Penilaian Sensori dalam Pembangunan Produk Makanan

Syarahan Khas: Sensory Evaluation in Food Product Development

 

Pada 11 Februari 2011, SSMP telah menganjurkan syarahan khas bertajuk “Sensory Evaluation in Food Product Development” yang disampaikan oleh Profesor Dr. Aminah Abdullah, dari Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan (PPSKTM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena lawatan kerja beliau ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan mengambilkira kepakaran utama Prof. Dr. Aminah adalah di bidang Penilaian Sensori Makanan. Syarahan ini telah berlangsung pada pukul 2.30 petang, bertempat di Bilik Seminar, SSMP.

 

aa1 aa2

 

Berikut adalah secara ringkas biodata Prof. Dr. Aminah Abdullah. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan bertugas sebagai Profesor kontrak di UKM. Beliau mula menyertai UKM pada tahun 1982 selepas berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Missouri-Columbia, USA pada tahun 1982. Sejarah akademik beliau bermula dengan Diploma Pertanian (UPM) pada 1973, seterusnya Bachelor of Science daripada Louisiana State University – Baton Rouge, USA (1975), dan seterusnya pada tahun 1978 berjaya memperolehi Master of Agriculture dari North Carolina State University – Raleigh, USA. Pada 1985, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Sains Makanan dan Pemakanan, sehinggalah beliau mengambil cuti sabatikal ke University of Georgia-Griffin, USA pada 1989. Bidang kepakaran dan disiplin penyelidikan beliau adalah masing-masing melibatkan bidang Sains Makanan dan Pemakanan dengan pengkhususan di bidang Penilaian Sensori, Keselamatan Makanan, dan juga Pemakanan.

 

aa3 aa4

 

Objektif utama syarahan khas ini adalah sebagai platform perkongsian ilmu pengetahuan di kalangan ahli akademik dan juga para pelajar mengenai kaedah penilaian sensori yang sesuai diaplikasikan dalam pembangunan produk makanan. Secara umumnya, syarahan ini telah melibatkan pelajar-pelajar SSMP di tahun 4 dan 2 yang masing-masing sedang menjalankan projek penyelidikan tahun akhir terutamanya yang melibatkan skop pembangunan produk, serta pelajar-pelajar yang mendaftar subjek NT11103 Penilaian Deria Makanan pada Semester II, Sesi 2010/2011.

 

Syarahan yang disampaikan oleh Prof. Dr. Aminah Abdullah ini telah mengupas mengenai kaedah-kaedah sensori, dan jenis skala sensori yang paling sesuai digunakan dalam konteks pembangunan sesuatu produk makanan, serta cara penganalisaan data sensori yang tepat. Beliau juga menjelaskan, berdasarkan pengalaman dan kepakaran beliau dalam bidang penilaian sensori makanan, skala hedonik 7 tahap adalah yang paling sesuai digunakan dan patut diimplementasikan dalam skop ujian penilaian sensori makanan di Malaysia. Ini kerana skala hedonik 9 dan 11 tahap sangat mengelirukan dan menyebabkan ketidakjituan data yang berpunca daripada kekeliruan ahli panel dan juga bias. Manakala skala hedonik 5 dan 6 tahap tidak dapat menggambarkan tahap kesukaan pengguna terhadap produk yang diuji secara jelas dan terperinci.


Pada masa yang sama, beliau mengulas isu semasa mengenai tahap penerimaan pengguna terhadap sesuatu produk yang berbeza-beza mengikut budaya. Dalam isu ini, beliau memberikan contoh bagaimana kejayaan Malaysia memasarkan mangga tempatan yang diberi nama Chokanan ke luar negara walaupun pada hakikatnya warna kulit mangga tersebut adalah masih kehijuan pada waktu ianya masak. Melalui ujian penilaian sensori, persepsi masyarakat luar negara seperti Australia dan Jepun terhadap rasa masam mangga Chokanan dan ianya masih belum masak telah dapat diubah. Ini kerana, walaupun warna kulit adalah hijau, tetapi warna isinya adalah oren terang serta rasanya yang manis telah menggalakkan permintaan mangga Chokanan di peringkat antarabangsa.

 

aa5 aa6

Secara umumnya, syarahan ini telah berjaya menjelaskan beberapa kepincangan ilmu pengetahuan dari aspek penilaian sensori makanan di kalangan para pelajar SSMP dan juga ahli akademik terutamanya yang melibatkan kaedah, skala dan penganalisaan data sensori dalam konteks pembangunan produk makanan. Di akhir sesi, beberapa soalan telah diajukan dari kalangan pelajar SSMP dan juga staf akademik dan yang pasti, ianya telah berjaya mengurangkan kekusutan yang membelenggu.

 

Sebagai menghargai di atas kesudian Prof. Dr. Aminah, SSMP telah menyediakan cenderahati kepada beliau yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Sharifudin Md. Shaarani, Dekan SSMP. Setelah itu, majlis telah diakhiri dengan jamuan minum petang dan beramah-mesra yang disediakan di Bilik Rekreasi, SSMP.

 

Terakhir dikemaskini (Isnin, 27 Januari 2014 08:04)