PERLEMBAGAAN PERSATUAN STAF AKADEMIK & IKTISAS, UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

 

 

FASAL 1: NAMA

 

Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Staf Akademik dan Iktisas, Universiti Malaysia Sabah atau ringkasnya PERISAI selepas ini disebut "Persatuan".

.

 

FASAL 2 : TEMPAT URUSAN


  1. Alamat tempat urusan dan surat menyurat persatuan adalah:

    Sekolah Sains Dan Teknologi
    Universiti Malaysia Sabah
    Beg Berkunci No. 2073
    88999, Kota Kinabalu, Sabah
    Malaysia

    Atau tempat-tempat yang ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa.

  2. Alamat berdaftar dan surat-menyurat Persatuan hanya boleh diubah dengan kelulusan oleh Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

  3. Takrif :

    • "Persatuan" bermakna "Persatuan Staf Akademik & Profesional Universiti Malaysia Sabah ".
    • "Dasar" bermakna segala keputusan yang diambil oleh Mesyuarat Agung Tahunan.
    • "Mesyuarat Agung Tahunan" dan Mesyuarat Agung Khas" bermakna sebuah badan yang ditubuhkan menurut Fasal 8.
    • "Demokrasi" bermakna kebebasan dalam menentukan Dasar dan Program.
    • "Jawatankuasa Eksekutif" bermakna Jawatankuasa Kerja seperti yang ditubuhkan menurut Fasal 9.
    • "Ahli Biasa" bermakna keahlian yang diterima menurut Fasal 5 (1).
    • "Ahli Bersekutu" bermakna keahlian yang diterima menurut Fasal 5 (2).
    • "Ahli Kehormat" bermakna keahlian yang diterima menurut Fasal 5 (3).
    • "Ahli" bermakna seseorang yang telah diterima menjadi ahli Persatuan menurut Fasal 5.
    • "Universiti" bermakna Universiti Malaysia Sabah.
    • "Pegawai" bermakna Pegawai dan kakitangan Universiti dalam Kategori A seperti termaktub dalam Fasal 5 Perkara 1 (a).

 

FASAL 3:TUJUAN


  1. Meningkatkan tahap profesionalisma dan kemajuan kerjaya ahli-ahli akademik.

  2. Meningkatkan budaya akademik dan keintelektualan ahli-ahli akademik.

  3. Memastikan kod etika sebagai seorang ahli akademik dipatuhi dari masa ke semasa.

  4. Berkerjasama dengan semua pihak dari pelbagai lapisan perkhidmatan di UMS dan luar untuk merealisasikan misi dan visi UMS.

  5. Menjaga hal-hal kebajikan ahli.

 

FASAL 4:LOGO



  1. Perkataan Perisai adalah singkatan nama kepada Persatuan Staf Akademik dan Iktisas, Universiti Malaysia Sabah.

  2. Perisai melambangkan iktizam dan komitmen ahli-ahli akademik mempertahankan imej dan maruah UMS; keteguhan dan tidak mudah dirempuh; pemuafakatan semua ahli persatuan; dan berupaya mempertingkatkan tahap profesionalisme ahli.

  3. Logo ini berteraskan tiga ikon utama ialah huruf "P" membawa maksud persatuan; logo UMS sebagai nadi kepada persatuan dan gunung Kinabalu sebagai lambang kemegahan Negeri Sabah.

  4. Pada bahagian dasar logo persatuan ini dituliskan nama penuh persatuan iaitu Persatuan Staf Akademik dan Iktisas.

  5. Penjelasan warna logo persatuan:

    • Warna merah melambangkan keutuhan, kegigihan dan kekuatan fizikal dan mental kakitangan akademik UMS mempertahankan UMS dan Negeri Sabah setiap masa.

    • Warna biru melambangkan hasrat dan perjuangan semua kakitangan akademik UMS untuk mengangkat dan memertabatkan ilmu sehingga ke akhir hayat.

    • Warna putih pula melambangkan keutuhan prinsip dan hasrat ahli Persatuan mendokong misi dan visi Universiti ke arah sebuah Universiti yang inovatif dan bertaraf dunia.

 

FASAL 5 : KEAHLIAN


  1. Ahli Biasa

    • Semua kakitangan akademik UMS yang merangkumi Profesor, Profesor Madya, Pensyarah, Guru Bahasa, dan Tutor dan memegang kerakyatan Malaysia layak menjadi ahli persatuan.

    • Kakitangan akademik yang melanjutkan pelajaran masih boleh menjadi ahli sekiranya ia menjelaskan segala yuran dan bayaran yang lain.

    • Ahli biasa dikenakan yuran kemasukan dan yuran bulanan.

