Soalan Lazim

Apakah maksud subseksyen 44(6) akta cukai pendapatan 1967?

J: Tolakan dan pengecualian cukai kepada penderma yang menyumbang kepada Universiti dalam bentuk tunai sahaja.  Tolakan cukai tersebut diberi sebanyak maksimum 10% bagi syarikat dan 7% selain syarikat ke atas pendapatan agregate (tidak termasuk pendapatan Dividen).

 

Dimanakah maklumat Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diluluskan boleh diperolehi?

J: Maklumat boleh diperolehi melalui Portal Rasmi LHDNM di pautan berikut:

http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=2&bt_skum=6&bt_posi=1&bt_unit=8&bt_sequ=1

 

Apakah bentuk sumbangan yang dibenarkan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967?

J: Sumbangan tunai sahaja.

 

Bagaimanakah cara menyalurkan sumbangan tersebut?

J: Setiap sumbangan boleh disalurkan melalui akaun :

MAYBANK (51001302 4241)

Universiti Malaysia Sabah

 

Adakah sumbangan ini mendapat pengecualian cukai LHDN?

J: Ya.  Tolakan cukai tersebut diberi sebanyak maksimum 10% bagi syarikat dan 7% selain syarikat ke atas pendapatan agregate (tidak termasuk pendapatan Dividen).

 

Apakah dokumen sokongan yang diperlukan untuk membuat tuntutan potongan cukai pendapatan?

J: Resit rasmi yang dikeluarkan oleh UMS.

 

Bolehkah tuntutan potongan cukai dibenarkan sekiranya tiada dokumen sokongan?

J: Tidak. Setiap tuntutan sumbangan/derma perlu dibuktikan dengan dokumen sokongan yang diiktiraf sahaja.

 

Apakah dokumen yang perlu saya sertakan untuk mendapat resit berkenaan?

J: Bagi sumbangan yang diberikan melalui atas talian, dokumen seperti slip pembayaran, butiran lengkap (Nama/NamaSyarikat, Alamat/Alamat Syarikat, nombor telefon dan alamat emel.

Bagi sumbangan yang diberikan melalui CEK, perlu disertakan dengan surat makluman sumbangan yang ditujukan kepada PUSAT PELABURAN, ENDOWMEN DAN WAKAF, (CIEW) UNIVERSITI MALAYSIA SABAH.

 

Bagaimana cara saya mendapatkan resit berkenaan?

J: Setiap resit pihak kami akan sertakan bersama-sama dengan surat penghargaan sumbangan dan akan dihantar melalui pos/emel di alamat yang telah disertakan.

 

Adakah UMS yang diluluskan perlu membuat permohonan semula bagi tujuan kutipan sumbangan/derma bagi Covid-19?

J: Tidak. UMS yang telah diluluskan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 adalah layak untuk kutipan sumbangan/derma tersebut.

 

Bilakah tempoh sumbangan bagi Covid-19 dibenarkan?

J: Mulai Februari 2020 sehingga wabak ini diisytiharkan tamat oleh Kerajaan.

 

Adakah derma kepada tabung Covid-19 dibenarkan sebagai potongan cukai?

J: Ya. Sila rujuk Kenyataan media LHDNM bertarikh 26 Mac 2020 di pautan berikut:

http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/Media_LHDNM_26032020_INSENTIF_POTONGAN_CUKAI_BAGI_SUMBANGAN_KEPADA_TABUNG_COVID19.pdf

 

Siapakah pihak yang perlu dirujuk, sekiranya memerlukan maklumat lanjut berkaitan subseksyen 44(6) ACP 1967?

J:   Mohd Nazir Bin Ab Manan

Penolong Bendahari Kanan

Seksyen Pemantauan,Jabatan Bendahari 

Universiti Malaysia Sabah

No Tel: 0138738711

E-mel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

Adakah penderma layak mendapat pengecualian cukai atau rebet cukai sekiranya memberi sumbangan mana-mana tabung endowmen dan wakaf UMS ?

J: Semua penderma atau penyumbang dana dalam tabung endowmen dan wakaf UMS adalah layak untuk mendapat pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan, 1967.

 

Bagaimanakan cara untuk membuat sumbangan ke tabung-tabung endowmen dan wakaf UMS?

