Dari Meja Pengarah

Selamat datang ke Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Universiti Malaysia Sabah. PKPP ditubuhkan pada 1hb Jun 2002 dengan dasar dan falsafahnya iaitu, “melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani, membangunkan ketahanan fizikal, mental dan spiritual pelajar, serta menanamkan semangat keyakinan dan cekal menghadapi cabaran”. PKPP bertanggungjawab mengangkat aspirasi universiti melahirkan modal insan dan sumber manusia yang berkualiti. Kualiti ini tidak hanya bergantung kepada pengetahuan akademik, lebih dari itu ianya patut diiringi dengan pengetahuan dan penguasaan kemahiran insaniah atau soft-skill, yang mampu menjulang kecerdikan dan kecemerlangan personaliti pelajar secara seimbang. Kemahiran-kemahiran ini dianggap sebagai value-added yang dapat membantu pelajar universiti menghadapi persaingan di alam pekerjaan. Beberapa elemen kemahiran Insaniah diberi penekanan dalam pembelajaran kursus Kokurikulum iaitu Kepimpinan, Kerja Berpasukan, Komunikasi, Pemikiran Kritis dan Penyelesaian masalah, dan, pembangunan moral dan pengamalan etika professional.

Pada setiap semester, PKPP menangani perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran program kokurikulum di Tiga (3) buah kampus, iaitu Kampus Induk Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus SPL Sandakan. Kursus-kursus yang di tawarkan adalah relevan dengan kehendak dan aspirasi pembangunan pelajar yang cemerlang, sesuai juga dengan sistem pembelajaran secara intergratif iaitu penguasaan kemahiran professional dan kemahiran soft-skill. Gabungan pembelajaran secara intergratif ini akan dapat membantu universiti membentuk graduan yang holistik dan berwibawa untuk melangkah ke gerbang kejayaan. Dalam konteks ini, PKPP menggalas tanggungjawab dan terus berusaha memperkasakan sistem dan struktur pembelajaran dari semasa ke semasa agar keperluan dan penguasaan kemahiran professional dan kemahiran insaniah pelajar akan seiring dengan keperluan dalam sektor pekerjaan. Menjadi harapan universiti, dengan konsep pembelajaran dan pengajaran kursus kokurikulum yang bersistematik dan berstruktur di UMS, akan dapat melahirkan graduan dan bakal pemimpin masyarakat dan Negara yang unggul dan cemerlang.

Selamat mengikuti pembelajaran kokurikulum di Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar. Di sinilah bakat dan potensi anda digilap dan dicerna agar anda akan melangkah dengan gagah sebagai pelajar universiti yang berkeyakinan dan berketerampilan.