BahasaMelayuMalaysiaEnglish (UK)

Kata Aluan Dekan

Dekan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan

Bismillahirrohmanirrohim. Assalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh, Salam Sejahtera, dan Salam Satu Malaysia.

Syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah Rahmat-Nya, Fakulti Psikologi dan Pendidikan telah menjadi salah satu daripada sepuluh fakulti di Universiti Malaysia Sabah. Fakulti ini menawarkan program-program di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.  Pada masa ini, terdapat sepuluh program ijazah sarjana muda, dengan lima daripadanya  merupakan program-program Psikologi dan lima lagi daripada Pendidikan. Di peringkat pascasiswazah pula, fakulti ada menawarkan program-program sarjana di bawah mod penyelidikan dan kerja kursus. Antara kursus-kursus mod penyelidikan adalah sarjana falsafah (Master of Philosophy) dan doktor falsafah (Doctor of Philosophy) daripada program-program Psikologi, manakala program-program Pendidikan pula menawarkan lapan kursus secara separuh dan sepenuh masa di peringkat sarjana mahupun doktor falsafah. Antara kursus-kursus yang ditawarkan adalah Pendidikan Guru, Kurikulum, Pengurusan Pendidikan, Pembangunan Organisasi dalam Pendidikan, Sosiologi Pendidikan, Pendidikan, Pendidikan dalam Sains, Sains Sosial, Ekonomi, Bahasa Inggeris dan Sains Sukan.

Berdasarkan kursus-kursus yang ditawarkan, jelas bahawa kewujudan fakulti amat relevan dengan keperluan semasa kerajaan yang sedang menjana transformasi secara kolektif. Justeru, fakulti amat berkeyakinan mampu menawarkan guru-guru sekolah yang berkualiti dan berdaya saing serta membantu mengupayakan gagasan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha mengangkat martabat pendidikan negara bertaraf dunia. Fakulti Psikologi dan Pendidikan amat berkeyakinan mampu melahirkan “Guru Berjiwa Guru”. Manakala program-program  Psikologi dan juga Kerja Sosial yang ditawarkan oleh fakulti umumnya dapat menyediakan bakal-bakal graduan yang berdedikasi, berinovasi serta mempunyai perspektif yang menyeluruh  terhadap kerja-kerja kemasyarakatan. Dengan populasi seramai 6463 orang di peringkat pra dan pasca siswazah, fakulti amat berkeyakinan bahawa Universiti Malaysia Sabah dapat merealisasikan “impian menjadi realiti”, dengan melahirkan para graduan yang berkualiti.

Sehingga kini, Fakulti Psikologi dan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah sentiasa akur dengan usaha dan tekad untuk cemerlang sebagaimana termeteri dalam moto universiti, “Bertekad Cemerlang”. Fakulti ini akan terus menongkah arus menuju kejayaan sama ada dalam bidang pengajaran, penerbitan, penyelidikan, khidmat kemasyarakatan dan inovasi. Dengan adanya pasukan akademik dan sokongan padu dan jitu daripada para pentadbir berpengalaman luas khususnya dalam bidang-bidang kepimpinan dan pengurusan umum atau sekolah, tanggungjawab sosial korporat, sekolah dan pendidikan tinggi, pembangunan kurikulum, pembangunan belia, psikologi kanak-kanak, kaunseling, psikologi industri dan kerja sosial, sudah tentu dapat membantu kepada pencapaian hasrat murni ini. Bidang tumpuan dalam program-program fakulti adalah termasuk membina semangat berpasukan dan kepimpinan. Justeru itu, fakulti amat komited kepada pendidikan berkualiti yang membolehkan siswa/siswi untuk membangunkan kemahiran hidup melalui kaedah penyampaian yang berkesan melalui simulasi perniagaan, projek industri berkaitan dan penglibatan masyarakat.

Oleh kerana itu, kami dalam Fakulti Psikologi dan Pendidikan ingin menjemput anda untuk menerokai program-program akademik yang ditawarkan dalam sesi akademik akan datang. Anda boleh terus melayari laman web kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai fakulti, kakitangan akademik dan peluang-peluang yang kami tawarkan dalam bidang akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan perkhidmatan masyarakat.

“Bertekad Cemerlang”

Professor  Dr. Hj. Ismail Ibrahim
Dekan
Fakulti Psikologi dan Pendidikan