BANTUAN | SITEMAP | W3C | AHLI MAPITA
Increase size
Reset to Default
Decrease size
  • UTAMA
  • MENGENAI MAPITA
    • Sepintas Lalu
    • Peranan Utama
    • Ahli Jawatankuasa
  • BERITA & PERISTIWA
    • Aktiviti
    • Berita
    • Galeri
  • SEMINAR & LATIHAN
    • Seminar dan Persidangan
    • Bengkel dan Latihan
  • FORUM MAPITA

UTAMA :: Berita :: KL tuan rumah kongres IT dunia

KL tuan rumah kongres IT dunia

postdateiconPublished on Wednesday, 12 March 2008 15:45

MALAYSIA akan menjadi tuan rumah bagi Kongres Teknologi Maklumat Dunia 2008 (WCIT 2008) pada Mei ini, sekali gus muncul negara pertama di Asia Tenggara menganjurkan acara terbesar dan terpenting dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dunia. Ketua Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali, berkata kongres yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 22 Mei di Kuala Lumpur itu akan membariskan penceramah di kalangan tokoh terkemuka industri ICT dunia, seperti pengasas internet, Dr Vinton Cerf; Pengerusi Intel Corp, Datuk Dr Craig Barrett dan Ketua Reka Bentuk Perisian Microsoft, Bill Gates. Penceramah lain, katanya, ialah pakar genome terkemuka dunia, Dr Craig Venter; Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, Dr Hamadoun Toure dan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat India, A Raja. Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut dijadual menyampaikan ucaptama pada kongres yang dijangka dihadiri 2,800 delegasi dari 80 negara itu. WCIT 2008 acara terbesar dunia dan sebagai tuan rumah, ia menyediakan peluang kepada Malaysia untuk mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang dihasilkan syarikat ICT tempatan, katanya di Putrajaya, semalam. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Pelan Perniagaan MSC Malaysia-Institusi Pengajian Tinggi 2007/2008.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Taib Hashim. WCIT adalah acara dwitahunan terbesar anjuran Gabungan Perkhidmatan dan Teknologi Maklumat Dunia (WITSA), konsortium yang dianggotai 73 pertubuhan ICT antarabangsa yang mana ahlinya adalah 90 peratus daripada peserta utama industri berkenaan. WCIT 2008 yang bakal diadakan di negara ini akan dikendalikan secara bersama oleh MDeC dan Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia serta disokong kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Dalam perkembangan lain, Badlisham berkata, RM14 juta daripada RM80 juta Dana Praawal MSC Malaysia sudah diagihkan kepada 104 syarikat ICT tempatan sejak pelancarannya pada 2006. Beliau berkata, daripada 104 syarikat yang menerima bantuan dana itu, sembilan syarikat sudah mulai menjana pendapatan selepas setahun memulakan operasi. Kerajaan membiayai dan menyediakan kemudahan inkubasi serta membantu syarikat ICT tempatan dalam pemasaran dan sekarang mulai meraih pendapatan dan ini perkembangan baik kepada negara, katanya. Badlisham berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM80 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk usahawan tempatan bagi meneroka dan memaksimumkan peluang perniagaan dalam industri ICT.

Sementara itu, Ideas.connection yang dianggotai pelajar Universiti Multimedia, Hafriz Zulkapar dan Adi Azfar Mohd Nor menggondol tempat pertama bagi kategori idea perniagaan dalam pertandingan Pelan Perniagaan Institusi Pengajian Tinggi 2007/2008 itu. Kumpulan itu yang mengemukakan cadangan tapak pengiklanan virtual bagi semua blogger memenangi hadiah utama berjumlah RM5,000 dan berpeluang untuk memohon skim dana pra-komersial MSC Malaysia untuk menterjemahkan idea mereka kepada perniagaan. Bagi kategori pelan perniagaan, ia dimenangi pasukan Education Meshup dengan menggondol wang berjumlah RM5,000 untuk penyertaan membangun dan menghasilkan sistem maklumat bersepadu dalam bidang pendidikan.

  • BERITA & PERISTIWA
  • Pengumuman
  • Aktiviti
  • Berita
  • Galeri

 

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Penafian

Paparan Terbaik: 1024 x 768 window resolution Mozilla Firefox
UMTP © 2011 All Copyright Reserved (UMS)
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH, JALAN UMS, 88400, KOTA KINABALU, SABAH, MALAYSIA
Web Admin: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

PENGUNJUNG LAMAN INI:

web counter

(Tarikh Akhir Kemaskini: Mon, 27-Jun-2011)