Kehadiran Profesor James Collins di Sekolah Sains Sosial (SSS) berjaya memberikan perspektif baru memahami keunikan bahasa berasaskan sejarah, geografi dan komunikasi.
Ceramah beliau berjaya memukau minat dan perhatian ahli-ahli akademik dan siswa/i dari SSS dan PPIB sehinggakan bilik ceramah penuh sesak dengan peserta yang teruja dengan penjelasan fakta-fakta beliau.
Paling menarik Collins yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam kajian linguistik moden berkongsi pengalaman dan dapatan kajian beliau dalam Bahasa Melayu Malaysia.
Kajian perbandingan linguistik di negeri-negeri Semenanjung Malaysia terutamanya Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan (termasuk Patani, Selatan Negara Thai), dengan Sabah dan Sarawak berjaya membongkar rahsia di sebalik keunikan dialek-dialek bahasa yang digunapakai masa kini. Sebagai misalannya, melihat dari sudut kaca sejarah kolonial berupaya memberikan gambaran status linguistik moden di Malaysia. Kekompleksan bahasa di Perak misalannya bermula dari kehadiran tentera upahan British sewaktu penjajahan (zaman kolonialisme).
Zaman kolonialisme memaksa sebahagian penduduk berhijrah menyelamatkan diri dan mencari kehidupan yang lebih baik. Keadaan ini menyumbang kepada keaslian golongan ini yang terasing daripada pengaruh bahasa asing.
Penemuan kajian Prof Collins turut berjaya mendedahkan sejarah penghijrahan penduduk dan perubahan pola kependudukan apabila melakukan penilaian ke atas aspek-aspek geografi dan topografi dan struktur sosial kependudukan masyarakat Malaysia kontemporari. Penemuan dialek di Pulau Tioman di penempatan Sarawark (jarak yang bergitu jauh) merupakan bukti orang Melayu suka berlayar. Bukan tiu sahaja, Sintaksis Bahasa Mah Meri (suku asli di Kuala Langat, Selangor) dengan Bahasa Semelai (tasik kulai, Pahang) yang dua-dua berbeza dengan bahasa Melayu sebaliknya bersamaan dengan bahasa Vietnam dan Kemboja.
Menurut Prof Collins, keterbatasan kajian di Malaysia adalah disebabkan ciri-ciri sejarah itu sendirinya hanya bermula apabila ada dokumen yang boleh dikaji. Permasalahan utamanya adalah pendokumenan tentang segala hal ehwal masa lalu di Malaysia hanya bermula secara aktif sewaktu zaman kolonialisme. Keadaan ini menyukarkan usaha-usaha untuk menjejaki konteks sebelum zaman kolonialisme.
Prof Collins turut memperkenalkan suatu kaedah baru dalam penyelidikan beliau iaitu menggunakan konsep sungai (iaitu suatu konsep geografi) untuk memahami bahasa. Menurut beliau ini adalah kerana berdasarkan geografi dan topografi masyarakat Melayu bermula dengan tinggal di tepi sungai. Beliau telah memperolehi perincian kajian linguistik beliau melalui aspek-aspek geografi berpandukan kajian beliau di sekitar kawasan sungai di Ulu Terengganu (1981), Sarawak dan Saribas (1983, 1999) dan kawasan-kawasan persisiran di Kedah, Terengganu, Sarawak dan Tioman.
Cabaran kajian linguistic masa kini sudah jauh lebih mudah berbanding dahulu. Beliau berkongsi pengalaman kajian kependudukan (lokasi penempatan) yang terletak di tepi sungai Kuala Terengganu sewaktu memulakan kajian beliau pada tahun 1981 mendapati sebahagian penempatan masih hanya boleh dihubungi melalui sungai dan belum ada jalan darat. Malahan di Sarawak hari ini masih ada penempatan-penempatan yang masih tidak boleh dihubungi dengan jalan darat seperti Kapit masih tidak boleh dihubungi melalui jalan darat.
Keunikan dialek berjaya membongkar sejarah penempatan dan ketamadunan. Sebagai misalannya, penemuan batu bertulis di Terengganu dalam tulisan jawi yang tertua 1302 di memberitahu daerah Ulu Terengganu pada suatu ketika dahulu lebih besar berbanding penempatan-penempatan lain di Terengganu. Batu bertulis tersebut merupakan satu-satunya bahan bukti tunggal yang boleh digunakan untuk mengetahui linguistik pada ketika tersebut dan serba sedikit ketamadunan pada ketika tersebut.
Bergitupun, menurut Collins, “salah satu kelemahan dalam penelitian bahasa di Malaysia adalah para pengkaji masih terlalu dipengaruhi oleh batas-batas politik waktu zaman kolonial dan bukannya disebabkan oleh budaya.” Konsep geografi iaitu konsep sungai mampu memperbetulkan salah konsep British satu negeri hanya ada satu dialek sahaja.
Deskripsi dialek Melayu Sarawak berdasarkan usaha mula 1983 untuk mengenalpasti kepelbagaian dialek Sarawak turut mendapati kepenggunaan dialek-dialek Sarawak adalah sangai pelbagai.
Dialek Saribas, Sarawak mempunyai keunikannya yang tersendiri meskipun berdekatan dengan Kuching. Sebab penyebab perbezaan tersebut adalah kerana gabungan tentera Iban dan Melayu di Saribas bergitu kuat sekali sehingga Raja Brooke terpaksa minta bantuan daripada tentera British berpandukan sejarah sebenarnya mendedahkan wujud dua kiblat politik yang berbeza. Ini menyebabkan sepanjang penjajahan Raja Brooke, Saribas tidak pernah dimajukan oleh kerajaan Brooke kerana dicop sebagai pemberontak. Senario ini juga menyumbang kepada sepanjang penajajahan lebih 100 tahun, dialek asli di Saribas, Sarawak masih mengekalkan keaslian mereka (tidak berubah dipengaruhi unsur-unsur bahasa asing).
Prof Collins turut meluahkan kegusaran beliau akan kerugian besar keunikan dialek-dialek bahasa ini semuanya akan hilang ditelan arus modenisasi jika tidak dibukukan.
Selain menelusuri sungai (pendekatan geografi), Prof Collins turut mengendalikan kajian beliau berdasarkan penelusuran persisiran pantai di mana antara lain beliau menemui dialek Melayu Kelantan boleh dijumpai di persisiran pantai Johor. Dalam konteks tersebut beliau menemui perdagangan terutamanya urusniaga jual beli barangan dan penghambaan telah mengintegrasikan dialek-dialek bahasa yang berbeza.
Melihat dari perspektif komunikasi menggunakan bahasa Orang Asli sebagai kajian kes, Collins mendapati perbezaan dan persamaan bahasa turut disebabkan oleh kepadatan (konsep bahasa lawan penduduknya) yang menyumbang kepada pembentukan dialek baru yang campur-aduk. Penghijrahan penduduk dalam konteks kontemporari melaluia proses urbanisasi yang didorong oleh peluang pekerjaan serta perkahwinan telah menyumbang kepada campur-aduk dan kepelbagaian dialek-dialek bahasa dalam kalangan penduduk Malaysia.
Dalam analisis hubungan bahasa di antara dialek-dialek yang berbeza, beliau merumuskan pendidikan moden di sekolah-sekolah Malaysia berjaya mempertemukan pelajar-pelajar dari pelbagai dialek bahasa yang berbeza bertemu di sekolah rendah.
Update: 22 Disember 2011