Timbalan Naib Canselor UMS Temui Pensyarah FKAL

Print
TNC lawat FKALRABU, 10 JUN - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. D. Kamarudin D. Mudin mengadakan lawatan rasminya yang pertama ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), hari ini.

Ketika berada di kampus berkenaan, beliau mengadakan perjumpaan dengan pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang diketuai Dekannya, Prof. Madya Dr. Syed Nasirin Syed Zainol Abidin.

Perbincangan dua hala yang diadakan di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Aras 11, Bangunan Menara itu berjalan dengan lancar sambil pensyarah mengutarakan pelbagai isu yang berkaitan pembelajaran dan pengajaran.

Turut dibincangkan isu-isu berkaitan akademik, latihan industri dan kebajikan pensyarah FKAL.

Dr. Kamarudin juga meminta FKAL mengemaskini laman web mereka bagi memudahkan pelajar baru yang berminat memasuki UMS mendapat maklumat yang tepat dan terkini mengenai fakulti tersebut.

Pada masa sama, beliau berharap pensyarah akan membantu dekan mengadakan promosi ke beberapa universiti luar negara untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian tinggi mereka ke UMS khususnya Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan.

“Jika ada sebarang masalah berkaitan pentadbiran termasuk perjawatan, pihak FKAL boleh mengadakan dialog dengan Jabatan Pendaftar supaya lebih banyak maklumat yang terkini dapat diperolehi,“ katanya. –SS


Bahagian Media dan Citra
Sumber: Azri Onn