80 penduduk Kampung Kabangaan Kudat Sertai Program FSSA UMS

ISNIN, 14 JANUARI - Seramai 80 penduduk Kampung Kabangaan Kudat menyertai program peningkatan hasil kelapa sawit dan pendapatan anjuran Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula Februari 2018 sehingga Januari 2019.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ia adalah satu lagi inisiatif UMS menerusi FSSA untuk menterjemahkan hasil-hasil kajian bermutu di UMS untuk kepentingan masyarakat setempat dan dapat mengurangkan bilangan warga yang berpendapatan ‘bottom 40’.

“Saya percaya usaha sedemikian bukanlah hanya untuk kali ini sahaja malah akan berterusan.

“Ini kerana di UMS, semua penyelidik-penyelidiknya amat komited dalam menjalankan penyelidikan-penyelidikan yang bersifat menjawab kepada keperluan industri serta dapat membantu kepada keperluan masyarakat,” katanya sempena majlis perasmian dan penutupan Program FSSA bersama Komuniti Kg Kebangaan Kudat pada Sabtu.

Beliau berkata, penemuan - penemuan yang penting ini seterusnya dapat dipindahkan kepada mereka yang memerlukannya.

“Saya difahamkan oleh Prof. Baba, Dekan FSSA bahawa program ini adalah merupakan satu projek dibawah tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) yang telah dijalankan di Kampung Kabangaan Kudat seawal Februari 2018 yang lalu.

“Melalui UCTC, pelbagai sumber universiti termasuklah para pelajar, tenaga pengajar, dan fasiliti universiti awam dapat digerakkan dalam mentransformasikan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berharap teknologi sedemikian akan dapat dipindahkan kepada komuniti Kg. Kabangaan yang terlibat agar mereka dapat meneruskan kecemerlangan hasil tuaian itu di kebun-kebun masing-masing.

“Saya berharap ia dapat membantu masyarakat setempat yang lain yang mana bersesuaian dengan konsep berterusan mengikut konteks UCTC,” katanya.

Hadir sama ialah dekan FSSA Prof Dr. Baba Musta dan Ketua Projek Prof. Madya Dr. Chong Khim Phin.

Untuk rekod, hasil penyelidikan penyelidik UMS dengan formulasi mikrob terpilih yang dipindahkan kepada penduduk kampung telah berjaya meningkatkan hasil tuaian kepada 5-7 tan/ekar/ bulan dan mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia, sekali gus mengurangkan kos operasi serta memperbaiki struktur dan kesuburan tanah.

Program itu merupakan tajaan UCTC, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kos sebanyak RM20,000.

Pautan asal