Kota Kinabalu, UMS – Tidak kurang hebatnya seperti pilihan raya sebenar, itulah yang dapat kita saksikan sepanjang tempoh berkempen oleh calon-calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Asasi Sains Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2018/2019. Kematangan calon dan penyokong  jelas kelihatan sepanjang minggu berkempen sehinggalah pada hari pengundian. Seramai 12 pelajar telah dinamakan sebagai calon MPP pada tahun ini. Hari pengundian yang dinanti dengan penuh debaran dan keterujaan oleh calon-calon dan penuntut Asasi Sains UMS telah pun tiba.

          Pada 27 Julai 2018 bersamaan hari Jumaat telah diadakan Hari Pengundian bagi “Yang Di-Pertua” Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Asasi Sains bagi sesi 2018/2019. Proses pembuangan undi dijalankan di Bilik Tutorial 1 bertempat di Bangunan Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) bermula jam 9.00 pagi sehingga 3.00 petang. Kira-kira 300 pelajar Asasi Sains menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi calon pilihan mereka. Keputusan tidak rasmi diumumkan pada hari yang sama jam 4.25 petang melalui medium media sosial rasmi Asasi Sains sesi 2018/2019.

          Keputusan rasmi dan majlis watikah pelantikan MPP Asasi Sains sesi 2018/2019 telah diadakan pada 30 Julai 2018, Isnin di Bilik Kuliah 1 pada jam 10.00 pagi. Keputusan rasmi diumumkan oleh Timbalan Pengarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Dr. Sitty Nur Syafa binti Bakri di hadapan kira-kira 300 pelajar Asasi Sains. Beliau telah mengumumkan bahawa sebanyak tiga undi adalah undi rosak. Pelajar hanya dibenarkan untuk mengundi seorang calon sahaja dan semua calon diberi kebenaran untuk terlibat dalam proses pengundian. Calon Eliezer Nevall Anthony  telah memenangi undian dengan jumlah undian sebanyak 67 undian seterusnya dilantik sebagai Yang Di-Pertua MPP Asasi Sains sesi 2018/2019. Calon M.Afiq Afkar dilantik sebagai Timbalan Yang Di-Pertua dengan jumlah undian kedua tertinggi iaitu sebanyak 64 undian. Dengan jumlah undian sebanyak 38 undi, calon Dania Hamizah binti Amir Rizwan dilantik sebagai Setiausaha.

             Dalam pada itu, calon Fadlin Ammar bin Pariamiskal dengan jumlah undian sebanyak  31 undian dilantik sebagai bendahari manakala calon Fatin Junaidah binti Mohamad Fazli dilantik sebagai Timbalan Setiausaha bagi MPP Asasi Sains 2018/2019. Sebanyak tujuh Exco ditubuhkan pada tahun ini iaitu Exco Keselamatan di bawah pimpinan calon Lim Teong Lung, Exco Kebajikan dipimpin oleh calon Bohairy bin Mohamad Nazri, Exco Kokurikulum dipimpin oleh calon Wan Aisyah binti Wan Mustafa, Exco Akademik di bawah pimpinan calon Izyan Hamizan bin Izzuddin, Exco Kerohanian dipimpin oleh calon Nurul Izzati Asyiqin binti Ahmad, Exco Protokol dan Tugas-tugas Khas di bawah pimpinan calon Muhammad Firdaus bin Razali, dan Exco Multimedia dan Penerbitan dipimpin oleh calon Nur Ameera Farhana binti Mohamed Sabri.

             “Saya berharap agar semua pelajar AUMS9 dapat saling menolong dan bekerjasama antara satu sama lain di mana kita semua akan hidup sebagai satu keluarga yang besar dan erat.Kita perlu saling mendorong dan membangun untuk mencapai kejayaan di Asasi Sains Universiti Malaysia Sabah,”ujar Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Asasi Sains sesi 2018/2019.Dengan pelantikan ahli-ahli MPP Asasi Sains sesi 2018/2019,diharapkan kebajikan pelajar asasi dapat dijaga dengan baik dan perhubungan antara pelajar dengan pihak pentadbiran PPST dapat dilaksanakan dengan mudah dan efisien.Pertubuhan Majlis Perwakilan Pelajar mampu meningkatkan tahap kepimmpinan dan kematangan pelajar Asasi Sains Universiti Malaysia Sabah.

Please publish modules in offcanvas position.