Bahasa MelayuEnglish (UK)

Bom air padam kebakaran hutan di Keningau

KOTA KINABALU: Selepas lebih seminggu bertungkus-lumus, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berjaya memadamkan kebakaran di kawasan hutan seluas 500 hektar di Keningau dengan operasi bom air, pagi tadi. Dalam operasi bermula jam 11 pagi itu, teknik bom air dilaksanakan menggunakan sebuah helikopter jenis Mi171. Pengarah JBPM Sabah, Nordin Pauzi, berkata kaedah bom air adalah pilihan terakhir untuk memadam kebakaran di kawasan terbabit. "Operasi dilaksanakan menggunakan helikopter yang mengambil sumber air terbuka di kawasan berhampiran dari Sungai Pegalan dan sebuah kolam. "Air yang diambil menggunakan teknik 'bambi-bucket' itu dilakukan bagi membantu memadam api di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini. Kebakaran di kawasan berhampiran Kampung Bunang dan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Bunang, Keningau, sejak awal minggu lalu turut memusnahkan tanaman kelapa sawit di kawasan itu. Nordin berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kaedah itu bagi memastikan api tidak merebak hingga menyebabkan kebakaran lebih besar. "Kaedah bom air menggunakan helikopter bukan mudah dilakukan kerana memerlukan sumber air dan bentuk muka bumi yang sesuai. "Operasi ini turut membabitkan kos tinggi dan berisiko tetapi terpaksa dilakukan kerana laluan ke kawasan kebakaran adalah sukar," katanya. Nordin berkata, dua lagi kebakaran hutan turut berlaku di Bongawan dan Benoni di Papar dengan operasi memadam kebakaran masih giat dijalankan. Katanya, operasi menggunakan jalan darat itu turut berdepan kesukaran kerana membabitkan kawasan tanah gambut. Nordin berkata, sebanyak 1,279 kebakaran membabitkan kawasan hutan, belukar dan kebun dilaporkan sepanjang Januari hingga semalam, meningkat 207 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,072 kes," katanya.