|  Direktori  |  Hubungi Kami  |   Staf   |  Pelajar  |  Pelawat  |

.

 
.

.

English (UK)BahasaMelayuMalaysiaChinese (Simplified)

ARKIB

Graduan Tidak Harus Terlalu Memilih Kerja : Ketua Menteri

ISNIN, 15 FEBRUARI – Graduan lepasan kolej atau universiti diingatkan agar tidak terlalu memilih pekerjaan, sebaliknya menerima mana-mana pekerjaan yang diperoleh, dan barulah kemudiannya berusaha untuk menambah baik kehidupan sendiri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman berkata, kerajaan negeri khususnya amat prihatin terhadap nasib graduan universiti yang bergraduat setiap tahun untuk mencari pekerjaan yang sesuai.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk menyediakan infrastruktur yang baik di bandar mahupun di luar bandar bagi menarik pelabur untuk membuat pelaburan di negeri ini, sekali gus mewujudkan lagi lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan-graduan yang menganggur.

“Kerajaan negeri juga telah menyediakan tanah dan pelbagai skim bantuan kepada para graduan khususnya untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian, iaitu sebagai usahawan tani.

“Pertanian pada hari ini bukanlah satu pekerjaan yang kotor atau hanya untuk golongan miskin, tetapi pertanian mampu menjana pendapatan yang menguntungkan. Justeru graduan harus positif dan menyahut cabaran ini, dan bukannya memilih untuk mencari kerja yang sesuai dengan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Temu Duga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Negeri Sabah di Dewan Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah pagi tadi.

Mengenai program SL1M, beliau memuji usaha dari Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini yang menyediakan platform kepada para graduan untuk berusaha mencari peluang kerjaya dengan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan agensi swasta yang memberi latihan pekerjaan sebagai persediaan kerjaya kepada para graduan yang menyertainya.

 Program SL1M Peringkat Negeri Sabah pada kali ini melibatkan lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh lebih 40 buah syarikat. Sehingga pagi tadi, lebih 1,000 peserta telah hadir bagi mencari peluang yang ditawarkan.

Hadir sama pada majlis itu Ketua EPU, Datuk Seri Dr. Rahmat Bivi Yusoff; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Ismail Ali; Pengarah Seksyen Pembangunan Modal Insan  EPU, Amir Omar dan Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia, Hajah Norashikin Datuk Haji Ismail. -MA-

Foto: Suzeanywati Gasinin


IKUTI KAMI

ums qr150 facebook361 twitter361 utube361 flickr361 h linkedin

CAPAIAN PANTAS

PAUTAN LUAR

mygov kpm36 mampu36