Kolej AB Kongsi Ilmu Kepada Bakal Mahasiswa

Print
Kongsi Ilmu ABISNIN, 31 MAC – Seramai 50 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan pelajar lepasan STPM dari beberapa sekolah menengah sekitar Sabah telah menyertai  Program Ilmu Seiring Maju II (PRISMA II) yang berakhir pada Ahad.
 
Program itu yang dianjurkan Exco Akademik dan Kerjaya Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Anugerah Bestari (AB) dengan Kerjasama Sekretariat Rakan Muda Institut Pengajian Tinggi (IPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diadakan selama tiga  hari di kolej berkenaan.
 
Menurut Pengetua Kolej AB, Fauzie Sarjono; penganjurannya antara lain bertujuan mempromosi UMS kepada pelajar luar bandar selain sebagai pendedahan awal mengenai kehidupan seseorang yang bergelar mahasiswa.
 
“Ia juga bagi memberi maklumat berkaitan hala tuju kemasukan ke universiti melalui permohonan Unit Permohonan Universiti (UPU) serta penerangan berkaitan permohonan biasiswa di samping penerapan nilai-nilai kepimpinan dan membentuk kekuatan fizikal peserta,” ujarnya.
 
Beliau berkata, PRISMA II dianjurkan bertepatan dengan keperluan semasa apabila pada bulan September IPT di seluruh Malaysia akan menerima kehadiran siswa siswi baharu yang berjaya melanjutkan pengajian.
 
"Pelajar pada era ini diberikan pelbagai kelebihan berbanding pelajar dahulu ketika era saya. Hari ini kita menyaksikan lambakan dorongan program yang diadakan oleh pelbagai pihak bagi memberikan nilai keintelektualan kepada masyarakat setempat. Maka, JAKMAS di bawah Exco Akademik dan Kerjaya tampil atas nilai kesedaran untuk memberikan beberapa tips pendidikan menerusi penganjuran PRISMA II,” tambah Fauzie.
   
PRISMA II merupakan kesinambungan PRISMA I yang diadakan di Pantai Resort Membakut pada 2013. Antara sekolah yang turut serta ialah SMK Putatan, SMK Abdul Rahim Kudat, SMK Kota Marudu, Maktab Sabah, SMK Pengiran Omar Sipitang dan SMK Kudat 2. –SM & SS
 

Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori
 
Sumber: Kolej AB