Bahasa MelayuEnglish (UK)

Pemetaan Geologi Kejuruteraan Dan Taburan Tanah Runtuh Di Kawasan Hulu Klang/Ampang, Selangor

Writers : Nurul Jannah Abd Rashid, Tajul Anuar Jamaluddin & Abd Ghani Rafek

Date : 23-24 June 2012

Publisher : National Geoscience Conference, 2012 (NGC 2012)

Location : Pullman Hotel, Kuching

Abstract :

Peta geologi kejuruteraan adalah peta yang menggabungkan input-input geologi kejuteraan dan sekitaran bagi sesebuah kawasan (Dearman, 1991). Kawasan kajian terletak di dalam Daerah Hulu Klang yang dibatasi oleh grid 354500 U, 417100 T dan 349500 U, 420700 T. Kajian ini meliputi kawasan Ampang, Bukit Antarabangsa, Taman Bukit Mewah, Taman Ukay Perdana, Taman Bukit Mulia, Taman Sering Ukay, Taman Bukit Utama, Taman Hill View, Taman Ukay Heights dan Taman Tun Abdul Razak. Kawasan ini dipilih untuk kajian ini kerana kerap terjadinya bencana tanah runtuh yang membimbangkan penduduk setempat. Objektif kajian ini adalah untuk menghasilkan peta geologi kejuteraan yang terperinci dan boleh dijadikan sebagai bahan rujukan kepada pihak-pihak yang berkepentingan seperti pemaju, penyelidik dan penduduk setempat. Secara umumnya, geologi kawasan terdiri daripada batuan granit dan syis (Gobbett, 1964) daripada batuan syis dikenali sebagai Formasi Syis Hawthornden dan Syis Dinding. Menurut Jabatan Mineral dan Geosains 2009, batuan granit yang terdapat di kawasan kajian adalah Granit Kuala Lumpur yang berusia dari Trias Tengah Akhir-Jura Awal. Granit kawasan ini terdiri daripada biotit-granit berwarna kelabu cerah hingga kelabu gelap dan berbutir sederhana hingga kasar. Manakala, batuan syis kawasan kajian terdiri daripada Formasi Syis Hawthornden dan Formasi Syis Dinding. Syis Hawthornden berusia Silur Awal (Jones, 1973). Secara umumnya Syis Hawthornden ini berwarna hitam dan ia boleh dikelaskan sebagai filit. Mengikut Gobbett (1964), filit hitam ini mempunyai agregat mineral legap seperti pirit dan grafit, dan filit ini telah dikelaskan sebagai filit grafit-kuarza, manakala Syis Dinding pula terdiri daripada batuan syis kuarza-mika dan juga kuarzit. Syis Dinding merupakan batuan tertua yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur iatu lebih tua daripada Formasi Batu Kapur Kuala Lumpur dan Syis Hawthornden. Foo (1983) mencadangkan Syis Dinding dikorelasikan dengan Formasi Machinchang dan usia syis ini dicadangkan Kambrian-Ordovisi.