BahasaMelayuMalaysiaEnglish (UK)

All News

 

KOTA KINABALU: Atlet emas Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah, Eugenius Loh Foh Soon merangkul dua pingat emas acara memanah individu bagi membantu Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengotakan sasaran tujuh pingat emas pada Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2019 di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Eugenius, pelajar Asasi UMS dengan status Olahragawan SUKMA 2018, menang pingat emas dalam acara Kelayakan Compound dan Compound Lelaki pada Fasa II karnival sukan itu yang berlangsung sejak 29 Julai dan berakhir pada Sabtu. Dia juga menang pingat perak bersama gandingannya Noryfasikin Bilau dalam acara Compound Campuran. Satu lagi pingat gangsa disumbangkan skuad memanah menerusi Caroline Fread dalam acara Kelayakan Recurve Individu Wanita.Sumbangan skuad memanah itu membantu UMS mencapai keseluruhan tujuh pingat emas, lima perak dan lima gangsa. Lima pingat emas, empat perak dan empat gangsa dimenangi pada Fasa 1 yang berlangsung di venue sama pada 23-28 Julai. Pada Fasa 1, skuad taekwondo dan olahraga masing-masing menyumbangkan dua ppingat emas manakala satu emas lagi daripada bola keranjang wanita. Kedua-dua pingat emas olahraga dimenangi pelajar Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Sosial, Fathin Faqihah Mohd Yusof menerusi acara 200m dan 400m.

Pingat emas daripada taekwondo pula dimenangi menerusi acara poomsae berpasukan lelaki yang dianggotai Abner Janius, Darmendran Amaranhairan dan Vister Joren serta poomsae berpasukan wanita (Dayang Nurfarhana Datu Al Rashid, Janet Lim Yen Yi, Nur Ifa Husna Saiful).
Pasukan bola keranjang wanita yang menyumbangkan pingat emas pula dibarisi Long Wan Lin, Liong Kum Peik, Chin Yee Toing, Woo Siew Yin dan Sophia Yong Chiu Hung.

Pingat perak dimenangi Nur Ifa (poomsae indivdu wanita), Brynoth Alarick Larry (lontar peluru lelaki), Chua Sheng Yuan (taekwondo - welter weight lelaki) dan 4x100m wanita (Fathin, JI Fedalliah Clarita Jaimin), Jatifah Jasikin dan Vivi Anah Jasni).

Pingat gangsa dimenangi Paul Kenneth Tay (lontar peluru lelaki), JI Fedalliah (lompat jauh), Jatifah (lompat kijang wanita) dan Eileen Wong Ei Ling (taekwondo - welter weight wanita).

Pengarah Pusat Sukan UMS Ahmadi Nurdin berkata, kejayaan mengotakan sasaran itu adalah pencapaian yang membanggakan terutamanya UMS hanya menghantar kontinjen kecil.

"UMS hanya menghantar kontinjen dengan kekuatan 46 peserta termasuk atlet, pegawai serta jurulatih dan hanya mengambil bahagian dalam tujuh daripada 19 acara yang dipertandingkan.

"Saya berharap pencapaian ini menyuntik semangat kepada atlet-atlet UMS untuk terus berusaha agar kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

UMS mengambil bahagian dalam lima sukan pada Fasa 1 iaitu olahraga, taekwondo, bola keranjang wanita, petanque dan tenpin boling manakala dua lagi di Fasa II iaitu memanah dan silat.Pencapaian itu meletakkan UMS di tangga kelapan dalam kalangan 20 pasukan yang mengambil bahagian.Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara dengan 64 pingat emas, 38 perak dan 27 gangsa, kedua Universiti Putra Malaysia (UPM: 44 emas, 38 perak, 27 gangsa) dan ketiga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI: 20 emas, 17 perak, 28 gangsa).

 

Sumber: Utusan Borneo Online