Fakta & Angka : Objektif, Logo dan Cokmar

VISI

  • Menjadi sebuah universiti berinovatif yang bertaraf dunia

 

 

 

 

 

MISI

  • Mencapai kecemerlangan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa menerusi pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat serta untuk mencapai keseimbangan pengkhususan ilmu dan keperibadian pelajarnya untuk menghasilkan produktiviti dan kualiti yang tinggi dalam konteks persekitaran dan aspirasi pembangunan masyarakat dan Negara.

 

 

 

 

OBJEKTIF

  • Meneroka, memelihara dan memanfaatkan ilmu dengan berkesan untuk pembangunan masyarakat dan negara.
  • Mengeluarkan graduan mengkhusus tetapi seimbang, berketrampilan, bertaqwa dan patriotik.
  • Menjalinkan hubungan kerjasama di antara UMS dengan industri, kerajaan, badan-badan professional dan masyarakat.
  • Memupuk dan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan murni sejagat serta keterbukaan berfikir dengan penuh tanggungjawab di kalangan para sarjana, pegawai dan tenaga sokongan universiti sambil mencapai hasil kerja yang optimum dan berkualiti tinggi.
  • Menyumbangkan kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang teguh dan saksama
  • Meningkatkan martabat dan prestij universiti sebagai institusi masyarakat yang unggul, progresif dan terkemuka.
  • Untuk meningkatkan hubungan antara universiti, industri, badan profesional, organisasi sosial dan kerajaan.
  • Untuk memupuk nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan minda terbuka ditambah dengan rasa perkhidmatan dan dedikasi di kalangan ahli akademik, cendekiawan, pegawai dan kakitangan  di universiti bagi memastikan produktiviti yang optimum.
  • Untuk menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi yang dinamik negara.
  • Untuk memupuk kebanggaan dan prestij di universiti sebagai institusi yang progresif utama.

 

 

 

 

 


 LOGO KAMI

LogoUms

PERISAI

Perisai melambangkan kekuatan universiti sebagai suatu kesatuan daya tenaga yang berpadu untuk mendokong wawasan universiti.

BUKU

Buku yang terbuka di atas sebuah rehal melambangkan ilmu pengetahuan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia dan ia menjadi sumber keintelektualan, keimanan, kebijaksanaan dan buku juga melambangkan semangat penerokaan dari deria yang sentiasa ingin mengetahui melalui minda yang analitis.

MATA PENA

Mata pena merujuk kepada ketepatan dan kejituan penghayatan ilmu. Pena merupakan manifestasi ilmu yang lahir dalam minda dan diterjemahkan kepada bahasa yang tertulis. Mata pena yang menuju ke atas menunjukkan ilmu itu tidak terbatas bidangnya.

BUNGA RAFFLESIA

Bunga Rafflesia adalah lambang keunikan "Negeri di Bawah Bayu".

LINGKARAN SFERA

Lingkaran Sfera menggambarkan cakerawala di mana alam ini wujud, melambangkan ilmu pengetahuan yang disampaikan meliputi seluruh ilmu yang berhubung dengan alam ini.

WARNA

Kuning : Melambangkan suasana warga kampus UMS yang sentiasa ceria, segar, aktif dan dinamik umpama alam sentiasa disinar suria.

Merah : Melambangkan keutuhan, kegigihan dan kekentalan yang ada di sanubari setiap warga UMS dalam menghadapi segala cabaran demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

Biru : Melambangkan suasana kehidupan yang harmoni, yang mencerminkan ikatan persaudaraan di kalangan warga kampus dengan persekitarannya.


cokmarCokmar adalah simbol kebesaran Universiti. Kepala Cokmar berbentuk glob mengandungi emblem negara Malaysia yang terletak di atas Jalur Gemilang. Ini menunjukkan kedudukan Universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang menjunjung misi dan visi negara yang berusaha memberikan pendidikan kepada semua warga negaranya. Pada cincin alas glob tertulis dalam aksara jawi perkataan Universiti Malaysia Sabah.
Badan Cokmar berbentuk batil yang berkaki dan bertutup serta terletak di atas tapak, mengandungi lambang negeri-negeri di Malaysia dan emblem Universiti Malaysia Sabah, manakala di bawah lambang UMS terdapat lambang flora kebanggaan negara iaitu Bunga Raya dan Bunga Rafflesia. Pada kaki dan tapak batil terdapat motif-motif seni masyarakat tempatan, iaitu motif pucuk rebung, motif geometri dan motif padi. Terdapat sembilan tangkai padi dan ini melambangkan UMS sebagai Universiti awam yang kesembilan di Malaysia
Kaki Cokmar berbentuk tongkat yang terbentuk daripada beberapa batang kecil yang disimpai serta dililit oleh pokok sireh menjalar yang melambangkan sekolah, pusat, institut dan unit yang bersatu teguh manakala simpai pula melambangkan statut, akta dan peraturan-peraturan yang menjadi panduan dan etika pengurusan, pentadbiran dan pendidikan. Sirih Emas yang melilit batang Cokmar melambangkan dinamisme program-program yang dijalankan di Universiti ini.
Motif Bumi di mana pokok ilmu itu mendapat tenaga melambangkan sains dan teknologi untuk hidup dan berkembang serta mendorong cita-cita murni. Di atas bumi terdapat lima mata pena yang melambangkan kekuatan dan keutuhan ilmu, dan setiap satu mata pena ini menjadi simbol keimanan, ketaqwaan, ketulusan budi, keikhlasan dan kesungguhan yang menjadi asas keilmuan dan panduan untuk mencapai kejayaan.