J: Sumbangan boleh disalurkan melalui bayaran secara  atas talian (online), atau dengan mengisi borang yang terdapat di web portal dan mengemukakan borang tersebut di kaunter Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf, UMS.

 

Adakah saya boleh membuat sumbangan ke tabung endowmen UMS melalui potongan gaji?

J: Sumbangan ke tabung endowmen UMS boleh dibuat melalui potongan gaji setiap bulan dengan mengisi borang sumbangan yang boleh dimuat turun melalui web portal Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf dan menghantar borang tersebut ke kaunter Pusat. Potongan bulanan sumbangan tersebut akan tertera dalam slip gaji.

 

Adakah saya akan menerima resit atau surat pengecualian cukai daripada pihak UMS sekiranya saya ingin membuat sumbangan tabung endowmen dan wakaf?

J: Pihak Bendahari UMS akan mengeluarkan resit dan surat pengecualian cukai kepada penderma untuk tujuan pengecualian bayaran cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan, 1967.

 

Apakah itu wakaf?

J: Wakaf ertinya berhenti (وقف), menahan (حبس), ataupun menghalang (منع) pemilikan hartanya (pewakaf) daripada sebarang urusan transaksi jual beli, pewarisan, wasiat, dan sebagainya di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dan diniatkan semata-mata kerana Allah S.W.T

Ibadah wakaf berpandukan Jumhur Fuqaha adalah satu amalan yang sangat dituntut dan ia merupakan salah satu sedekah jariah yang besar pahalanya, serta mampu mendekatkan dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T., di samping mampu mengelakkan sifat bakhil, memberikan manfaat ataupun kebaikan kepada Ummah, dan mampu menjamin harta yang diwakafkan itu berkekalan untuk jalan kebajikan dan selaras dengan hukum syarak.

 

Apakah rukun wakaf?

J: Empat rukun iaitu pewakaf (al-Wakif)harta yang diwakafkan (Muaquf)penerima wakaf (Muaquf-alaih), dan niat (Sighah).

 

Apakah jenis-jenis wakaf yang terdapat di UMS?

J: Terdapat dua jenis wakaf yang dibangunkan di UMS iaitu wakaf am dan wakaf khas. Wakaf am merupakan instrumen kewangan tunai yang diwujudkan untuk manfaat secara umum khususnya bagi tujuan pembangunan ekonomi dan kemudahan Ummah menerusi pelbagai aktiviti yang berasaskan hukum syarak. Manakala wakaf khas pula diwujudkan bagi tujuan manfaat tertentu seperti mewakafkan tanah untuk tujuan masjid, surau, sekolah agama, tanah perkuburan Islam dan lain-lain. 

 

Apakah tabung wakaf tunai pendidikan UMS?

J: Tabung Wakaf Tunai Pendidikan UMS merupakan instrumen kewangan berbentuk wakaf am yang diwujudkan selaras dengan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), bersesuaian dengan garis panduan dan pengurusan dana wakaf UniTP Purple Book (Enhancing University Income Generation, Endowment and Waqf).

 

Bolehkah berwakaf dalam bentuk wang tunai?

J: Berdasarkan Perkara 8 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007, telah menetapkan bahawa berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam.

 

Apakah tujuan utama tabung wakaf tunai pendidikan UMS?

J: Tujuan utama ianya ditubuhkan adalah sebagai platform yang mendorong kepada kecemerlangan berterusan program pendidikan dan pembangunan jangka panjang Universiti. Justeru itu, tabung ini akan bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi Ummah khususnya dalam menyediakan bantuan kewangan kepada aktiviti akademik dan hal-ehwal kebajikan mahasiswa UMS (kategori B40, ditimpa bencana, kesusahan, dan sebagainya). 

Selain itu, tabung ini juga bakal dimanfaatkan bagi membiayai sebahagian program pendidikan dan pembangunan infrastruktur jangka panjang UMS yang lestari, sebagaimana yang telah diamalkan oleh institusi-institusi pengajian khususnya di Asia Barat yang berkembang secara holistik menerusi sumbangan harta wakaf. Amalan berwakaf perlu dilaksanakan segera khususnya di Universiti Awam (UA) memandangkan kesediaan warganya untuk menyumbang dana dan harta kepada universiti masing-masing. Selain itu, mereka telah mula menyedari kepentingan UA kepada pembangunan negara yang melahirkan para intelektual dan profesional dalam pelbagai bidang kepakaran. 

