Tinta Presiden PERISAI

 

 

Assalamualaikum Wrh. Wbt dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia, rahmat dan kasih sayang-Nya telah memberikan peluang kepada saya untuk menerajui saf kepemimpinan PERISAI bagi penggal 2014-2016.  Tanggungjawab ini bukan mudah, namun saya yakin dan percaya dengan sokongan, komitmen dan kerja berpasukan seluruh saf PERISAI, amanah ini akan dilaksanakan sebaik-baiknya berlandaskan perlembagaan PERISAI.


Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera PERISAI penggal 2012-2014 yang telah menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi. Demikian juga saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli yang terpilih sebagai exco PERISAI bagi penggal 2014-2016.


Sebagaimana citra Naib Canselor bagi menjadikan UMS sebuah universiti yang cemerlang, seluruh warga UMS harus menunjukkan komitmen dan komited dalam aspek pengajaran dan penyelidikan, bersifat inovatif, relevan dan mapan sesuai dengan tuntutan semasa. Sarana ini harus disahut dengan penuh iltizam walaupun kita menyedari ianya memerlukan pengorbanan yang besar. Sedarilah bahawa Tuhan tidak menjanjikan hidup ini tidak pernah susah, bersuka-ria tanpa kesedihan, panas tanpa hujan tetapi DIA memberi kita kekuatan, menenangkan kita semasa kesedihan dan menunjukkan jalan yang sebenar-benarnya. Oleh itu janganlah kita lalai dan sombong dengan kelebihan yang sementara. Orang yang sombong dengan ilmunya  tidak suka ditegur dan dibetulkan bahkan dia  merasakan dirinya sentiasa benar dalam semua perkara. Maka jika dia tersalah, dia akan kekal dalam kesalahannya. Dia juga tidak suka menuntut ilmu daripada orang yang dirasakan lebih rendah tahap atau kedudukkan ilmunya. Maka ilmunya tidak akan meningkat dan berkembang, tetapi akan beku, jumud dan kaku. Imam Syafie berkata, “Aku mampu berhujah dengan sepuluh orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

 

Universiti sebagai gedung ilmu dan penyubur perkembangan keilmuan sentiasa diteropong oleh masyarakat. Setiap langkah yang sumbang pastinya tidak lepas dipandang.  Oleh itu PERISAI menggesa seluruh warga akademik UMS untuk bersama-sama mengerah kudrat dan keringat memacu universiti yang kita cintai ini mencapai sasaran sebagaimana yang telah direncanakan oleh pengurusan UMS. PERISAI kita akan sentiasa bekerjasama dengan saf kepemimpinan UMS untuk memastikan agenda universiti tercapai.

 

Dr. Mohd Khairuddin Abdullah @ Jerry

Presiden PERISAI

Sesi 2014/2016