Bahasa MelayuEnglish (UK)

Survei Ketakselanjaran Dan Permodelan Struktur Geologi Cerun Potongan Batuan

Writer : Tajul Anuar Jamaluddin

Date : 23-24 June 2012

Publisher : National Geoscience Conference, 2012 (NGC 2012)

Location : Pullman Hotel, Kuching

Abstract :

Pengaruh ketakselanjaran ke atas kelakuan geomekanik jasad batuan dan kestabilan cerun batuan telah banyak diperbincangkan oleh pengkaji terdahulu. Pemetaan atau survei ketakselanjaran pada cerun yang belum dibina ataupun yang telah siap dibina tetapi terluluhawa teruk dan ditutupi tumbuh-tumbuhan, memang sangat menyukarkan. Struktur ketakselanjaran lazimnya tidak lagi jelas kelihatan pada cerun yang telah terluluhawa teruk (gred IVV). Untuk itu, pemetaan cerun terluluhawa perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati dengan mengukur bacaan orientasi ketakselanjaran relikta setepat dan sebanyak mungkin. Data orientasi ketakselanjaran/ketakselanjaran relikta yang diperolehi akan diplotkan ke dalam unjuran stereografi dan dianalisis untuk menentukan bilangan set ketakselanjaran yang hadir di dalam jasad batuan pembentuk cerun. Data-data ketakselanjaran tersebut seterusnya digunakan untuk menilai kestabilan dan potensi ragam kegagalan cerun sebagaimana kaedah yang dipelopori oleh Hoek & Bray (1981). Maklumat ketakselanjaran yang diperolehi daripada analisis kinematik boleh dimanfaatkan seterusnya untuk menghasilkan model struktur geologi cerun dengan cara mengunjurkan set-set ketakselanjaran di dalam keratan rentas cerun. Dengan model ini, ragam kegagalan cerun dan kehadiran satah-satah ketakselanjaran yang kritikal dapat dinilai untuk pertimbangan rekabentuk penstabilan cerun yang paling optimum. Model geologi cerun yang dihasilkan sangat penting untuk pemilihan orientasi dan panjang struktur penstabilan (e.g. “soil nails", “rock bolts”, “ground anchor”, dan sebagainya) yang diperlukan untuk cerun. Model ini juga sangat membantu dalam menentukan kedalaman optimum untuk cerucuk yang diperlukan untuk pendasaran struktur bangunan di atas cerun. Sebanyak 3 kajian kes disajikan di dalam kertas ini untuk memberikan contoh aplikasi pemodelan cerun batuan yang dijana daripada survei dan analisis data ketakselanjaran.