UMS dan ULink Agro-Based Sdn. Bhd Menandatangani Perjanjian Produk Tongkat Ali (ALife)

Print

MoA UMSLinkRABU, 27 MAC - Para penyelidik digesa agar lebih kreatif dan inovatif dalam melaksana penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ia kerana usaha tersebut merupakan antara elemen penting bagi memastikan pencapaian serta kebolehpasaran sesuatu produk yang dihasilkan.

Naib Canselor Universiti  Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, berkata penekanan terhadap kepentingan R&D  itu bukan sekadar teori semata-mata malah mengimbangi elemen amali sekaligus menyumbang kepada pengkomersilan produk yang untuk pembangunan sumber ekonomi.

Beliau berucap demikian pada Majlis Menandatangani Pengkomersilan dan Perjanjian Pelesenan produk ‘Alife’ antara UMS dan Ulink Agro-Based Sdn. Bhd.

Perjanjian tersebut ditandatangani Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Dr. Felix Tongkul bagi pihak UMS, manakala bagi pihak Ulink Agro-Based Sdn. Bhd, diwakili Pengerusinya, Datuk Jurij Yaccob dan Ketua Pegawai Operasi, UMS Link Holdings Sdn. Bhd. Wan Mohd Azeelan Haji Adnan.

Perjanjian tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan UMS Link Holdings Sdn. Bhd, Datuk K.Y. Mustafa, Bendahari UMS, Tuan Haji Rizal Othman dan Pengarah Urusan Kumpulan  Suria Capital Berhad merangkap  Pengarah UMS Link Holdings Sdn. Bhd dan ahli Audit Dalaman & Pengurusan Risiko ULink, Datuk Dr. Mohamed Fowzi Hassan Mohamed Razi.

Sementara itu, mengenai perjanjian tersebut, pihak UMS amat menghargai kesediaan UMS Link Holdings Sdn. Bhd. melalui anak syarikatnya ULink Agro Based Sdn. Bhd. untuk bekerjasama dalam mengkomersilkan produk harta intelek (IP) dan teknologi hasil ciptaan para penyelidik UMS.

Perjanjian tersebut melibatkan penghasilan produk kesihatan dijenamakan sebagai ‘ALife’ yang merupakan makanan tambahan berupa kapsul Tongkat Ali atau dikenali sebagi Eurycoma Longifolia menerusi kajian dan penyelidikan pengasasnya, Awang Ahmad Yunus dari Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa UMS.

Pada majlis itu, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah turut menerima replika cek berjumlah RM 30,000 daripada Pengerusi ULink Agro-Based Sdn. Bhd, Datuk Jurij Yaccob sebagai bayaran yuran pelesenan eksklusif  kepada UMS.

 

Oleh: Faezah Mohamad Dun

Foto: Musaab Umair

Seksyen Penerangan dan Media Bahagian Perhubungan Korporat