    • Ahli-ahli yang telah menjelaskan yuran kemasukan dan yuran bulanan adalah berhak mendapat semua kemudahan dan aktiviti yang dijalankan oleh persatuan serta berhak memilih dan dipilih dalam Mesyuarat Agung Persatuan.

    • Semua ahli adalah tertakluk kepada semua peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan dari semasa ke semasa.

  2. Ahli Bersekutu

    • Ahli Bersekutu ialah pegawai Universiti kategori A dan ke atas yang memohon menjadi ahli atau Perkhidmatannya dipinjamkan ke Universiti dan, atau secara kontrak dan, atau sementara.

    • Ahli Bersekutu dikenakan yuran kemasukan dan yuran bulanan.

    • Ahli-ahli Bersekutu berhak sebagaimana ahli biasa kecuali hak untuk mengundi dan diundi dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan.

  3. Ahli Kehormat

    • Perlantikan Ahli Kehormat adalah berdasarkan jasa dan sumbangan seseorang itu kepada Persatuan.

    • Ahli Kehormat yang dilantik mestilah dicadangkan dan dosokong oleh 2 orang ahli dan mendapat persetujuan sekurang-kurangnya dua pertiga (2/3) daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif.

    • Ahli Kehormat yang dilantik bertanggungjawab dalam menggerakkan pembangunan Persatuan. Ia berhak sebagaimana ahli biasa kecuali hak untuk mengundi dan diundi dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan.

  4. Permohonan Keahlian

    • Permohonan menjadi ahli mestilah dibuat dengan mengisi borang permohonan keahlian Persatuan.

    • Borang permohonan hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan untuk diproses kelulusannya. Jawatankuasa ini boleh menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

    • Seseorang yang permohonannya telah diluluskan mestilah membayar yuran kemasukan dan yuran bulanan pertama seperti yang ditetapkan. Hanya selepas menjelaskan yuran ini, seseorang itu berhak dianggap sebagai ahli.

    • Seseorang yang pernah menerima hukuman mahkamah adalah tidak layak untuk memohon menjadi ahli.

FASAL 6 : BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN


  1. Bayaran masuk dan yuran yang perlu dibayar ialah :-

    • Bayaran masuk RM50.00 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Sahaja) dan yuran bulanan RM10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Sahaja) bagi ahli biasa dan ahli bersekutu.

    • Ahli kehormat dikecualikan daripada sebarang yuran masuk dan yuran bulanan.

  2. Yuran bulanan hendaklah dibayar selewat-lewatnya pada 4hb. setiap bulan kepada Bendahari Persatuan.

  3. Ahli yang tidak membayar hutang yurannya lebih 2 bulan berturut-turut akan diberi surat peringatan oleh Setiausaha Agung dan gugurlah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutang yuran itu dijelaskan.

  4. Ahli yang gagal membayar hutang yurannya lebih 3 bulan dengan sendiri keahliannya dalam Persatuan telah terhenti. Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

  5. Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

  6. Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan majoriti mesyuarat agung ahli-ahlinya. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.

 

FASAL 7 : PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI


  1. Ahli yang ingin berhenti menjadi ahli Persatuan hendaklah membuat kenyataan bertulis sekurang-kurangnya 14 hari terlebih dahulu kepada Setiausaha Agung dan menjelaskan segala hutangnya.

  2. Mana-mana ahli yang melanggar undang-undang Persatuan dan bertindak mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya dalam satu tempoh yang ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif.

  3. Pemecatan atau penggantungan keahlian seseorang ahli akan dilaksanakan setelah ahli berkenaan diberi kenyataan bertulis dan diberi peluang membela diri dalam tempoh 14 hari dari tarikh kenyataan itu dikeluarkan.

  4. Ahli yang dipecat dari Persatuan hendaklah memohon semula menjadi ahli dan permohonannya adalah tertakluk kepada Fasal 5 (4) perkara (iv).

 

FASAL 8 : MESYUARAT AGUNG


  1. Pengurusan Persatuan ini adalah ditentukan oleh Mesyuarat Agung ahli-ahlinya.

  2. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli Jawatankuasa Eksekutif, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

  3. Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat agung, maka mesyuarat agung itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat agung yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat agung tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

  4. Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb. Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:

    • menerima laporan Jawatankuasa Eksekutif berkenaan perjalanan persatuan di dalam tahun lalu;

    • menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;

    • memilih ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif dan pemeriksa Kira-Kira untuk dua tahun yang akan datang; dan

    • mengurus perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

  5. Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli selewat-lewatnya 7 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat agung termasuk salinan peringatan mesyuarat agung dan laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

  6. Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:

    • bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Eksekutif, atau;

    • atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.

  7. Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat agung khas itu.

