English (UK)Bahasa Melayu

PENGENALAN

PENGENALAN

Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan (SSMP) telah ditubuhkan pada tahun 1997. Sehingga kini, FSMP menawarkan empat (4) program peringkat prasiswazah iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan dan Pemakanan, Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan dan Bioproses, Program Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Makanan dan Program Ijazah Sarjana Muda Pemakanan. Program yang disediakan akan membolehkan pelajar mempunyai asas yang kukuh dalam bidang pengajian yang diceburi agar boleh memasuki pasaran kerja dalam industri berkaitan bagi melahirkan golongan professional dalam bidang sains dan teknologi makanan, pemakanan dan perkhidmatan makanan. FSMP juga menawarkan program peringkat pascasiswazah iaitu Ijazah Sarjana secara kerja kursus dan penyelidikan dan Ijazah Doktor Falsafah (Penyelidikan) dalam pelbagai bidang pengkhususan yang dikendalikan oleh kakitangan akademik yang terlatih dalam bidang masing-masing. FSMP sentiasa berusaha untuk meningkatkan aktiviti penyelidikan dengan mendapatkan geran penyelidikan dari pelbagai agensi. Hasil penyelidikan telah terbukti melalui penerbitan dari jurnal antarabangsa, paten dan anugerah. Melalui usaha ini akan dapat membantu UMS dalam mendapatkan pengiktirafan diperingkat antarabangsa.

 

VISI

Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan bertekad untuk mencapai kecemerlangan ilmiah dalam bidang sains dan teknologi makanan untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa menerusi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat di samping dapat membekalkan tenaga mahir dalam bidang berkaitan industri makanan untuk menghasilkan produktiviti dan kualiti yang tinggi dalam konteks pembangunan negara.

 

MISI

  • Menyediakan kurikulum pengajaran yang bertaraf antarabangsa.
  • Menyediakan suasana penyelidikan yang kondusif bagi mendorong penglibatan kakitangan akademik dalam aktiviti penyelidikan dan penerbitan ilmiah.
  • Menyediakan kakitangan akademik dengan kepakaran dan pengalaman yang secukupnya supaya berkelayakan sebagai pakar perunding dan pakar rujuk dalam bidang pengkhususan tertentu.

 

OBJEKTIF

  • Menghasilkan graduan yang lengkap dengan pengetahuan sebagai ahli profesional terlatih yang beretika dan benilai murni untuk mendukung pelbagai tanggungjawab dalam bidang sains dan teknologi makanan, sains makanan dan pemakanan serta perkhidmatan makanan.
  • Menjadi pusat pengajian, penyelidikan latihan dan perundingan yang terunggul dalam bidang sains dan teknologi makanan, sains makanan dan pemakanan serta perkhidmatan makanan di peringkat Kebangsaan dan antarabangsa.

 

MATLAMAT

  • Menghasilkan graduan yang lengkap dengan pengetahuan dan ketrampilan yang diperlukan untuk memikul pelbagai tanggungjawab yang merangkumi bidang sains dan teknologi makanan, sains makanan dan pemakanan pengurusan dan Perkhidmatan Makanan.
  • Menghasilkan ahli sains dan profesional yang beretika dan bernilai murni dalam jawatan-jawatan tertentu di dalam sektor swasta, perkhidmatan awam atau persendirian.
  • Menjadikan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, UMS sebagai pusat terunggul dalam Pendidikan tinggi, latihan dan penyelidikan Sains Makanan dan Pemakanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.