Bahasa MelayuEnglish (UK)

Pengaruh Morfologi Ke Atas Kejadian Banjir Di Kawasan Pekan Beaufort, Sabah

Writers : Eldawaty Madran & Felix Tongkul

Date : 11-12 June 2011

Publisher : National Geoscience Conference 2011

Location : The Puteri Pacific Johor Bahru & Persada International Convention Centre, Johor

Abstract :

Beaufort adalah salah satu daerah yang sering dilanda banjir di negeri Sabah. Banjir di sini berkait rapat dengan monsun Timur Laut yang berlaku pada bulan November hingga Mac setiap tahun. Hujan kumulatif yang tinggi dalam kawasan tadahan Sg. Padas yang sangat besar, iaitu 8,800km² merupakan punca utama terjadinya banjir besar seperti yang berlaku pada tahun 1981, 1985, 1996, 2000, 2002, 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2011. Banjir yang berlaku pada bulan Mac 2009 mengakibatkan kerugian infrastruktur yang memerlukan kira-kira RM1 juta untuk proses pemulihan selain telah menjejaskan aktiviti pertanian dan penternakan di beberapa buah kampung (New Sabah Times, 2009).  Antara kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir adalah seperti Pekan Beaufort Utara, Kg. Cina, Kg. Bekalau , Kg. Jimpangah, Kg. Luangan Beruang, Kg. Luangan Sanginan, Kg. Selagon, Kg. Pintas, Kg. Malalugus dan Kg. Bingkul. Banjir tertinggi yang pernah dicatatkan berlaku pada bulan Februari 1997 yang mencapai ketinggian hingga 9.82 m di atas paras laut, melibatkan Kg. Luangan Senginan dan Kg. Luangan Beruang. Selain daripada pengaruh hujan monsun Timur Laut yang tinggi, banjir di kawasan ini juga dikaitakan dengan keadaan bentuk morfologi kawasannya yang landai dan hampir rata. Daerah Beaufort secara amnya bertopografi rendah namun semakin berbukit-bukau apabila menghala ke timur kawasan kajian. Kawasan perbukitan ini terdiri daripada Formasi Crocker. Sungai Padas merupakan sungai utama yang mengalir dari arah timur ke barat di Laut China Selatan. Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (2002), mendapati dataran banjir Sungai Padas merupakan endapan aluvial sungai yang terdiri daripada pasir, liat dan lodak serta sedikit bahan organik. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah, (1996), didapati bahawa 50% daripada 50,000 populasi penduduk Beaufort tinggal di kawasan dataran banjir Sg. Padas yang sering diancam masalah banjir ini.  Analisis topografi menggunakan data  remote sensing iaitu Digital Terrain Model (DTM) yang mempunyai ketepatan hingga 1.0 m menegak dan 2.0 m mendatar telah dijalankan. Kontur daripada DTM ini diekstrak menggunakan perisian Global Mapper v10.0 dengan selang antara kontur adalah 1 m. Global Mapper digunakan untuk menghasilkan imej 3D limpahan air berdasarkan paras banjir tertinggi untuk satu-satu peristiwa banjir yang pernah berlaku dan direkodkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Beaufort. Imej ini dapat memeberikan gambaran kawasan yang dilimpahi air yang mana dikawal oleh bentuk muka bumi dan topografi kawasan tersebut. Beberapa buah kampung di sekitar kawasan Pekan Beaufort sangat berpotensi dan berisiko dilanda banjir berdasarkan analisis topografi ini. Kampung-kampung tersebut terletak berhampiran dengan Sg. Padas dan mempunyai ketinggian kurang daripada 10 meter dari paras laut. Daripada analisis peta topografi beresolusi tinggi ini, dianggarkan hampir 10% bertopografi di bawah 5 meter dari paras laut, 60% di bawah 10 meter, manakala 30% terdiri daripada topografi di atas 10 meter hingga 174 meter. Kawasan yang sering dilanda banjir adalah kawasan bertopografi di bawah 10 meter daripada paras laut. Data topografi ini berguna untuk kajian berkaitan dengan risiko banjir dan  boleh digunakan untuk mencari langkah yang lebih efektif untuk menghadapi dan mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.