Duta Besar Romania Teroka Hubungan Dua Hala UMS Dan Universiti Di Romania

Print

 

Duta Besar Romania ke Malaysia dan Brunei Darussalam, Nineta Barbulescu berhasrat untuk meneroka potensi jalinan hubungan dua hala antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan universiti-universiti di Romania.

Katanya, beliau optimis bahawa kolaborasi antara universiti di Malaysia khususnya UMS bersama universiti yang terdapat di Romania mampu direalisasikan dengan mengambil kira wujud beberapa persamaan yang boleh dijadikan sebagai permulaan kepada hubungan yang bakal dibina.

“Sebagai contoh, di Romania kita ada sejenis skaf yang dipanggil batik, dan secara kebetulan, di Malaysia juga skaf ini diperbuat dari kain batik.

“Persamaan ini sungguh unik apabila saya pertama kali sampai ke Malaysia dan saya membeli dan memegang sendiri kain batik yang memang ada persamaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sesi kunjungan Duta Besar Romania ke UMS. Nineta yang ditemani oleh suaminya, Dan Barbulescu disambut oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Shahril Yusof bersama-sama Dekan-Dekan Fakulti dan Pengarah-Pengarah Pusat UMS.

Nineta yang dilantik sebagai Duta Besar Romania pada bulan Mac 2021 turut memaklumkan bahawa UMS adalah universiti awam yang ke 16 dilawatinya.

“Ini merupakan lawatan kali kedua saya ke negeri Sabah, dan kali pertama ke UMS.

“Kesemua universiti awam di Malaysia yang saya lawati sememangnya mempersona dan memiliki keunikan yang tersendiri, termasuk UMS yang mempunyai kelainan yang ketara kerana merupakan satu-satunya universiti awam yang berpusat di Sabah,” katanya.

Beliau menambah, keindahan flora dan fauna, biodiversiti yang masih kukuh terpelihara dan sumber marinnya yang sangat kaya dan belum terusik menyebabkan beliau berminat untuk memadankan UMS dengan universiti-universiti di Romania.

“Bahasa Romania dan Bahasa Melayu juga dari segi linguistiknya adalah memiliki fonetik atau selok-belok bunyi bahasa yang hampir serupa, kerana bahasa Romania berasal dari rumpun bahasa Romawi.

“Terdapat beberapa lagi persamaan lain yang jika diteroka dengan lebih mendalam akan mewujudkan peluang yang baik untuk diselidik dengan lebih terperinci menerusi kolaborasi antara universiti yang bakal berlangsung kelak,” katanya.

Nineta turut menyatakan keyakinannya bahawa kolaborasi yang bakal dirintis itu juga akan membuka peluang kepada lebih ramai penyelidik tempatan khususnya dalam kalangan pelajar pascasiswazah untuk menimba ilmu merentasi benua Eropah.

“Antara aktiviti yang diusulkan adalah seperti mobiliti pertukaran pelajar, kajian penyelidikan, gabungan kepakaran antara UMS dan universiti di Romania, program pembelajaran secara atas talian dan lain-lain lagi,” ujar beliau.

Pada sesi kunjungan tersebut, Nineta diberikan taklimat ringkas berkenaan UMS yang disampaikan oleh Shahril, serta turut juga dibawa melawat sekitar UMS bagi menyaksikan sendiri keindahan panorama kampus UMS.