NAIB CANSELOR, UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS) YBHG. PROFESOR DATUK DR. KASIM HJ MANSOR RASMIKAN PEREKA 2022

KOTA KINABALU: Pertandingan Rekacipta (PEREKA) 2022 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi platform untuk ahli penyelidik dan akademik untuk mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka.

PEREKA 2022 dirasmikan oleh Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) YBhg. Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor. Program tersebut berlangsung dari 28 sehingga 30 November 2022.

Beliau berkata, pada tahun ini, sebanyak 196 inovasi dari 3 kategori iaitu Inovasi, Akar Umbi dan Sekolah yang merangkumi 10 kluster yang dipertandingkan. Bilangan ini menunjukkan peningkatan 55% dari penyertaan PEREKA UMS yang lepas.

"Peningkatan penyertaan ini memberi gambaran yang baik terhadap usaha universiti untuk membudayakan inovasi dalam kalangan kakitangan UMS khususnya pensyarah. Program tersebut selaras dengan peranan UMS iaitu sebagai pemimpin masyarakat berinovasi di dalam negara.”

"Ia juga menyediakan jaringan perhubungan di antara pihak industri sama ada
dalam atau luar negara merupakan salah satu strategi UMS untuk meningkatkan kualiti dan kerelevanan penyelidikan." katanya dalam majlis hari ini.

Dalam pada itu Profesor Datuk Dr. Kasim berkata, pertandingan yang diadakan secara konsisten tanpa gagal ini merupakan petunjuk kepada penyelidik bahawa pihak universiti amat menekankan budaya kecemerlangan penyelidikan dan inovasi sebagai salah satu bidang keberhasilan utama selaras dengan Pelan Strategik UMS 2018-2022, UMS-KRA ke-2 iaitu High Impact Research and Innovation atau Penyelidikan dan Inovasi Berimpak Tinggi.

"Penganjuran PEREKA 2022 memasuki tahun ke-14 iaitu sejak tahun 2008.

"Pemenang dalam pertandingan PEREKA berpeluang mewakili UMS ke pertandingan peringkat kebangsaan seterusnya ke peringkat antarabangsa pada tahun hadapan. Oleh yang demikian, pameran dan pertandingan sebegini amat signifikan dalam membantu melaksanakan UMS-KRA ke-2 ini” jelasnya.

“Bagi memastikan bahawa penilaian ke atas hasil inovasi UMS dilakukan secara objektif, pengadil-pengadil luar dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan industri telah dijemput untuk menjadi juri dalam pertandingan ini.”

Dalam program ini turut diadakan Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) Perlesenan Pengkomersialan 2 produk UMS yang melibatkan Biosain Technologies Sdn. Bhd. dan DrillTech Engineering Sdn. Bhd.

Seramai 77 penyelidik telah menerima insentif harta intelek dari tahun 2015-2021 sebanyak RM179,000. Penganjuran PEREKA 2022 juga selaras dengan pelan tranformasi dan pelan strategik yang akan dilancarkan pada awal tahun hadapan.