Presiden PSAUMSSalam Sejahtera, Salam 1 UMS, dan salam EcoCampus kepada seluruh warga UMS.

Persidangan atau mesyuarat agung (AGM) PSAUMS telah berlalu dengan jayanya. Kepada barisan kepemimpinan PSAUMS 2015-2017 diucapkan tahniah kerana terpilih menerajui PSAUMS bagi tempoh tersebut. Sesungguhnya pemilihan itu adalah suatu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh iltizam dan kesungguhan. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli yang telah memberi mandat kepada semua barisan kepemimpinan PSAUMS 2016-2018.

Warga UMS sekalian wajar menyedari bahawa kita berhadapan dengan cabaran yang cukup mendesak yang memerlukan kita berfikir dan bertindak dengan efesien dan efektif dalam serba serbi. Sebagai staf akademik UMS, tentunya menyedari bahawa tugas mengangkat martabat universiti ini sebagai antara yang tersohor terletak dalam pundak kita. Tanggungjawab akademik bukan semata-mata memberi kuliah, menjalankan penyelidikan, menulis artikel ilmiah atau seumpamanya tetapi juga penglibatan dengan masyarakat dalam ataupun luar UMS. Kakitangan akademik perlu bertanggungjawb terhadap profesion dan profesionalisme mereka. Siapakah yang akan memperdulikan hal ini? Oleh itu saya menyeru agar semua kakitangan akademik UMS bersama-sama memainkan peranan memperkasakan dunia akademia, mencanai citra universiti tercinta dengan menyertai PERISAI sebagai wadah yang bertanggungjawab mengangkat darjat dan martabat profesion kita.  “Kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi”

Mari kita renungkan bersama bahawa “Kita adalah Apa yang Kita Fikirkan”. Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan, apa yang kita lakukan atau tidak lakukan akan menjadi "warisan" Natijahnya  segala yang kita fikir, akan menjadi 'kepercayaan kita'maka kita pasti melakukannya dan menepati hukum ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah  yang akan menjadi "warisan" yang kita tinggalkan nanti. Mari kita nikmati saat-saat terindah dalam profesion kita.

 

Dr. Mohd Khairuddin Abdullah

Presiden