  8. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Agung kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

  9. Fasal 8 (2) dan 8 (3) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

  10. Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan Minit Mesyuarat Agung Tahunan dan Minit Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

 

FASAL 9 : JAWATANKUASA EKSEKUTIF


  1. Satu Jawatankuasa Eksekutif seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:

    • Seorang Presiden

    • Seorang Timbalan Presiden

    • Seorang SetiausahaAgung

    • Seorang Timbalan Setiausaha Agung

    • Seorang Bendahari

    • Lapan orang ahli jawatankuasa biasa dari setiap sekolah dan pusat.

  2. Semua pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini seperti yang dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan akan memegang jawatan tersebut selama dua tahun (satu penggal) dan semua pegawai ini boleh dilantik semula tetapi tidak melebihi empat tahun (dua penggal).

  3. Semua pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri dari warganegara Malaysia.

  4. Tugas Jawatankuasa Eksekutif ialah mengelola dan mengatur semua tugas harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa Eksekutif tidak boleh membuat sebarang tindakan yang bertentangan dengan dasar yang diputuskan dalam mesyuarat agung. Jawatankuasa Eksekutif mestilah membuat laporan mengenai aktiviti-aktivitinya di dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

  5. Jawatankuasa Eksekutif hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya satu kali dalam tempoh 3 bulan. Makluman bagi setiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli dalam tempoh 7 hari sebelum mesyuarat diadakan. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa Eksekutif bersama-sama boleh memanggil supaya mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada bila-bila masa. Korum yang cukup dalam mesyuarat hendaklah setengah (1/2) daripada ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

  6. Sekiranya mesyuarat tidak dapat diadakan untuk mendapatkan kelulusan ke atas sesuatu perkara mustahak, Setiausaha Agung boleh mendapatkan kelulusan melalui surat pekeliling dengan mengikut kaedah-kaedah berikut :-

    • Masalah berkenaan mestilah dinyatakan dengan jelas dalam surat pekeliling yang dihantar kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa Eksekutif;

    • Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif hendaklah menyatakan persetujuan atau bantahan bertulis mereka terhadap cadangan itu; dan

    • Sebarang keputusan mestilah dengan undi terbanyak. Setiausaha Agung bertanggungjawab melaporkan kepada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

  7. Mana-mana Jawatankuasa Eksekutif yang tidak hadir mesyuarat 3 kali berturut-turut tanpa alasan yang munasabah adalah dianggap telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa Eksekutif tersebut.

  8. Jawatankuasa Eksekutif boleh memberi arahan kepada Setiausaha Agung dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan dan melantik pegawai yang difikirkan perlu. Jawatankuasa Eksekutif juga berhak menggantung atau melucutkan jawatan mana-mana pegawai yang didapati cuai dalam tugas, curang, engkar dan merosakkan imej Persatuan.

  9. Jika seorang ahli Jawatankuasa Eksekutif meninggal dunia atau meletakkan Jawatan, maka berkuasalah Jawatankuasa Eksekutif melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

  10. Jawatankuasa Eksekutif boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

 

FASAL 10 : KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI PERSATUAN


  1. Presiden dalam masa jawatannya, adalah bertanggungjawab atas perkara-perkara berikut:-

    • Menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung, mesyuarat khas dan Jawatankuasa, serta bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat tersebut.

    • Mempunyai kuasa undi pemutus dan menandatangani semua peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.

    • Menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama Setiausaha Agung dan Bendahari bagi pihak Persatuan.

  2. Timbalan Presiden hendaklah membantu Presiden menjalankan tugas-tugasnya dan memangku Jawatan Presiden semasa ketiadaannya.

  3. Setiausaha Agung adalah bertanggungjawab atas perkara-perkara berikut:-

    • Menjalankan semua kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan perintah-perintah mesyuarat agung serta Jawatankuasa Eksekutif.

    • Mengurus hal-hal surat-menyurat dan menyimpan buku-buku, surat-surat dan kertas-kertas kecuali yang berkaitan dengan kewangan.

    • Menyimpan semua butir-butir lengkap mengenai ahli Persatuan.

    • Menghadiri semua mesyuarat dan membuat catatan-catatan Mesyuarat.

    • Menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan Bendahari bagi pihak Persatuan.

    • Mengirim penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan mengikut undang-Undang di bawah Seksyen 14 [1] Akta Pertubuhan 1966.

  4. Penolong Setiausaha Agung membantu Setiausaha Agung bagi menjalankan tugas-tugasnya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaannya.

  5. Bendahari adalah bertanggungjawab atas perkara-perkara berikut:-

    • Membuat dan menyimpan kira-kira mengenai semua perkara kewangan serta bertanggungjawab atas ketepatannya.

