BahasaMelayuMalaysiaEnglish (UK)

Perutusan Dekan

ASSOC. PROF DR. RAMAN NOORDIN 

DEKAN

FAKULTI PERNIAGAAN, EKONOMI DAN PERAKAUNAN

Selamat Datang ke Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan  (FPEP), Universiti Malaysia Sabah. Berdiri teguh di tepian cenuram menghadap Laut Cina Selatan dihiasi  kemesraan deruan ombak dan butiran pulau yang memukau, FPEP megah  menadah tangan menanti kehadiran warga yang dahagakan ilmu. Di kordinat  06°01΄57.4˝N 116°06΄46.4˝E ini samudera lautan ilmu kami hamparkan untuk  menampung rintihan anak bangsa yang dahagakan pembangunan, seruan warga  yang mendepani perubahan, runtunan jiwa pemimpin yang menanti kemunculan pelapis dan penerus perjuangan, serta panggilan mauduk perjuangan dan kelangsungan watan.

Berlatar belakangkan Gunung Kinabalu yang memperkasa jiwa Borneo, FPEP mendiri melangkah gagah menyediakan hamparan ilmu untuk diteroka dengan tekad cemerlang menunjangi kelestarian perjuangan. Sekekar batuan Kinabalu dan serapi raupan bayu, FPEP menyediakan ekosistem pengajian di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah yang terbilang dengan hasrat utama menghasilkan graduan kelas pertama, berinovatif dan berdaya saing di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Inilah citra, jiwa dan nyawa penawaran sepuluh program pengajian di FPEP yang mencakupi bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan.

Bulat air kerana pembentung, sepakat masyarakat kerana muafakat, kuatnya FPEP kerana tekad. Dengan program pengajian yang berorientasikan pasaran, industri dan keboleh saingan, FPEP menggembeling para tenaga akademik dan profesional yang sentiasa bersedia fizikal dan mental, menjulang visi fakulti, tekad universiti, falsafah pendidikan negara, dan harapan nusa bangsa. Di sini wacana ilmu diangkat dengan menjunjung kebebasan berfikir berasaskan kemuliaan dan kemahiran insaniah para mahasiswa dengan gabungan tenaga pakar di bawah bimbingan pimpinan universiti yang berjiwa besar.

Selamat meneroka peluang mencabar minda di FPEP. Hadir anda akan kami sambut dengan keazaman dan iltizam, keberadaan anda di FPEP akan kami lestarikan dengan kemuliaan ilmu, keunggulan kemahiran, ketinggian budi serta kematangan akal dan fikiran, manakala kepulangan anda akan kami hantar dengan kejayaan dan kesempurnaan insan. BERTEKAD CEMERLANG.