SSMP Paintball Tournament 2011
Exco Sukan dan Rekreasi Persatuan Mahasiswa Sains Makanan dan Permakanan (PMSSMP) 2011 telah menganjurkan program SSMP Paintball Tournament ataupun lebih dikenali sebagai “War Game” pada 20 Februari 2011 bertempat di Suria Sabah Shopping Complex (tingkat 8).
Objektif utama penganjuran aktiviti ini adalah:
· Melahirkan mahasiswa-mahasiswi yang sihat dan cerdas dari segi mental dan fizikal.
· Mengeratkan hubungan silaturahim serta mewujudkan sebuah ikatan yang mesra dalam kalangan warga SSMP.
· Memupuk dan menanam semangat bersatupadu, bekerjasama dan rasa bertanggungjawab di antara satu sama lain.
· Mewujudkan integrasi serta hubungan akrab dalam kalangan warga SSMP yang terdiri daripada pelbagai kaum, kebudayaan, asal usul, latar belakang dan kepercayaan.

Aktiviti ini bermula pada pukul 10.00 pagi dan tamat pada pukul 3.30 petang. Aktiviti ini merupakan kali yang kedua dijalankan dan terbuka kapada semua warga SSMP dan ianya mendapat sambutan yang memuaskan daripada mahasiswa-mahasiswi SSMP, terutamanya mahasiswa tahun 1. Aktiviti ini disertai oleh 40 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar tahun 1, 2 dan juga pelajar pascasiswa. Daripada 40 orang ini dibahagikan kepada 8 kumpulan dan setiap kumpulan tersebut mempunyai 5 orang peserta di mana mereka diberi kebebasan untuk memilih ahi kumpulan masing-masing. Yuran penyertaan bagi larian ini adalah sebanyak RM 55, dengan adanya sijil penyertaan dan bekalan minuman.
Pada hari tersebut, para peserta telah diminta berkumpul di perhentian bas kolej kediaman E pada pukul 8.45 pagi. Bas UMS disediakan oleh unit pengangkutan dan kami bertolak ke Suria Sabah Shopping Complex dari UMS pada pukul 9.00 pagi selepas mengambil kedatangan semua peserta. Perjalanan tersebut telah mengambil masa sebanyak 30 minit. Kami mendapat sambutan mesra daripada pengurus kelab paintball situ dan juga teman-temannya.

Semasa menunggu pengenalan dan penerangan lanjut tentang permainan paintball, kami telah berpeluang memerhati medan permainan tersebut dan cara persediaan sebuah medan dan juga peralatan yang diperlukan sebelum sesuatu permainan paintball diadakan. Seterusnya, pengurus itu mula memperkenalkan diri dan juga teman-temannya kepada kami secara ringkas. Mereka berperanan sebagai marshal kami dalam permainan itu. Tanpa membazir masa, beliau terus memperkenalkan permainan paintball kepada para peserta termasuklah peraturan, peralatan yang diperlukan bagi permainan tersebut. Kami memperoleh banyak pengetahuan baru terhadap permainan tersebut selepas mendapat penerangan ringkas tersebut kerana sebahagian besar daripada kami merupakan kali pertama untuk menyertai permainan paintball ini.
Selepas penerangan tersebut, maka mulalah pertandingan paintball dengan setiap kumpulan bermain sebanyak 3 pusingan. Setiap ahli peserta diberikan 300 paintballs dan pengisian semula adalah dikenakan bayaran tambahan. Pada mulanya, sebahagian besar peserta agak kurang membiasakan diri dalam permainan tersebut disebabkan kekurangan pengalaman dan juga komunikasi sesama ahli-ahli kumpulan. Selepas pusingan pertama tamat, setiap kumpulan mula berbincang tentang taktik dan strategi bermain agar dapat menang dalam pusingan yang seterusnya. Di sinilah mahasiswa dan mahasiswi dapat memupuk sikap kerjasama dan juga kepimpinan di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan orang lain. Sokongan turut diberikan sesama.
Kira-kira jam pukul 12.00 petang, hampir semua kumpulan telah menghabiskan tiga pusingan dan sampailah masa untuk masuk ke pusingan yang terakhir. Kumpulan yang berjaya masuk ke pusingan yang terakhir ialah kumpulan 1 dan kumpulan 8. Persaingan ini bertambah hebat kerana peserta-peserta sudah mula menguasai strategi dan cara bermainnya. Akhirnya, tibalah saat pengumuman keputusan pertandingan bagi kumpulan yang menang. Seperti yang dijangkakan, tempat pertama jatuhlah kepada kumpulan 1.
Secara keseluruhannya, semua peserta amat menikmati proses ini dan berharap dapat menyertai permainan paintball dalam masa yang akan datang. Walau bagaimanapun, kesilapan telah berlaku dalam pengurusan masa dan kemudahan pengangkutan. Masalah ini patut dijadikan sebagai pengajaran kepada para exco PMSSMP supaya dapat memberi khidmat yang terbaik kepada warga SSMP. Di sini, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan memberikan sokongan dalam usaha menjayakan aktiviti kali ini. Kami berharap agar dapat menganjurkan aktiviti lain yang membawa manfaat dan pengalaman baru kepada para mahasiswa serta mahasiswi SSMP. Haraplah para warga SSMP dapat meneruskan semangat perjuangan ini dalam apa jua cabaran dan dugaan yang akan dihadapi sepanjang hayat ini.