UMS Ungguli Pertandingan AQC 2020

Cetak

 

KOTA KINABALU - Selepas muncul naib johan dalam pertandingan North Borneo International Intervarsity Open: The Alcohol Debate (TAD) yang berlangsung secara atas talian baru-baru ini, kumpulan pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus gah dalam pertandingan peringkat antarabangsa.

Kali ini, kumpulan ABBA yang terdiri daripada pelajar tahun dua program perubatan, Nurul Firzanah Mohd Darwis, Kuhaneshvaren A/L Elanggovan, Sim Si Ming dan Jivanarajahn Rajendra Kumar, mengungguli pertandingan Asia-Pasific Quiz Champioship (AQC) 2020 apabila berjaya muncul johan bagi kategori Novice.

Mereka menewaskan pencabar dari Singapura, Aakhir Q dalam pertandingan akhir, manakala satu lagi pasukan dari Malaysia, The Goal Diggers mendapat tempat ketiga.

Kumpulan ABBA turut cemerlang dalam pertandingan tersebut apabila mengekalkan rekod tanpa kalah, menewaskan tiga pasukan dari India dan Malaysia dalam pusingan kelayakan, sebelum menewaskan satu lagi pasukan dari Malaysia dalam perlawanan separuh akhir bagi mengesahkan tempat di perlawanan akhir.

Suasana pertandingan akhir yang penuh tegang dramatik menyaksikan kumpulan pelajar FPSK telah menewaskan pencabar Singapura yang lebih berpengalaman dan mempunyai purata usia hampir dua kali ganda dari mereka untuk muncul johan pertandingan AQC buat julung kalinya.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FPSK, Prof. Madya Dr. Azizan Omar dalam pada itu memuji pencapaian pelajar-pelajar FPSK tersebut yang begitu produktif dalam mencapai pencapaian cemerlang dalam pertandingan yang disertai.

“Barisan pelajar ini juga yang muncul naib johan dalam pertandingan TAD baru-baru ini, dan yang lebih membanggakan, mereka menewaskan peserta dewasa yang lebih berusia daripada mereka,” katanya.

Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree turut menyatakan rasa bangga atas pencapaian cemerlang pelajar FPSK yang muncul pemenang bagi pertandingan peringkat Asia.

“Ini menunjukkan pelajar perubatan UMS mempunyai daya pengetahuan pada tahap tinggi dan mampu menterjemahkan segala pengetahuan dengan pencapaian yang baik apabila menyertai pertandingan kuiz bertaraf dunia,” ujar Prof. Mohammad Saffree.

AQC merupakan pertandingan tahunan yang dimulakan sejak 2012 dan melibatkan peserta-peserta dari Asia Pasifik seperti Singapura, Filipina, India, Australia dan New Zealand.

Pertandingan tersebut sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah yang terpilih sebagai tuan rumah pada tahun ini, namun atas faktor kekangan akibat Pandemik Covid-19, pertandingan tersebut diadakan secara atas talian dengan pasukan penganjur pertandingan berpusat di Kota Kinabalu.

Pada tahun ini juga pertandingan tersebut dipecahkan kepada dua kategori, iaitu kategori Pro dan kategori Novice bagi meluaskan penyertaan dalam pertandingan kuiz yang kompetetif.

Peringkat akhir pertandingan AQC kategori Pro berlangsung pada 2 Januari dan berakhir pada 3 Januari.