Bahasa MelayuEnglish (UK)

SIMPOSIUM POLIS BANTUAN ZON SABAH

RABU, 26 OGOS - Seramai 159 peserta menyertai Simposium Polis Bantuan Zon Sabah yang berakhir hari ini di Auditorium Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Daripada jumlah tersebut, 34 peserta merupakan Polis Bantuan UMS, manakala selebihnya ialah Polis Bantuan daripada agensi-agensi lain seperti Bank Simpanan Nasional, Lembaga Pelabuhan-pelabuhan Sabah, Petronas dan Sabah Electricity Sdn Bhd.

Penutupan simposium anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Kordinasi Sumber Sokongan JPJKK, Senior Asisten Komisioner  Polis (SAC) Saiful Azly Hj. Kamaruddin, mewakili Pengarahnya Komissioner Polis (CP) Dato’ Acryl Sani Haji Abdullah Sani.

Dato’Acryl dalam ucapan yang dibacakan Saiful menyeru agar segala pengetahuan yang diperoleh selama dua hari simposium itu berlangsung dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dipraktikkan apabila kembali ke agensi masing-masing.

“Apabila kembali ke agensi tempat anda bekerja, kongsikan kepada rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan hadir agar ilmu yang diperoleh dapat dipraktikkan untuk kebaikan bersama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, penganjuran simposium itu sebagai platform meningkatkan integriti di samping memberi peluang untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) merangkap Komandan Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.