    • Menandatangani cek-cek bersama-sama dengan Presiden dan Setiausaha Agung bagi pihak Persatuan.

  6. (6) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu pegawai-pegawai di atas dan menjalankan tugas yang diarahkan oleh Jawatankuasa.

 

FASAL 11 : KEWANGAN


  1. Bagi undang-undang ini, wang Persatuan boleh digunakan bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan seperti belanja pentadbiran, bayaran gaji dan belanja pegawai-pegawai. Wang Persatuan tidak boleh digunakan untuk menjamin mana-mana ahli yang ditahan di bawah undang-undang atau untuk membayar denda ahli yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

  2. Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM1000 (Ringgit Malaysia Seribu Ringgit Sahaja) pada satu masa. Wang yang lebih daripada itu, hendaklah disimpan ke akaun bank persatuan.

  3. Pengeluaran wang Persatuan yang nilainya tidak melebihi RM1000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja) boleh ditandatangani oleh Presiden, Bendahari dan Setiausaha sahaja dan pengeluaran wang yang melebihi RM1000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja) tetapi tidak melebihi RM5,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja) mestilah ditandatangani oleh Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari.

  4. Sebarang perbelanjaan yang melebihi RM5, 000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja), hendaklah mendapat kebenaran Mesyuarat Agung Khas terlebih dahulu untuk satu pembayaran.
  5. Bendahari bertanggungjawab menyediakan penyata kewangan yang diterima dan yang dibelanjakan dalam setahun untuk diperiksa oleh pemeriksa kira-kira sebaik sahaja tamat tahun kewangan. Laporan kewangan yang kemaskini, mestilah dikemukakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang berikutnya untuk diluluskan. Semua ahli hendaklah mendapat salinan laporan kewangan tersebut.

  6. Tahun kewangan Persatuan ini bermula daripada 1hb. Januari dan berakhir 31 Disember tiap-tiap tahun.

 

FASAL 12 : PEMERIKSA KIRA-KIRA


  1. Dua (2) orang yang bukan pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Mereka akan menjawat jawatan ini selama dua tahun dan boleh dilantik semula.

  2. Pemeriksa bertanggungjawab memeriksa penyata kewangan Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka boleh pada bila-bila masa dalam tempoh jawatan mereka, dikehendaki oleh Presiden memeriksa penyata kewangan persatuan dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Eksekutif.

 

FASAL 13 : PENGAMANAH


  1. Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tak alih yang dipunyai oleh Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

  2. Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik dan menukar harta kepunyaan Persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberi oleh Mesyuarat Agung Tahunan.

  3. Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung Tahunan oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain sebab yang mengakibatkan ia tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan seseorang Pengamanah maka kekosongan itu boleh dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung Khas dengan secepat mungkin.

 

FASAL 14: TAFSIRAN UNDANG-UNDANG


  1. Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan, Jawatankuasa Eksekutif boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa Eksekutif, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

  2. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa Eksekutif terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung Tahunan.

 

FASAL 15 : PENASIHAT DAN PENAUNG


  1. Jawatankuasa Eksekutif boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat dan Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis dan memiliki rekod perkhidmatan yang cemerlang dan tidak pernah disabitkan dengan jenayah.

 

FASAL 16 : LARANGAN


  1. Persatuan atau ahli-ahlinya tidak boleh menjalankan kegiatan-kegiatan yang berbentuk judi.

  2. Persatuan atau ahli-ahlinya tidak boleh menjalankan kegiatan menjual loteri tanpa kelulusan pihak berkuasa berkenaan.

  3. Persatuan atau ahli-ahlinya tidak boleh melibatkan diri dalam mana-mana kumpulan AJARAN SESAT.

  4. Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan dalam gerakan Kesatuan Sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959.

  5. Permainan yang tersebut di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan setengah, semua permainan dadu, banker's game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib dan pertaruhan.

  6. "Faedah" seperti yang ditafsirkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966 tidaklah boleh diberi oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

 

FASAL 17 : PINDAAN UNDANG-UNDANG


  1. Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar

 

FASAL 18: PEMBUBARAN


  1. Persatuan ini hanya boleh dibubar dengan persetujuan dua pertiga (2/3) daripada semua jumlah ahlil yang berhak mengundi yang hadir di dalam Mesyuarat Agung Khas yang diadakan untuk tujuan tersebut.

  2. Jika Persatuan dibubar mengikut kaedah di atas, semua hutang dan tanggungan Persatuan yang sah di sisi undang-undang, mestilah dibayar dan sekiranya ada baki wang, ia adalah terserah kepada persetujuan di dalam Mesyuarat Agung Khas.

  3. Kenyataan pembubaran Persatuan mestilah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 2 minggu dari tarikh keputusan pembubaran itu dibuat.