Bahasa MelayuEnglish (UK)

Geobencana Aliran Puing di Malaysia – Isu Dan Cabaran

Writer : Tajul Anuar Jamaluddin

Date : 5 Dec 2011

Publisher : Seminar Bencana Alam 2011, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

Abstract :  

Aliran puing adalah sejenis geobahaya tabii yang biasanya berlaku di kawasan-kawasan perbukitan di serata dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali.Aliran puing boleh mengancam keselamatan nyawa manusia dan menyebabkan kerosakan yang besar kepada infrastruktur tempatan dan harta benda.Di rantau iklim tropika lembab seperti di Malaysia, aliran puing selalunya terbentuk di kawasan perbukitan dan alirannya tertumpu di dalam lurah atau lembah sungai.Aliran puing terbentuk apabila air terkumpul secara cepat dengan banyak di dalam tanah akibat hujan lebat hingga mengubah aliran sungai menjadi aliran yang pekat dengan percampuran lumpur, tanah, bongkah batuan, pokok dan sebagainya.Alirannya sangat deras tanpa sebarang amaran yang jelas dan boleh merambat hingga berkilometer jauhnya dari kawasan punca.Apa sahaja yang terdapat di sepanjang laluannya akan turut terkaut dan dihanyutkan bersama, menyebabkan isipadu dan tanaganya semakin membesar semasa bergerak menuruni cerun lurah. Tenaga alirannya akan semakin lemah apabila melalui kawasan yang landai seperti di muara sungai dan akhirnya terdampar di kawasan kipas lanar sebagai mendapan koluvium. Kewujudannya sering dikaitkan dengan faktor hujan lebat yang berpanjangan di kawasan perbukitan, lapisan tanah penutup dan batuan terluluhawa tinggi yang tebal, dan cerun yang curam dalam kedudukan geomorfologi yang tidak sesuai.Walaupun aliran puing adalah geobahaya semula jadi, terdapat juga contoh yang disajikan dalam kertas ini berpunca daripada kegagalan cerun buatan manusia.Kebanyakan aliran puing yang berbencana berlaku di dalam alur sungai.Hujan lebat mencetuskan beberapa gelinciran tanah kecil di bahagian hulu dan bahan yang runtuh masuk ke dalam alur sungai lalu membentuk “empangan tanah runtuh” sementara.Hujan yang berpanjangan menyebabkan aliran air yang tersekat dibelakang empangan semakin membesar dan akhirnya aliran puing tercetus apabila empangan tersebut pecah. Isu dan cabaran paling utama dalam menangani risiko geobahaya aliran puing adalah kurangnya penyelidikan saintifik dan kesukaran untuk meramalkan kejadiannya..Mitigasi risiko geobahaya aliran puing yang sering diamalkan termasuklah kaedah kejuruteraan berstruktur dan bukan-struktur.Pembinaan struktur pembendung aliran puing, empangan konkrit, dan pelencongan aliran boleh digunakan dalam keadaan kes tertentu.Namun, mengenalpasti kawasan-kawasan yang berpotensi membentuk aliran puing dan mengelakkan pembangunan di kawasan berkenaan serta memupuk kesedaran awam adalah langkah pencegahan risiko yang paling berkesan.