BahasaMelayuMalaysiaEnglish (UK)

Pengenalan FPEP

PENGENALAN

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) ditubuhkan pada tahun 1995 di bawah nama Sekolah Perniagaan dan Ekonomi. Aspirasi penubuhannya adalah keperluan kepada tenaga profesional dalam bidang pengurusan, perniagaan dan ekonomi. Menyedari kepentingan pembangunan modal manusia sebagai teras pembentukan negara maju seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020, program akademik di FPEP digarap untuk menyediakan graduan berkualiti bagi mengisi keperluan terhadap pengurus, usahawan, akauntan, ahli ekonomi dan pemain industri yang berkebolehan. Di samping memenuhi keperluan Negara dan mengoptimakan kelebihan saingan yang ada, graduan FPEP dipersiapkan untuk bersaing dalam pasaran global dengan skil teknikal dan kemahiran insaniah bertaraf antarabangsa. Seiring dengan perkembangan ekonomi dan sektor perniagaan, program pengajian FPEP yang dinamik telah berkembang menjadi sepuluh program prasiswazah yang mencakupi bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan. Setelah 20 tahun penubuhannya FPEP telah berjaya menghasilkan lebih dari 10,000 graduan prasiswazah dan pascasiswazah yang datang dari pelbagai negara dan kini merupakan aset penting kepada pelbagai sektor dan industri di peringkat antarabangsa. Di samping jaminan kualiti berterusan dan penandarasan bertaraf antarabangsa, aktiviti penyelidikan dan khidmat masyarakat juga diperkasakan melalui jaringan kerjasama antarabangsa dengan pelbagai institusi dan organisasi. Dengan falsafah pendidikan negara yang berwawasan, dizahirkan melalui perancangan jangka panjang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM, 2015-2025), FPEP terus berkembang dengan fokus akademik, kesarjanaan dan penyelidikan berteraskan nic utama Universiti, khususnya keusahawanan dan industri hospitaliti.
 

OBJEKTIF

  • Meneroka, memelihara dan memanfaatkan ilmu perniagaan, ekonomi dan perakaunan dengan berkesan untuk pembangunan Universiti, masyarakat dan negara.
  • Mempertahankan kebebasan akademik, menjunjung tradisi keilmuan dan mengekalkan kerapian intelektual di kalangan komuniti FPEP dan Universiti.
  • Menghasilkan graduan yang proaktif, berfkiran kreatif, kompeten, berdaya saing, beretika dan dinamik.
  • Menawarkan program pengajian prasiswazah dan pascasiwazah dalam bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan yang mencakupi pelbagai pengkhususan dengan kualiti yang memenuhi keperluan pasaran.
  • Menjalankan aktiviti penyelidikan, perundingan, khidmat masyarakat dan penerbitan ilmiah dalam bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan, khususnya berkaitan dengan nic Universiti, bernilai komersil serta selari dengan keperluan negara, masyarakat serta industri.
  • Menjalin jaringan kerjasama dengan institusi akademik, sektor kerajaan, sektor swasta, sektor ketiga dan badan badan profesional di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk menambah nilai, meningkatkan tahap profesionalisme serta kecemerlangan fakulti dan Universiti.
  • Memupuk dan menerap nilai murni sejagat serta keterbukaan berfikir dengan penuh tanggungjawab di kalangan para sarjana, pegawai, tenaga sokongan serta warga fakulti bagi mencapai hasil kerja yang optimum, berkualiti, inovatif dan berimpak tinggi.
 

VISI

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) bertekad menjadi sebuah Fakulti yang inovatif bertaraf dunia selaras dengan wawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
 

MISI

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) bertekad ke arah kecemerlangan ilmiah dalam bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa menerusi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan,  penerbitan, khidmat masyarakat dan keseimbangan pengkhususan ilmu. Kecemerlangan ilmiah ini juga disokong dengan penerapan keperibadian mulia, kemahiran insaniah dan kemahiran keusahawanan pelajar ke arah menghasilkan produktiviti dan kualiti yang tinggi bagi mencapai aspirasi bangsa dan Negara.
 

MATLAMAT FPEP

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) bermatlamat untuk memberikan pelajar pengetahuan asas serta aplikasi dalam bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan dan menyokong pendidikan berterusan di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah bagi menyediakan landasan yang kukuh untuk meningkatkan profesionalisme sepanjang hayat.
 

HASIL PEMBELAJARAN FPEP

Pada akhir pengajian, graduan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan seharusnya mampu untuk:
  • Membuktikan pengetahuan dan pemahaman dalam bidang pengajian yang diikuti boleh diaplikasikan dengan baik.
  • Menunjukkan kemahiran penyelesaian masalah dan pemikiran kritikal dalam bidang perniagaan, perakaunan dan ekonomi.
  • Bekerja secara sendiri, memimpin dan menjadi ahli kumpulan yang efektif.
  • Berkomunikasi secara efektif dan mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.
  • Menonjolkan profesionalisme, tingkahlaku dan amalan beretika serta mempunyai tanggungjawab sosial.
  • Memberikan komitmen bagi pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional.
  • Menunjukkan kemahiran pengurusan efektif.
  • Berupaya menggunakan komputer dan teknologi yang bersesuaian dengan bidang yang dipelajari secara efektif.
  • Mengintegrasikan segala pengetahuan yang diperolehi, sama ada teoritikal atau praktikal bagi persediaan untuk mendapatkan kelayakan profesional.
  • Mengenalpasti, menerokai dan menilai sebarang tugas dan peluang perniagaan dalam sebarang bidang berkaitan.