Bahasa MelayuEnglish (UK)

Geobencana Kegagalan Cerun Di Laluan Jalanraya Merentasi Kawasan Perbukitan Hulu Terengganu

Writers : Muhammad Fadzli Deraman, Hamlee Ismail & Tajul Anuar Jamaluddin

Date : 23-24 June 2012

Publisher : National Geoscience Conference 2012 (NGC 2012)

Location : Pullman Hotel, Kuching

Abstract : 

Pembangunan jaringan jalanraya merupakan aspek penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi di Malaysia. Ini termasuklah pembinaan jalanraya di kawasan tanah tinggi dan perbukitan yang melibatkan banyak pemotongan bukit dan pembinaan cerun. Bagaimanapun cerun-cerun potongan di kawasan perbukitan tanah tinggi seringkali mengalami kegagalan yang memerlukan kos pembaik pulihan yang tinggi. Kertas ini membincangkan masalah geobencana kegagalan cerun potongan batuan metasedimen dan volkanik terluluhawa di jalanraya baru di antara Pasir Pulau di Hulu Terengganu dan Kg. Aring, Gua Musang, Kelantan. Kawasan kajian merupakan sebahagian daripada lapan pakej utama projek jalanraya yang menghubungkan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang dan meliputi bahagian barat Hulu Terengganu. Geologi kawasan kajian didasari oleh batuan metasedimen berusia Karbon Lewat hingga Perm Awal yang terdiri daripada jujukan selang lapis batuan syal, batu pasir, batu lumpur, batu lodak, konglomerat dan batu kapur. Jujukan batuan metasedimen ini dibahagikan kepada lima fasies iaitu; 1) fasies batuan volkanik, 2) fasies batuan berudit, 3) fasies batuan berarenit, 4) fasies batuan berargilit dan 5) fasies batuan berkapur. Batuan metasedimen ini ditindih pula oleh jujukan batuan volkanik andesit berporfiritik dan piroklastik. Jujukan batuan yang lebih tua ini tercangga hebat akibat direjah oleh jasad granit (Granit Lawit) berusia Trias Atas. Hasil kajian ini menunjukkan cerun potongan batuan metasedimen terluluhawa, terutamanya yang melibatkan batuan meta-argilit, mudah mengalami kegagalan berskala besar. Sebahagian besar kegagalan yang berlaku adalah jenis lingkaran, dan terdapat juga kegagalan jenis baji. Daripada keseluruhan 10 buah kegagalan cerun major di kawasan kajian, lima daripadanya melibatkan cerun batuan meta-argilit terluluhawa. Faktor utama penyebab kegagalan adalah kekuatan bahan yang rendah akibat luluhawa, kehadiran air dan ketakselanjaran yang padatkerana batuan tercangga hebat. Sifat fizikal bahan meta-argilit terluluhawa yang boleh menyimpan air dengan banyak mewujudkan fenomena ‘bengkakan’ dan akhirnya menyumbang kepada kegagalan apabila berat cerun mengatasi kekuatan ricih bahan. Keadaan seperti ini sering ditemui berlaku pada morfologi lembah tergantung. Daripada enam buah cerun potongan batuan volkanik pula, dua daripadanya mengalami kegagalan major. Kedua-dua cerun yang gagal terdiri daripada batuan volkanik terluluhawa dan mengalami kegagalan jenis lingkaran. Cerapan lapangan mendapati batuan vokalnik di kawasan kajian mempunyai kepadatan ketakselanjaran yang tinggi, dan satah-satah ketakselanjaran memotong jasad batuan dalam pelbagai orientasi. Keadaan ini membolehkan air larian permukaan menyusup ke dalam jasad bahan melalui satah-satah ketakselanjaran, menyebabkan penepuan bahan dan peningkatan tekanan air disepanjang satah-satah ketakselanjaran serta meningkatkan tegasan ricih cerun lalu mencetuskan kegagalan. Pembinaan jalanraya di kawasan perbukitan tinggi beriklim tropika lembab dengan batuan yang tercangga dan terluluhawa hebat sering berhadapan dengan masalah kegagalan cerun. Kajian geologi terperinci seperti ini penting untuk memahami proses dan faktor geologi semulajadi dan pengaruhnya terhadap kestabilan cerun untuk membantu mengurangi risiko geobencana walaupun jalanraya telah siap dibina.