|  Direktori  |  Hubungi Kami  |   Staf   |  Pelajar  |  Pelawat  |

.

 
.

.

English (UK)BahasaMelayuMalaysiaChinese (Simplified)

ARKIB

600 Bakal Jemaah Haji Berkampung Di UMS

ISNIN, 10 JULAI – Lebih 600 bakal jemaah haji berkampung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyertai Kursus Perdana Haji sebagai persediaan kepada para bakal jemaah haji yang dijangka akan mula berangkat ke Tanah Suci Mekah hujung bulan ini.

Menurut Pengarah Lembaga Tabung Haji (TH) Sabah, Datin Hajah Nurlaila Said, kursus dua hari anjuran Lembaga Tabung Haji itu antara lain bertujuan untuk memantapkan pengetahuan berkaitan ibadah haji terutama dari segi praktikal serta platform untuk menyalurkan maklumat terkini kepada peserta sebelum mereka berangkat.

“Kursus ini dijalankan dengan bimbingan dan tunjuk ajar oleh lebih 120 orang Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) Pembimbing Ibadat Haji yang memperoleh pentauliahan khas Mengajar Haji dan Umrah daripada TH.

“Diharapkan para bakal jemaah haji yang telah terpilih untuk menjaga kesihatan dan mula melakukan persiapan dengan melakukan rujukan-rujukan terhadap ibadah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah nanti,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sabah (Zon Pantai Barat) Musim Haji 1438H / 2017M di Masjid UMS.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar Haji Mahiruddin.

Sementara itu, Tun Juhar menyeru para bakal jemaah haji agar sentiasa mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Tabung Haji bagi mengelakkan daripada kejadian yang tidak diingini.

Katanya, dengan hampir 4 juta orang berada di suatu tempat yang terbatas, sudah tentu kesesakan akan berlaku dan pelbagai cabaran terpaksa dihadapi.

“Dalam keadaan ini, para jemaah haji perlu banyak bersabar dan sentiasa bertenang. 

“Semoga berkat kesabaran dan penat lelah tersebut, ibadat haji anda akan diterima oleh Allah SWT dan memperoleh ganjaran hebat,” ujar Tun Juhar. 

Hadir sama pada majlis tersebut isteri beliau Toh Puan Hajah Norlidah Datuk Seri Panglima R.M Jasni, Pembantu Menteri DI Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Mohd. Arifin Arif, dan Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin.

 


IKUTI KAMI

ums qr150 facebook361 twitter361 utube361 flickr361 h linkedin

CAPAIAN PANTAS

PAUTAN LUAR

mygov kpm36 mampu36