Kepentingan Fotograf Udara Merungkai Sejarah Gelinciran Tanah Di Bukit Antarabangsa Hulu Kelang, Selangor Darul Ehsan

Writers : Tajul Anuar Jamaluddin, Lim Choun Sian & Saravanan Mariappan

Date : 11-12 June 2011

Publisher : National Geoscience Conference 2011

Location : The Puteri Pacific Johor Bahru & Persada International Convention Centre, Johor

Abstract :

Bukit Antarabangsa terletak di pinggir kotaraya Kuala Lumpur dan terkenal kerana sering dilanda geobencana gelinciran tanah terutama pada musim hujan lebat. Antara kejadian geobencana gelinciran tanah yang tercatat dalam sejarah hitam negara ialah runtuhan blok Highland Tower (1993) yang meragut 48 nyawa, gelinciran-aliran tanah di bawah Kemuncak Athenaeum (1995, 1999), dan gelinciran Taman Hill View (2002) yang meranapkan sebuah banglo dan mengorbankan 8 nyawa. Ketiga-tiga geobencana ini berlaku di bahagian barat daya Bukit Antarabangsa. Terdapat banyak lagi kejadian tanah runtuh di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa yang sering diperbincangkan di dalam literatur. Timbul pelbagai persepsi masyarakat tentang kekerapan kejadian gelinciran tanah di kawasan ini. Ada yang menganggap tanah dan batuan granit di kawasan ini lemah, longgar, mudah terhakis, wujud aliran air bawah tanah dan sebagainya, hinggakan kawasan ini tidak selamat diduduki. Tidak hairanlah kini terdapat lambakan iklan rumah dan hartanah untuk dijual di kawasan ini.

      Kajian fotograf udara telah dilakukan di bahagian baratdaya Bukit Antarabangsa, yang pada asalnya bertujuan untuk menilai geobahaya tanah runtuh di kawasan ini. Bagaimanapun, kajian ke atas fotograf udara bersiri yang diambil pada tahun 1972, 1981, 1989, 1992, 1997, 1999, 2002, dan imej satelit Google Earth 2004, 2008, telah menemui maklumat penting yang dapat merungkai sejarah dan menjelaskan punca utama kepada ketiga-tiga bencana tanah runtuh yang tersebut di atas. Hasil kajian mendapati bahawa kejadian gelinciran tanah tersebut berpunca terutamanya daripada gangguan aktiviti manusia pada cerun dan di atas cerun. Amalan kerjatanah yang tidak terkawal dan lemah seawal dekad 1970-an hingga awal 1990-an telah mengubahsuai morfologi cerun, regim aliran air permukaan dan air bawah tanah. Malah yang lebih memburukkan keadaan ialah apabila sisa-sisa kerjatanah dibuang dan dilambakkan ke bawah cerun sebagai bahan tambakan yang tidak sempurna. Kini bahanbahan tambakan cerun yang longgar itu telah ditutupi oleh hutan sekunder yang tebal dan kelihatan seakan-akan cerun semulajadi, dan merupakan geobahaya yang menunggu masa untuk mencetuskan geobencana.

      Kesimpulannya, kajian ini merupakan suatu contoh betapa pentingnya kajian fotograf udara bersiri dilakukan di sesebuah kawasan berbukit yang telah pesat membangun sebelum sebarang pembangunan baru dilaksanakan. Ada kemungkinan projek-projek pembangunan terdahulu telah mencipta dan mewariskan geobahaya kepada pembangunan yang sedia ada mahupun pembangunan baru yang bakal dibina. Hasil kajian ini juga secara tidak langsung telah menemui jawapan utama kepada persoalan kenapa cerun-cerun di Bukit Antarabangsa mudah terdedah kepada geobencana gelinciran tanah. Mendiami kawasan di bawah parut tanah runtuh lama, di atas atau di bawah cerun tambakan sisa kerja tanah, bukanlah suatu pilihan yang bijak dan amat berisiko.