan CTD ini secara serentak di peringkat universiti semenjak tahun 2012. Program ini mendapat sambutan yang sangat memberansangkan tidak kira dari pihak dalam dan luar universiti.

Pada tahun 2018 ini, sambutan WOD dan CTD ini agak berbeza sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya. NOW-Sabah melalui Pusat Pengurusan EcoCampus UMS telah menjadi penganjur bersama bagi menyambut kedua-dua program ini sempena Hari Biodiversiti Sedunia 2018. Hasil daripada perbincangan bersama, pihak IPMB telah bersetuju untuk menggabungkan ketiga-tiga sambutan ini secara serentak bermula pada 23 hingga 28 Julai 2018 dan program tersebut dinamakan sebagai Marine Biodiversity Awareness Week (MBAW) 2018.

Sama seperti penganjuran-penganjuran yang lepas, program ini melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Pejabat CTI-SAB dan UMS. Seperti tahun-tahun sebelum ini, pelbagai aktiviti telah diadakan sempena sambutan WOD dan CTD serta Hari Biodiversiti Sedunia ini.

Pejabat CTI-SAB juga tidak ketinggalan dalam mengadakan aktiviti bersama bagi menjayakan program MBAW 2018 ini. Program yang dianjurkan oleh Pejabat CTI-SAB ialah Marine BioD Edu-Stations (MBES). Dalam Program MBES ini, CTI-SAB telah menjemput beberapa buah sekolah untuk menghantar pelajar menjadi peserta dalam MBES 2018. Antara pelajar yang hadir adalah daripada SMK Bandaraya Menggatal, SM La Salle Tanjung Aru dan SMK Kinarut Papar. Program MBES ini melibatkan enam ceramah ringkas (Pocket Talks) yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah UMS dari IPMB, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) dan juga dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP). Lawatan ke tiga Edu-Stations juga disediakan untuk para peserta iaitu di Akuarium dan Muzium Marin UMS (AMUMS), Makmal Penyelidikan dan Jeti UMS. Selain itu, pameran dan kuiz CTD 2018 juga dibuka sepanjang MBAW 2018.