Increase size
Reset to Default
Decrease size

w3chelpsitemap

English (United Kingdom)

Sedekad Penyelidikan Arkeologi Dan Warisan Budaya UMS, 2003-2013

arkeologi4JUMAAT, 26 JULAI - Sedekad yang lalu, kajian arkeologi ke atas tinggalan kapal karam di perairan Tanjung Simpang Mengayau, Kudat oleh ahli arkeologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjadi asas kepada kepesatan perkembangan penyelidikan bidang ini untuk tahun-tahun berikutnya. Namun tidak ramai yang menyedari bahawa perkembangan awal ini bakal mengubah senario kajian arkeologi di Sabah dan Malaysia umumnya. Perubahan yang dimaksudkan termasuklah menjadikan  UMS sebagai salah satu peneraju kepada kedua-dua bentuk kajian yakni kajian arkeologi bawah air dan darat (terrestial).

Kini UMS boleh berbangga dengan pencapaian yang dikecapi malah dilihat seiring dengan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lebih senior seperti Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia yang telah menjalankan kajian seumpamanya lebih awal. Buktinya, Universiti Eko Kampus itu melalui ahli arkeologi, Baszley Bee B. Basrah Bee  mendapat pengiktirafan di peringkat nasional apabila dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pakar Kebudayaan Bawah Air, Jabatan Warisan Negara sejak tahun 2010. Beliau berperanan sebagai pemberi nasihat, idea dan pendapat mengenai bidang tersebut sekaligus menjadi individu yang dirujuk dalam bidang berkenaan.

Pada masa yang sama bantuan geran penyelidikan, teknikal, perundangan, logistik dan kerjasama penyelidikan yang berterusan dengan Jabatan Warisan Negara, Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Muzium Negeri Sabah dan TLDM yang berterusan menunjukkan kepercayaan terus diberikan terhadap kepakaran yang dimiliki oleh ahli arkeologi UMS. Malah, beberapa syarikat kontraktor salvaj komersil juga merujuk kepada ahli arkeologi universiti tersebut dan melakukan kajian arkeologi bersama.

Antara kajian yang menyerlah ialah Tanjung Simpang Mengayau Wreck (2004-2007), SS St. Pancras Wreck (2010), Balambangan Wreck (2011-2012), Tapak Kapal Karam Perang Dunia Kedua (2011-2012) dan Aktiviti Penjarahan Tapak Kapal Karam di Sabah (2010-2013). Kajian sedemikian telah menjadi rujukan bukan sahaja dalam bidang arkeologi diperingkat nasional dan antarabangsa tetapi juga dalam pembuatan dasar kerajaan terhadap warisan kebudayaan bawah air.

UMS terus mengorak langkah melalui kajian-kajiannya dalam arkeologi terrestrial dengan kajian pertama seumpamanya di Malaysia yakni kajian ke atas tapak purba guar effigi haiwan Ulung Buayeh dan tapak Tradisi Megalitik di Long Pasia, Sipitang (2007-2010). Begitu juga kajian rock art archaeology ke atas tapak petroglif (batu berukir) di kawasan tersebut (2008). Kajian-kajian tersebut seterusnya dilakukan di beberapa kawasan tapak lain di Sabah.
 
Pendokumentasi semula tapak Petroglif Lumuyu di Ulu Tomani (2012) membawa kepada penemuan tapak-tapak baru untuk kajian tahun seterusnya. Tahun 2013 merupakan tahun yang amat bersejarah dalam kajian arkeologi terrestrial Malaysia khususnya di Sabah apabila pasukan penyelidik arkeologi yang diketuai oleh Baszley Bee dengan dibantu oleh pelajar sarjana dan tahun akhir program Sejarah Sekolah Sains Sosial (SSS), kakitangan Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara dan Bahagian Arkeologi Jabatan Muzium Negeri Sabah telah berjaya menemukan lagi empat tapak baru petroglif di Ulu Tomani dan Long Pasia. Tapak tersebut ialah tapak Petroglif Lumuyu 2, Petroglif Lumuyu 3, Petroglif Naunggak dan Petroglif Batu Narit 2. Disamping itu, sebanyak 13 buah tapak lain di Pensiangan, Kinabatangan dan Lahad Datu juga diketahui kewujudannya. Kajian dan penemuan-penemuan ini sekaligus menjadikan UMS sebagai peneraju dalam kajian arkeologi petroglif ni negara ini. Pencapaian tempat kedua dalam pertandingan penyelidikan Pascasiswazah di peringkat antarabangsa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada  tahun 2012 dalam kajian arkeologi Petroglif juga memberi makna yang besar dalam kajian ini.

Perkembangan kajian arkeologi tidak terbatas dalam kalangan pensyarah dan pelajar sarjananya. Pembabitan pelajar Prasiswazah juga meluas melalui kajian dalam kursus Pengurusan Warisan. Sejak kursus ini diperkenalkan pada tahun 2007, kajian survei dan pendokumentasian tapak arkeologi dan bersejarah di Sabah adalah yang paling aktif di Malaysia. Antaranya ialah tapak ikon pembentukan Malaysia yang hasil kajian ini bakal diterbitkan oleh RTM sempena 50 tahun pembentukan Malaysia pada tahun ini. Penerbitan dokumentari hasil kajian ini bukanlah sesuatu yang baru kerana kajian ke atas tapak purba guar effigi haiwan Ulung Buayeh Long Pasia juga pernah ditayang pada tahun 2010.
 
Dari segi penerbitan pula, puluhan penulisan dan kertas seminar dihasilkan, antaranya yang diiktiraf diperingkat antarabangsa sebagai rujukan utama dalam kajian arkeologi bawah air di Asia Tenggara ialah Arkeologi Maritim Tanjung Simpang Mengayau (2009). Beberapa buah buku lagi mengenai tapak kapal karam, Tradisi Megaltik dan petroglif bakal diterbit dalam masa yang terdekat.

Setelah sedekad perkembangan kajian arkeologi dan warisan budaya oleh kalangan arkeologis dan para pelajarnya, telah sampai masanya UMS memiliki sebuah unit khusus untuk menjadi kebanggaan universiti ini sebagai penjana dan penerusan kajian yang lebih aktif. Cetusan idea oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah pada tahun 2012 membawa kepada cadangan penubuhan Unit Penyelidikan Arkeologi Borneo (UPArk) yang sedang dalam proses penwujudannya.

Sesungguhnya sokongan dari pihak pengurusan UMS amat penting dalam mengangkat martabat dan melestarikan bidang arkeologi UMS ke tahap yang lebih tinggi. Jolokan amphibian archaeologist untuk pengkaji  arkeologi UMS adalah begitu senonim dan tidak pernah diberikan kepada mana-mana ahli arkeologi IPTA lain di Malaysia. Oleh yang demikian Unit yang bakal diwujudkan akan menjadi satu-satunya entiti arkeologi dan warisan universiti di dunia yang menjalankan kedua-dua bentuk bidang kajian arkeologi. -SS
 
  
Sumber: M.Malik Awang Rasin
 
 
Seksyen Penerangan dan Media, Bahagian Perhubungan Korporat