Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) secara julung kalinya telah mengadakan pertandingan debat ala parlimen Bahasa Inggeris yang telah disertai oleh lima kumpulan, di mana setiap kumpulan dianggotai seramai 3 orang ahli. Pertandingan tersebut diadakan secara berperingkat iaitu pusingan awal, pusingan separuh akhir dan seterusnya pusingan akhir.

Pusingan awal diadakan pada 19 Januari 2019 bertempat di Bilik Tutorial 3 dan 4, PPST. Isu yang dibahaskan bertajuk “This House Regrets the Severity of Global Warming”. Terdapat dua sesi pertandingan yang berlangsung pada pusingan ini. Pusingan awal (sesi pertama) telah dimenangi oleh kumpulan yang diketuai oleh saudara Shivendra A/L Ravi dan secara tidak langsung melanjutkan mereka ke pusingan separuh akhir. Dalam pada itu, saudara Shivendra telah dinobatkan sebagai pembahas terbaik. Pada sesi kedua pula, kumpulan debat yang diketuai oleh saudara Pg Mohd Rafi Aiman Ajadjelin@Ismail telah muncul juara dan berjaya lanjut ke pusingan separuh akhir. Pada sesi ini, saudari Azilah Boseng telah dinobatkan sebagai pembahas terbaik. Kumpulan yang diketuai oleh saudara Jarron Yong jae Van pula telah mendapat kelayakan automatik untuk terus ke peringkat separuh akhir tanpa bertanding pada pusingan awal.

Pusingan separuh akhir berlangsung pada 26 Januari 2019. Sebanyak tiga kumpulan berentap pada pusingan ini menyebabkan sistem penentuan kelayakan ke pusingan akhir di buat melalui kiraan jumlah merit menang dan kalah yang dikutip oleh setiap kumpulan. Sesi pertama yang berlangsung pada sebelah pagi memperlihatkan perlawanan sengit di antara kumpulan yang diketuai oleh saudara Jarron dan saudara Shivendra. Topik yang dibahaskan bertajuk “This House Regrets Censoring Parts of the Media”. Pemenang sesi ini adalah kumpulan saudara Jarron, seterusnya beliau telah dinobatkan sebagai pembahas terbaik. Pertandingan sesi kedua yang berlangsung pada sebelah tengah hari di antara kumpulan saudara Shivendra dan saudara Pg. Mohd Rafi Aiman membahaskan tajuk “This House Believes That Cigarettes Should be Banned from Society”  telah dimenangi oleh kumpulan saudara Shivendra yang juga telah merangkul gelaran sebagai pembahas terbaik. Sesi terakhir mempertemukan kumpulan saudara Jarron dan Pg. Mohd Rafi Aiman.  Isu yang dibahaskan pada pusingan ini bertajuk “This House Believes That Genetically Modified Food Causes more Harm than Good”.  Pusingan ini sekali lagi telah dimenangi oleh kumpulan saudara Jarron sekaligus telah dinobatkan sebagai pembahas terbaik. Melalui sistem merit ini, kumpulan debat saudara Jarron dan Shivendra telah layak ke pusingan akhir.

Pusingan akhir telah berlangsung pada 2 Februari 2019 bertempat di Dewan Kuliah Pusat 1, UMS. Pelajar asasi serta para ibu bapa telah hadir untuk memberikan semangat dan sokongan kepada kumpulan yang bertanding. Isu yang dibahaskan buat pusingan akhir ini bertajuk “This House Would Allow Transferring Human Consciousness into A Synthetic Body” yang mana kumpulan saudara Shivendra telah bertanding sebagai pihak kerajaan manakala kumpulan saudara Jarron bertanding sebagai pihak pembangkang. Pada pusingan ini, kumpulan debat mewakili pihak pembangkang telah muncul juara manakala pendebat terbaik telah dianugerahkan kepada saudara Shivendra A/L Ravi.

          Pertandingan ini telah diadakan dengan harapan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar asasi sains untuk menyertai arena debat dengan menjadikan Menteri Belia dan Sukan Negara, iaitu YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman sebagai salah seorang inspirasi. Melalui aktiviti ini, para peserta berpeluang mengasah kemahiran untuk berfikiran secara kritis, kemahiran menguasai Bahasa Inggeris serta meningkatkan keyakinan para peserta dalam aspek pengucapan awam. Akhir kata, pertandingan bahas yang diadakan secara julung kalinya pada tahun ini diharap dapat diteruskan oleh pelajar asasi sains UMS pada sesi hadapan.

Please publish modules in offcanvas position.