UMS JAYAKAN PERTANDINGAN REKACIPTA (PEREKA) UMS 2022, ANGKAT MARTABAT INOVASI DALAM KALANGAN PENYELIDIK DAN MASYARAKAT

KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), YBhg. Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Rekacipta (PEREKA) UMS 2022 pada 30 November 2022 (Rabu) di Auditorium, Perpustakaan UMS, Kota Kinabalu.

Majlis tersebut diadakan bagi meraikan kejayaan para penyelidik yang bertanding selama 2 hari berturut-turut. Sebanyak 73 projek inovasi menerima pengiktirafan emas di PEREKA 2022.

Pelaksanaan program ini menyediakan platform untuk warga penyelidik UMS mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka di samping menekankan budaya kecemerlangan penyelidikan dan inovasi sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama selaras dengan Pelan Strategik UMS 2018-2022, UMS-KRA ke-2 iaitu High Impact Research and Innovation atau Penyelidikan dan Inovasi Berimpak Tinggi.

Dalam majlis yang sama, YBhg. Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan turut menyampaikan 12 Anugerah Khas (Best Kluster) daripada 10 kluster serta 2 kategori lain iaitu Kategori Inovasi Akar Umbi dan Inovasi Sekolah kepada para pemenang.

Projek inovasi makanan udang kara air tawar yang bertajuk Cray-X, yang dihasilkan oleh Prof. Dr. Rossita Shapawi (Ketua Projek), Ahmad Shahroom Mohd Shah, Saleem Mustafa, Abentin Estim, Nur Fatihah Abd Halid daripada Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) telah memenangi Anugerah Terbaik Kluster Pertanian & Perhutanan (Best Cluster : Agriculture & Forestry) selain turut menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan PEREKA 2022 (Best of The Best Award).

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMS, YBrs. Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Ketua Pustakawan, YBrs. En. Md Sazali Md Salleh; Pengarah, U-Science UMS, Encik Zawawi Tiyunin; Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP), Prof. Madya Dr. Jidon @ Adrian Janaun, pegawai-pegawai utama serta para Dekan dan pengarah Fakulti dan Pusat.

#UMSKampusRahmah
#BertekadCemerlang