Bahasa MelayuEnglish (UK)

Latar Belakang

Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) telah wujud sejak tertubuhnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 1994 yang dikenali sebagai Bahagian Pembangunan dan Penyelenggaraan. Sepanjang tempoh 15 tahun, JPP melalui beberapa fasa penting khasnya daripada segi fungsi, peranan dan pengurusan teknikalnya dalam menyediakan perkhidmatan kepada warga UMS.

Pada Peringkat awal, JPP adalah di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor (Pembangunan dan Penyelidikan) yang pada ketika itu disandang oleh Prof. Dr. Sulaiman Hj. Yassin (1994 - 1997).

Pada tahun 2006, JPP telah melaksanakan penstrukturan dalaman jabatan untuk memperkemaskan lagi perlaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan universiti. Bagi melancarkan aktiviti, JPP dibahagikan kepada sepuluh (10) sektor iaitu Sektor Rancangan Pembangunan, Sektor Arkitek, Sektor Mekanikal & Elektrikal, Sektor Kejuruteraan Awam & Struktur, Sektor Kontrak & Ukur Bahan, Sektor Perkhidmatan Landskap & Kawalan Perosak, Sektor Pengurusan Aset & Kenderaan, Sektor Pengurusan Kawalan Ruang & Tanah, Sektor Pentadbiran dan Sektor Operasi Kewangan.
JPP bertanggungjawab ke atas keseluruhan aktiviti pembangunan universiti. Peranan JPP dalam pembangunan UMS adalah menyelaras (coordinator) pembangunan dan keperluan pelanggan JSPIU (end user). Dalam aspek pembinaan dan pengubahsuaian, JPP membantu JSPIU dari aspek teknikal seperti cadangan penggunaan ruang, keselamatan, lukisan, dokumentasi spesifikasi kerja dan anggaran kos.

Pada tahun 2009, JPP telah membuat penjenamaan semula struktur organisasi JPP daripada penjenamaan tersebut JPP mempunyai dua (2) Timbalan Pengarah iaitu Timbalan Pengarah (Pengurusan) dan Timbalan Pengarah (Teknikal). Empat (4) bahagian utama telah diwujudkan iaitu Bahagian Teknik, Bahagian Kontrak, Bahagian Operasi dan Bahagian Pentadbiran. Zon Operasi JSPIU telah diwujudkan di bawah penyeliaan Bahagian Operasi yang dibahagikan kepada empat (4) zon mengikut kawasan pemantauan iaitu Zon Sains, Zon Sastera, Zon JPU dan Zon Pusat Kecemerlangan. Zon Perkhidmatan Pelanggan yang terbahagi kepada Unit Kenderaan, Unit Pengurusan Majlis, Unit Khidmat Pelanggan, Unit Pemeriksaan Aset & Stor dan Unit Pengurusan & Penjimatan Utiliti juga telah diwujudkan di bawah penyeliaan Bahagian Operasi. Zon Kampus Cawangan juga diletakkan di bawah Bahagian Operasi yang merangkumi Bahagian Pembangunan dan Penyelenggaraan UMSKAL, Pusat Penyelidikan Perubatan Desa, Sikuati Kudat dan Sekolah Pertanian Lestari, Sandakan.

Menerusi penjenamaan struktur pada tahun 2009, JPP melaksanakan penambahbaikan semula pada 09 November 2013 menerusi Bengkel Penyelarasan Semula Prosedur Kerja dan Hala Tuju JPP. Resolusi bengkel tersebut telah membuat penambahbaikan carta organisasi jabatan menerusi pengenalan empat (4) bahagian utama iaitu Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kontrak, Bahagian Kejuruteraan dan Bahagian Arkitek Landskap.