Kajian Faktor Banjir Di Daerah Tenom, Sabah

Writers : Wong Fui Peng & Felix Tongkul

Date : 11-12 June 2011

Publisher : National Geoscience Conference 2011

Location : The Puteri Pacific Johor Bahru & Persada International Convention Centre, Johor

Abstract :

Daerah Tenom merupakan kawasan yang sering dilanda banjir. Setiap tahun Daerah Tenom dilimpahi banjir monsun seluas 14 km2 (Jabatan Pengairan dan Saliran, 1996). Tujuan kajian dijalankan adalah untuk mengetahui kenapa banjir kerap berlaku di Daerah Tenom. Metodologi kajian terbahagi kepada analisis data sekunder dan kerja lapangan.  Banjir di kawasan kajian dikawal oleh dua sungai utama iaitu Sungai Pegalan dan Sungai Padas dan juga beberapa sungai kecil yang terdapat di kawasan kajian. Dua jenis banjir dikenalpasti iaitu banjir kilat dan banjir monsun. Kedua-dua jenis banjir ini dipengaruhi oleh proses semulajadi dan aktiviti manusia. Banjir monsun dipengaruhi tadahan yang besar, topograf yang rendah, morfologi sungai yang bermeander, operasi Stesen Janakuasa Hidro Tenom-Pangi dan sungai utama yang agak cetek. Tadahan kawasan kajian adalah besar yangberkeluasan kira-kira 8,000 km2 yang meliputi hampir seluruh pedalaman Sabah iaitu dari Tambunan hingga sempadan Sabah-Kalimantan. Dataran Tenom terletak pada kawasan yang paling rendah sebelum Stesen Janakuasa Hidro Tenom-Pangi dengan ketinggian 170 meter hingga 200 meter dari paras laut purata. Morfologi sungai mempengaruhi kelajuan arus air sungai. Sungai Pegalan agak lurus dan sedikit bermeander bermula dari Keningau hingga Melalap yang sejauh kira-kira 17 km. Sungai Padas juga agak lurus bermula dari Kuala Tomani hingga Kampung Enubai di kawasan kajian yang sejauh kira-kira 20 km. Di Kawasan kajian pula, kedua-dua sungai utama berbentuk meander sehingga ke Pekan Tenom. Sungai utama yang cetek di kawasan kajian adalah akibat daripada beberapa faktor yang paling berkaitan seperti pembukaan hutan di sekitar kawasan kajian dan operasi Janakuasa Hidro Tenom-Pangi. Banjir kilat dipengaruhi hujan yang lebat, topograf setempat yang rendah, morfologi sungai kecil, sungai bersaiz kecil dan cetek, sistem perparitan yang kurang efektif. Sebanyak tiga kejadian banjir kilat di kawasan kajian telah berlaku iaitu pada 23 Januari, 13 Mac dan 14 Mac 2009 akibat jumlah hujan yang sangat tinggi. Kawasan banjir kilat terletak pada dataran yang bertopografi rendah di sekitar 180 meter hingga 200 meter dan berhampiran sungai utama iaitu kurang dari dua kilometer. Dari segi morfologi sungai, sungai kecil iaitu Sungai Naluyan, Sungai Kalang dan Sungai Uloi berbentuk agak lurus di bukit. Namun, apabila ketiga-tiga sungai ini bertembung menjadi Sungai Naluyan utama di dataran rendah (170-180 meter), sungai menjadi lebih bermeander. Sungai bersaiz kecil dan cetek menyebabkan sungai tidak dapat menampung kuantiti air hujan yang banyak. Sistem perparitan yang kurang efektif juga tidak dapat menampung air larian yang banyak pada masa kini kerana kecil dan cetek.