Centre for Occupational Safety and Health
| Director Assoc. Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin Visit Our Website: http://www.ums.edu.my/pkkp |
Message
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Sekalung ucapan terima kasih di atas kesudian tuan/puan melayari laman web Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP), UMS. Mewakili anggota kerja PKKP saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat datang ke laman web PKKP UMS.
Tarikh 1 Februari 2012 merupakan tanggal bersejarah bagi penubuhan secara rasmi Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMS yang juga dikenali sebagai PKKP UMS. Ianya juga membuktikan komitmen universiti dalam peningkatan kualiti mengurus selia hal-hal yang berkaitan dengan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Keujudan laman web PKKP ini adalah sangat bertepatan dengan keperluan semasa UMS yang sedang menujah arus kegemilangan. Laman web ini diharap dapat menyediakan warga kampus dengan maklumat-maklumat keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang terkini dan tepat.
Mengelungsuri arus perkembangan pesat universiti dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, pertambahan bilangan mahasiswa, aktiviti penyelidikan yang dinamik dan kerancakan pembangunan infrastuktur sedikit sebanyak telah menyumbang kepada cabaran dalam menguruskan isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Antara matlamat utama penubuhan PKKP UMS adalah sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Naib Canselor serta berperanan secara langsung menyokong usaha-usaha universiti untuk meningkat dan menggalakkan suasana persekitaran kerja yang selamat dan sihat di UMS sejajar dengan keperluan perundangan, khususnya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Akta514) 1994.
Akhir kata, adalah diharapkan maklumat-maklumat dalam laman web ini dapat dijadikan panduan serta membantu usaha PKKP UMS bagi membudayakan suasana dan persekitaran kerja yang selamat dan sihat. Ianya juga diharap akan menjadi laman rujukan “reffered site” bagi semua warga UMS.
Mengenai Kami
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) telah mendapat kelulusan parlimen pada tahun 1993 dan diwartakan pada Februari 1994. AKKP merangkumi sejumlah 92% daripada tenaga kerja dan hanya pengecualian pekerjaan atas kapal dan angkatan tentera. Ianya bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan kesedaran keselamatan dan kesihatan di kalangan pekerja dan mereka yang berada di tempat kerja. Organisasi ataupun majikan akan menjadi lebih sensitif dan peka terhadap pencegahan kemalangan dan kecederaan di kalangan pekerja-pekerja mereka. Adaptasi pelaksanaan berkonsepkan pengaturan kendiri yang disesuaikan dengan industri atau organisasi yang berkaitan. Peruntukan AKKP ini melengkapi peruntukan undang-undang sedia ada dan sekiranya terdapat sebarang percanggahan, AKKP 514 akan digunapakai sebagai rujukan utama. Mengambil kira skop keperluan AKKP 514 dan arahan semasa yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia, komitmen pihak pengurusan universiti dalam aktiviti pematuhan AKKP 514 adalah sangat kritikal dan perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak.
Mengikut keperluan AKKP 514 (1994), menyatakan semua aktiviti pekerjaan termasuklah sektor perkhidmatan awam dan badan berkanun seperti universiti adalah tertakluk dibawah AKKP 514 kecuali aktiviti pekerjaan di atas kapal dan perkhidmatan angkatan tentera. Kegagalan organisasi atau majikan untuk mematuhi peruntukan AKKP 514 boleh didakwa secara langsung dan dikenakan tindakan undang-undang.
Perlaksanaan AKKP di UMS melalui PKKP dengan secara langsungnya akan meningkatkan daya saing dan kualiti untuk menjadi salah satu universiti yang terulung dirantau ini. Universiti yang selamat dan sihat akan membantu pekerja dan pelajarnya menjadi lebih produktif. Kemalangan dan kecederaan semasa bekerja akan merugikan aspek sumber dan kemahiran manusia. UMS berpotensi menjadi model untuk persekitaran kerja yang selamat dan sihat, dan ini akan menjadi contoh kepada IPTA-IPTA yang lain di Malaysia untuk melaksanakan program yang sama.
VISI PKKP
Merealisasikan pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Akta 514) dan Piawaian Antarabangsa Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OHSAS 18001:2007) di Universiti Malaysia Sabah.
MISI PKKP
Membudayakan cara kerja selamat dan sihat melalui pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Akta 514) dan Piawaian Antarabangsa Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OHSAS 18001:2007) di kalangan warga Universiti Malaysia Sabah.
OBJEKTIF UTAMA PKKP
- Melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan mengikut Piawaian Antarabangsa Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OHSAS 18001:2007);
- Memastikan pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Akta 514) serta akta-akta dan peraturan-peraturan lain yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan;
- Menjalankan tugas-tugas seketariat untuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) selain dari aktiviti pemantauan dan pemeriksaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara berkala di tempat kerja;
- Menjalankan penyiasatan kemalangan dan kajian kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan dan penyakit pekerjaan;
- Merancang, menyedia dan melaksanakan program latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang bersesuaian; dan
- Bertanggungjawab dalam perkara-perkara berkaitan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Universiti dan mengeluarkan arahan-arahan mengenainya.
+6088-320000 ext 1382/1151/1661
+6088-320126
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it










