LATAR BELAKANG PUSAT PENGURUSAN NR DAN FASILITI PERUMAHAN PELAJAR (1995-2020) Kolej kediaman Universiti Malaysia Sabah memulakan penempatan pelajar pada bulan Mei 1995, seiringan dengan bermulanya sesi pengajian akademik pertama di bangunan Kolej Komuniti Yayasan Sabah, Teluk Likas. Pada ketika itu, kolej kediaman bernaung di bawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang diketuai oleh Prof. Dr. Kamaruzaman Hj. Ampon, Dekan HEP UMS yang pertama.   Unit Perumahan dan Perkhidmatan Pelajar (UPPP) telah ditubuhkan pada Ogos 2006 selaras dengan transformasi struktur pentadbiran kolej kediaman. Penubuhan unit ini disokong oleh En. No’man Hj. Ahmad, Ketua Bahagian HEP pada ketika itu. Pada awalnya, pentadbiran UPPP adalah berasingan iaitu Unit Perumahan Pelajar diketuai oleh En. Mat Usup Hj. Rasid (Pengurus Asrama), manakala Unit Perkhidmatan Pelajar diketuai oleh En. Sahilin Marusin (Pengurus Asrama). Penggabungan pentadbiran UPPP pada November 2007 telah mewujudkan Seksyen Perumahan & Perkhidmatan Pelajar dengan pelantikan En. Mat Usup Hj. Rasid sebagai Ketua Seksyen. Seksyen ini berfungsi sebagai pentadbiran induk bagi memudahkan tadbir urus dan operasi kolej-kolej kediaman.   Seksyen ini telah dinaiktaraf menjadi Bahagian Perumahan dan Perkhidmatan Pelajar (BPPP) pada Disember 2008 yang diketuai oleh En. Roslan Gimba. Penstrukturan semula tugas pengurusan kebajikan pelajar yang sebelum ini dikendalikan oleh Bahagian Kaunseling dan Bimbingan pada tahun 2009 telah membawa perubahan nama bahagian menjadi Bahagian Perumahan dan Kebajikan Pelajar (BPKP). Pada Ogos 2010, BPKP telah diketuai oleh En. Mat Usup Hj. Rasid. Berikutan pengendalian urusan kebajikan mahasiswa khususnya urusan PTPTN dipusatkan di Bahagian Pentadbiran HEP, maka Seksyen Kebajikan Pelajar telah dipindahkan semula ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Hal Ehwal Pelajar pada tahun 2011.    Bahagian ini telah dijenamakan semula menjadi Bahagian Perumahan dan Hospitaliti (BPH) dan diketuai oleh En. Masri Judah pada bulan Januari 2012. Manakala pada bulan Januari 2014, Bahagian ini ditadbir oleh Pn. Norhanieyati Norhaizat. Bengkel penstrukturan dan penambahbaikan BPH telah membawa kepada perubahan nama bahagian menjadi Bahagian Perumahan Pelajar pada Februari 2017. Pada bulan Disember 2017, En. Alvin Azril Bin Mahat @ Mehah telah dilantik sebagai Ketua Bahagian sehingga Januari 2019.   Bahagian ini telah dinaiktaraf menjadi Pusat Perumahan Pelajar dan Hospitaliti (PPPH) pada 16 Januari 2019 melalui kelulusan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pengurusan Universiti (PBPU). En. Talib Abdullah Shani telah dilantik sebagai Pengarah PPPH selaras dengan penaiktarafan tersebut.   Selaras dengan keputusan Mesyuarat PBPU Bil.14/2020 Kali ke-246 pada 23 Jun 2020, kolej-kolej kediaman UMS telah diberikan kuasa autonomi dalam mentadbir urus penginapan pelajar di kolej kediaman. Sehubungan dengan itu, pusat ini telah diletakkan sementara di bawah kawalselia Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan dikenali sebagai Bahagian Perumahan Pelajar.   Bahagian ini dijenamakan semula menjadi Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar melalui kelulusan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pengurusan Universiti (PBPU) Bil.22/2020 Kali ke-254, berkuat kuasa pada 30 September 2020. Fungsi utama PNRF ialah mengurus dan menyelaras hal-ehwal siswa non-residen, merancang dan melaksana Pelan Pembangunan Kediaman Pelajar, serta mengkoordinasi dan menyelaras fasiliti kediaman pelajar.

Recent Posts