Amalan berwakaf ini bukan sahaja memupuk budaya bersedekah dan pewakaf mendapat ganjaran pahala yang kekal dan berterusan, malahan menanamkan sifat taqarrub-ilallah (mendekatkan diri kepada Allah SWT), bersesuaian dengan Ayat al-Alaq [96]: 19 "Dan, sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Allah)".

 

Bagaimanakah tabung wakaf tunai pendidikan UMS ini beroperasi?

J: Tabung ini didaftar di bawah Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) Tahun 2018. Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kekal sebagai pemegang amanah tunggal bagi semua harta wakaf di Negeri Sabah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 51 Enakmen 2004

Berdasarkan kepada kesedaran tentang potensi yang dapat dijana melalui pembangunan institusi wakaf, maka MUIS dan UMS telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan menggabungkan kepakaran serta pengalaman yang dimiliki untuk membangunkan Tabung Wakaf Tunai Pendidikan UMS agar aktiviti-aktiviti UMS dapat diasaskan di bawah prinsip wakaf. 

Untuk itu, UMS dilantik sebagai Nazir Khas (mutawalli) untuk mengurus, mentadbir, membangun, menyenggara, serta memajukan tabung wakaf dan harta yang wujud daripadanya secara telus, teratur dan profesional, untuk tujuan pembangunan dan pelaburan yang memberikan kesan yang berganda kepada sosio-ekonomi masyarakat Islam secara keseluruhannya.

Kedua-dua pihak (MUIS dan UMS) akan bekerjasama di dalam melaksanakan tanggungjawab fardu ain dan memenuhi tuntutan fardu kifayah bagi mengembangkan nilai dan pulangan aset wakaf, dan manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat Islam khususnya warga UMS.

 

Bagaimanakah usaha pelaburan harta tabung ini dilaksanakan?

J: Tabung wakaf ini diurus tadbir, dikawal, dimajukan, dan didanakan secara progresif bagi membolehkan harta wakaf yang disumbangkan bukan sahaja akan berkekalan, malah berkembang agar manfaatnya dapat dinikmati secara optimum oleh pewakaf dan masyarakat Islam keseluruhannya. 

Sumbangan wakaf tunai yang diterima akan kekal bertindak sebagai modal prinsipal, yang akan dilaburkan ke dalam pasaran kewangan patuh syariah bagi mendapatkan pulangan (hibah), dan kemudiannya diagihkan kepada penerima wakaf (mawquf ‘alaih), sekali gus membolehkan pahala jariah mengalir secara berterusan kepada pewakaf (al-wakif) untuk selama-lamanya. 

 

Apakah bentuk kawalan yang dilaksanakan terhadap tabung ini?

J: Sebagaimana yang dinyatakan menerusi surat persetujuan pelantikan UMS sebagai Nazir Khas di bawah Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) 2018. MUIS kekal sebagai pemegang amanah tunggal bagi semua harta wakaf di Negeri Sabah. UMS pula bertanggungjawab untuk memastikan bahawa pentadbiran Tabung Wakaf Tunai Pendidikan UMS ini dilaksanakan secara sistematik, tersusun, berkesan dan amanah.

Setiap aktiviti penerimaan, pendanaan, agihan, dan pengurusan tabung ini perlu melalui kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Tabung Wakaf Tunai UMS yang bertanggungjawab untuk mengurus, memantau, mengawal dan mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan dana tabung. Selain itu, Lembaga Penasihat yang dipengerusikan sendiri oleh MUIS selaku pemegang amanah juga diwujudkan bagi memantau segala aktiviti tabung agar tidak bercanggah dengan hukum syarak, enakmen, mahupun peraturan-peraturan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

 

Siapakah yang layak untuk berwakaf secara potongan gaji?

