Bahasa MelayuEnglish (UK)

Naib Johan Kawad Istiadat

RABU, 5 OKTOBER – Kontinjen Polis Bantuan Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul naib johan pertandingan kawad istiadat perbarisan bagi kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi bersempena Hari Jadi Rasmi Ke-63 Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu Sabtu lalu.

Kontinjen Polis Bantuan UMS seramai 30 orang ahli yang diketuai oleh Pegawai Keselamatan UMS, Insp/PB Rakam Singh Karam Singh bersaing bersama-sama 82 kontinjen lain membabitkan kira-kira 3,000 peserta yang menyertai istiadat perbarisan tersebut.

Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan kontinjen UMS membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, piala dan sijil, yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan.

Pencapaian ini menyamai rekod kejayaan tahun lalu, apabila kontinjen UMS turut muncul naib johan bagi kategori IPTA/IPTS.

Sebanyak tujuh kategori perbarisan diadakan, dan antara pemenang utama setiap kategori adalah Penguat kuasa Jabatan Tanah dan Ukur (Kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi), Jabatan Kerja Raya (Kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi),Persatuan Bulan Sabit Merah Kota Kinabalu (Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan), Kumpulan Yayasan Sabah (Kategori Swasta/Komersial), Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (Kategori IPTA/IPTS), SMK Agama Kota Kinabalu (Kategori Sekolah Menengah), dan SK St Francis Convent (Kategori Sekolah Rendah).