Bahasa MelayuEnglish (UK)

SEKAPUR SIRIH


BISMILLAH

                                       Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

   

head security  Bermula pada tahun 2008, Bahagian Keselamatan telah diberikan kepercayaan penuh untuk menjalankan fungsi dan urusan pentadbiran di sebuah bangunan baru yang berdekatan dengan Pusat Penantaraan Ilmu dan Bahasa. Ini adalah langkah yang sangat tepat memandangkan penambahan kakitangan dan perluasan fungsi Bahagian Keselamatan, seiring dengan perkembangan pesat Universiti Malaysia Sabah.

    Kami di Bahagian Keselamatan sesungguhnya senatiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi memastikan semua kakitangan mahupun pelajar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan tanpa rasa bimbang terhadap aspek keselamatan di dalam kampus Universiti Malaysia Sabah. Adalah penting bagi semua untuk memahami bahawa aspek keselamatan di Universiti bukanlah terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab Bahagian Keselamatan sahaja. Sebaliknya, ia merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh semua individu yang bergelar pelajar mahupun kakitangan Universiti Malaysia Sabah.

   Para pengunjung juga perlulah mematuhi peraturan Universiti sepanjang berada di dalam kawasan kampus. Sebagai organisasi yang bertanggungjawab untuk memastikan peraturan keselamatan universiti sentiasa dipatuhi, semua kakitangan Bahagian Keselamatan sentiasa tegas dalam melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan. Pada masa yang sama, layanan dan komunikasi yang baik kepada semua warga universiti mahupun pelawat adalah menjadi keutamaan kami.

  Adalah diharapkan agar semua pihak berasa tenang dan selesa sepanjang berurusan dengan kakitangan Bahagian Keselamatan. Akhir kata, marilah kita bersama-sama meningkatkan persefahaman dan seiring dalam usaha mencapai objektif dan matlamat utama Universiti Malaysia Sabah.

Lt. Kol. Abdul Talib Ariffin (B)

Ketua Bahagian Keselamatan 

Universiti Malaysia Sabah