Bahasa MelayuEnglish (UK)

Pengaruh Zon Sesar Ke Atas Kerosakan Jalan Raya Di Kawasan Kundasang-Ranau, Sabah

Writers : Aida Abd. Wahab & Felix Tongkul

Date : 11-12 June 2011

Publisher : National Geoscience Conference 2011

Location : The Puteri Pacific Johor Bahru & Persada International Convention Centre, Johor

Abstract :

Sesar merupakan retakan yang mempunyai pergerakan ketara yang selari dengan satah retakan. Sesar itu dikatakan aktif apabila berlaku pergerakan di sepanjang satah sesar dalam masa 120 000 tahun dahulu dan berkemungkinan besar bergerak lagi pada masa akan datang. Bukti-bukti sesar aktif boleh dilihat melalui permukaan bumi yang mengalami pergerakan secara berulang kali. Pergerakan sesar ini walaupun hanya beberapa sentimeter setahun sudah cukup untuk merosakkan struktur binaan seperti jalan raya, bangunan dan juga landasan kereta api. Kawasan yang mempunyai sesar aktif boleh ditentukan berdasarkan intensiti gempa bumi dan tanah runtuh yang pernah berlaku. Sehingga Julai 2010 Jabatan Meteorologi Negara telah mencatatkan sebanyak 336 gempabumi yang berlaku di Malaysia dan Sabah merupakan negeri ketiga tertinggi dengan jumlah 40 kes selepas Pulau Pinang. Kawasan Kundasang-Ranau merupakan kawasan tanah tinggi yang sering mengalami kerosakan jalan akibat susutan tanah atau runtuhan tebing. Sepanjang tahun 2008 JKR telah merekod 39 kerosakan jalan raja pelbagai skala. Sebahagian besar kerosakan jalan ini adalah berkaitan dengan masalah kejuruteraan, dimana jalan dibina di kawasan tebing yang sangat curam. Selain daripada masalah kejuruteraan satu kemungkinan penyebab kerosakan jalan disini adalah kewujudan zon lemah akibat kehadiran sesar yang merentasinya. Kajian keatas petageologi, peta topograf, fotograf udara dan imej satelit mendapati bahawa kawasan Ranau-Kundasang menunjukkan beberapa trend lineamen negative pada arah seperti Barat Laut-Tenggara, Utara-Selatan dan lain-lain. Lineamen negatif ini berkemungkinan mewakili zon sesar. Pemerhatian di lapangan mendapati bahawa zon sesar biasa dijumpai dalam unit batuan Formasi Trusmadi yang mendasari kawasan Kundasang-Ranau. Data kerosakan jalan raya telah diperolehi daripada Jabatan Kerja Raya dan kerja lapangan yang dilakukan menunjukkan bahawa terdapat kaitan antara kerosakan pada jalan raya dengan jurus lineamen.