Bahasa MelayuEnglish (UK)

Pemakaian Pangkat Pasukan Polis Bantuan UMS

SELASA, 1 MAC - Seramai 35 kakitangan Bahagian Keselamatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini diraikan pada Majlis Pemakaian Pangkat Polis Bantuan yang mengikuti Latihan Asas Polis Bantuan pada tahun lalu.

Ketika merasmikan majlis tersebut, Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad berkata kuasa Polis Bantuan yang diperuntukkan kepada anggota bahagian keselamatan UMS akan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan secara menyeluruh, serta meningkatkan semangat jati diri dan disiplin kepada setiap anggota melalui latihan dan pematuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia.

“Diharapkan penubuhan Pasukan Polis Bantuan UMS ini akan dapat menaikkan imej universiti yang sering menerima kunjungan daripada pelbagai agensi sama ada dalam negara mahupun luar negara.

“Kehadiran pasukan ini juga akan meningkatkan rasa selamat khasnya kepada warga universiti dan orang awam yang sering berurusan dengan UMS,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, No’man turut merasmikan Sistem Handheld  yang dapat melicinkan serta membantu penguatkuasaan peraturan lalu lintas di dalam kawasan kampus yang mula diperkenalkan hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian Keselamatan UMS, Leftenan Kolonel Abdul Talib Arifin dan Ketua Bahagian Pengurusan Maklumat, Effendy Hadis.

Foto: Suzeanywati Gasinin