UNIVERSITI MALAYSIA SABAH, 23 JUN – Seramai 312 pelajar baru dari Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS telah berjaya menamatkan minggu orientasi mereka  dengan berakhirnya majlis lafaz ikrar dan angkat sumpah. PPST mengalu-alukan kedatangan para pelajar baru menyertai  warga UMS di bawah Program Asasi Sains sesi 2018/2019.

Pengambilan pelajar kali ini merupakan kohot yang kesembilan di mana buat julung kalinya kemasukan pelajar baru bagi sesi ini mencatatkan angka yang jauh lebih besar dari sesi sebelumnya. Minggu orientasi atau lebih dikenali sebagai Minggu Suai Mesra (MSM) berlangsung selama empat hari bermula 20 Jun 2018. Sepanjang tiga hari yang pertama,  para pelajar menjalani proses pendaftaran, menghadiri ceramah akademik dan taklimat ringkas tentang cara-cara untuk menyesuaikan diri dalam suasana pembelajaran yang baharu dan peraturan-peraturan dalam universiti. Manakala pada hari keempat, berlangsungnya Majlis Penutupan MSM tersebut.

Pengarah PPST, Prof Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad, dalam ucapan alu-aluannya berkata, menyambung pelajaran dalam Program Asasi Sains merupakan sebuah proses peralihan daripada budaya pembelajaran di sekolah kepada suasana pembelajaran di institut pengajian tinggi. Ujar beliau, sepanjang proses tersebut para pelajar akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan salah satunya ialah menyesuaikan diri dalam suasana persekitaran yang baru. Beliau juga menekankan kejayaan para pelajar bergantung kepada sikap dan ketabahan para pelajar dalam menangani cabaran-cabaran tersebut sepanjang tempoh pengajian. Beliau juga berkata, sikap para pelajar yang menyumbang kepada kejayaan mereka juga boleh menjadi punca kejatuhan mereka terutamanya jika mereka cuai dan mengabaikan pelajaran mereka.

Majlis penutupan tersebut dirasmikan oleh Professor Dr. Rasid Mail, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS. Beliau mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar baru untuk menjadi sebahagian darpadai warga UMS. ”Universiti Malaysia Sabah telah berjaya melahirkan ramai graduan yang berpengetahuan luas dan berkualiti tinggi. Oleh itu, para pelajar di sini mestilah memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti seperti bimbingan oleh para tenaga pengajar dan peluang belajar dalam suasana mesra inovasi”. Beliau juga mengulas lanjut  tentang kepentingan untuk belajar bersungguh-sungguh dan bekerjasama antara satu sama lain dalam menjayakan misi dan visi universiti agar sentiasa memacu ke hadapan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah para pensyarah, ketua-ketua jabatan dalam Fakulti Sains dan Sumber Alam dan para kakitangan dari pelbagai jabatan dalam UMS. Majlis Penutupan Minggu Suai Mesra (MSM) tersebut diakhiri dengan sesi bergambar dengan para pelajar dan jemputan yang hadir.

Please publish modules in offcanvas position.