BahasaMelayuMalaysiaEnglish (UK)

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) ditubuhkan pada tahun 1995 di bawah nama Sekolah Perniagaan dan Ekonomi. Aspirasi penubuhannya adalah keperluan kepada tenaga profesional dalam bidang pengurusan, perniagaan dan ekonomi. Menyedari kepentingan pembangunan modal manusia sebagai teras pembentukan negara maju seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020, program akademik di FPEP digarap untuk menyediakan graduan berkualiti bagi mengisi keperluan terhadap pengurus, usahawan, akauntan, ahli ekonomi dan pemain industri yang berkebolehan.

Di samping memenuhi keperluan Negara dan mengoptimakan kelebihan saingan yang ada, graduan FPEP dipersiapkan untuk bersaing dalam pasaran global dengan skil teknikal dan kemahiran insaniah bertaraf antarabangsa. Seiring dengan perkembangan ekonomi dan sektor perniagaan, program pengajian FPEP yang dinamik telah berkembang menjadi sepuluh program prasiswazah yang mencakupi bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan.

 

BACA SELANJUTNYA

 

  


 
 

  

Dua Produk Inovasi Mahasiswa Program Perhotelan UMS Raih Anugerah Emas dan Gangsa di InTEX19

SELASA, 13 OGOS - Kejayaan manis diraih dua orang mahasiswa tahun dua Program Pengurusan Perhotelan HE08, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) iaitu Noor Muslimah Timbul@Timbol dan Nur Ainin Aqilah Hasmat apabila berjaya menggondol pingat emas bagi produk Zea Mays Flour ( Tepung Jerami Jagung) dan pingat Gangsa bagi produk Maydis Bun Roll Filling (Bun Roti Jerami Jagung Berinti).

Pencapaian itu diperoleh ketika menyertai The UNIMAS Innovation Technology Exposition 2019 (InTEX19)  melalui kategori Sains Sosial dan Kemanusiaan yang berlangsung di Kuching, Sarawak baru-baru ini anjuran bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Sarawak Multimedia Authority (SMA).

Bertemakan Research-Driven Innovation and Technology, program yang mempamerkan hasil produk dan inovasi ini menyaksikan dua mahasiswa UMS menjadi antara peserta yang menonjol dalam kalangan 200 peserta dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi di seluruh Malaysia seperti Kolej Universiti Teknologi Sarawak, Universiti Teknologi Mara, Swinburne University of Technology, Curtin University Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, dan Universiti Putra Malaysia.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif penyelidikan dan inovasi tahunan yang berfungsi sebagai platform untuk ahli akademik menyertai dan mempamerkan hasil penyelidikan mereka yang inovatif dan kreatif seperti produk, idea serta reka bentuk bagi bersaing untuk mendapatkan pengiktirafan daripada juri profesional institusi dan agensi yang diiktiraf.

Menerusi penyertaan sebegini, mahasiswa dapat didedahkan dengan budaya inovasi dan kreativiti yang bertaraf lebih tinggi meliputi pelbagai kategori seperti Sains Tulen, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Teknologi dan Kejuruteraan, serta Sains Sosial dan Kemanusiaan. Di samping itu, ia sekali gus mendedahkan kepada mahasiswa untuk mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang kreatif dan inovatif daripada setiap projek inovasi yang dipamerkan pada InTEX19.

Pada masa yang sama, ia juga dapat memupuk semangat dan motivasi pada diri mahasiswa untuk bersaing secara sihat dengan mempamerkan hasil penyelidikan mereka sama ada menerusi produk, idea inovasi ataupun reka bentuk. Pertandingan seperti ini malahan dapat menggalakkan mahasiswa khususnya di FPEP dan amnya UMS untuk menyertai pertandingan seumpama itu pada masa hadapan. Tambahan lagi, ia juga lebih menggalakkan mahasiswa untuk berfikiran lebih inovatif dan kreatif dengan membangunkan idea inovasi yang lebih segar dan asli hasil daripada kreativiti mahasiswa sendiri tanpa wujudnya unsur plagiarisme daripada idea inovasi yang sebelumnya.

Dekan FPEP (FPEP), Prof. Madya. Dr. Raman Noordin sewaktu menyambut kepulangan mahasiswa dan pensyarah terlibat, ternyata amat berbangga dengan penyertaan dan kejayaan sulung yang diraih dalam pertandingan seumpamanya di peringkat nasional yang nyata berjaya mencungkil bakat inovasi dan kreativiti para pelajar hasil bimbingan pensyarah program perhotelan selaku mentor projek, Ahmad Shakani Abdullah.

Turut sama berkongsi kegembiraan terhadap kejayaan itu ialah Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Kamisah Husin yang menyifatkan kejayaan tersebut seiring dengan budaya rekacipta dan inovasi yang ditekankan dalam salah satu kluster kemahasiswaan.

Persis peribahasa Melayu, “Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang”, begitulah juga intinya seperti kejayaan yang dibawa oleh pasukan yang mewakili Program Pengurusan Perhotelan ini, tidak ada jalan yang mudah untuk berjaya mendapatkan apa yang disasarkan. Konklusinya, semoga lebih banyak penyertaan dan pencapaian seperti ini daripada mahasiswa di UMS. Kejayaan yang diperolehi adalah  hasil sokongan dari segi moral dan kewangan khususnya daripada pihak fakulti, JHEP dan UMS.

Sumber: Dr. Arif @ Kamisan Pusiran

Sorotan Berita

Acara Akan Datang

Ahd Okt 20 @ 8:00AM - 05:00PM
FAMILY DAY ACCUMS: ACCUMS JOUR DE LA FAMILLE
Sab Okt 26 @ 4:00AM -
UMS Sunset Autism Run 2019
Rab Okt 30 @ 8:00AM - 05:00PM
HE08 Greet Day 2019: Break D'Ice
Rab Nov 06 @ 8:00AM - 05:00PM
10th POSTGRADUATE COLLOQUIUM