J: Kakitangan akademik dan pentadbiran UMS (tetap, kontrak, sementara) yang dibayar gaji bulanan dan telah mencapai usia baligh, berakal sempurna (akal fikiran) dan waras pemikiran, memiliki harta untuk diwakafkan (pemilikan sempurna / secara keseluruhan), dan diwakafkan atas kerelaan sendiri tanpa adanya sebarang paksaan.

 

Selain potongan gaji, apakah terdapat sumber dana tabung lain yang dibenarkan?

J: Terdapat beberapa inisiatif yang dilakukan UMS bagi memperkasakan dana tabung selain daripada kaedah potongan gaji bulanan staf dan syarikat subsidiari, iaitu menerusi potongan yuran setiap pelajar UMS bagi setiap semester untuk semua setiap peringkat pendidikan, kutipan melalui program yang diadakan sama ada program khas pungutan wakaf atau program awam lain yang diadakan, kutipan awam yang dibuat oleh UMS melalui tabung kutipan atau sumbangan daripada mana-mana orang atau mana-mana pihak, ataupun lain-lain inisiatif dan promosi dengan kerjasama pihak lain yang difikirkan sesuai dan tidak bercanggah dengan hukum syarak serta mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan Negeri Sabah, Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004, Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) Tahun 2018, serta peraturan-peraturan lain yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.

 

Berapakah jumlah minimum ataupun maksimum (RM) yang disyaratkan?

J: Tidak ada sebarang had yang ditetapkan untuk berwakaf (RM) ke dalam tabung ini. Asalkan ia dibuat dengan seikhlas hati, atas kerelaan sendiri tanpa adanya sebarang paksaan, dan diniatkan semata-mata kerana Allah S.W.T. 

Walau bagaimanapun, bagi penyelarasan urusan pentadbiran penerimaan, perekodan, pengecualian cukai pendapatan, dan sebagainya, maka UMS mencadangkan jumlah minimum untuk potongan gaji adalah serendah RM3.00 (Ringgit Malaysia: Tiga sahaja).

 

Selepas bersetuju, adakah saya masih boleh untuk membuat perubahan (tambah/kurang/batal) terhadap jumlah potongan gaji bulanan saya?

J: Boleh. YBhg. Datuk, Prof./Dr./Tuan/Puan hanya perlu maklumkan secara bertulis dan faks ke 088-320602, ataupun email This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. / This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

 

Adakah saya boleh berwakaf untuk pihak lain?

J: Boleh. YBhg. Datuk, Prof./Dr./Tuan/Puan boleh berwakaf ke Tabung Wakaf Tunai Pendidikan UMS, ataupun mana-mana instrumen wakaf di UMS untuk sesiapa sahaja yang dikehendaki sama ada yang masih hidup ataupun sebaliknya.

 

Adakah sumbangan wakaf mendapat potongan/pengecualian cukai pendapatan?

J: Ya. Setiap sumbangan adalah layak untuk mendapat pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967. Jabatan Bendahari akan mengeluarkan resit secara tahunan kepada para pewakaf untuk tujuan permohonan pengecualian cukai pendapatan.

 

Apakah terdapat kaedah berwakaf yang lain?

J: Selain potongan gaji, YBhg. Datuk, Prof./Dr./Tuan/Puan juga boleh berwakaf menerusi beberapa kaedah yang disediakan seperti pemindahan langsung (direct transfer), cek tempatan, e-Dompet (BoostApp), ataupun serahan tunai di pejabat CIEW (menerusi wakil yang dilantik). 

 

Sekiranya saya enggan untuk berwakaf?

J: Tidak ada sebarang paksaan sekiranya YBhg. Datuk, Prof./Dr./Tuan/Puan enggan untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang Tabung Wakaf Tunai Pendidikan UMS, ataupun mana-mana projek wakaf khususnya melibatkan UMS – Kampus Rahmah. Setiap sumbangan wakaf perlu dibuat dengan seikhlas hati, atas kerelaan sendiri tanpa adanya sebarang paksaan, dan hanya diniatkan kepada Allah SWT. 

 

Keterangan lanjut?

J: Sekiranya memerlukan sebarang maklumat tambahan / keterangan lanjut, YBhg. Datuk, Prof./Dr./Tuan/Puan bolehlah menghubungi Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf (CIEW) di talian 088-202300 / 088-202302, menerusi faks 088-320602, ataupun email This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. / This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..