EXCOCIPTA 2020 UMS Medan Ahli Akademik Tonjol Kreativiti dan Inovasi

Cetak

SELASA, 26 JANUARI – EXCOCIPTA UMS (Ekspo Kecemerlangan Reka cipta Univeresiti Malaysia Sabah) 2020 merupakan acara tahunan untuk mempromosikan penemuan dan inovasi pembangunan hasil penyelidikan yang melibatkan UMS, komuniti setempat dan antarabangsa.

Ia merupakan platform bagi memperkukuh dan memberi peluang kepada penyelidik menerusi kaedah latihan, bengkel dan jaringan serta hubungan dengan pihak berkepentingan.

Matlamat utama penganjuran EXCOCIPTA 2020 UMS untuk mendorong dan melancarkan inovasi helix quaruple yang akan memberi manfaat kepada kerajaan, ahli akademik, industri dan masyarakat.

EXCOCIPTA 2020 UMS berlangsung bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2021 secara maya, dengan acara Capacity Building akan diadakan secara dalam talian setiap bulan.

Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI) UMS selaku penganjur utama EXCOCIPTA 2020 julung kalinya menggabungkan tiga acara utama iaitu Pertandingan Reka cipta (PEREKA), Kolokium KONCEPP (UMS Co-FA) dan Anugerah Penyelidik UMS (APUMS).

Majlis Perasmian EXCOCIPTA UMS 2020 dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin secara maya menerusi laman facebook rasmi @UMS.official dan juga saluran YouTube UMSNet baru-baru ini.

Taufiq dalam ucapannya menegaskan hasil penyelidikan dan inovasi oleh penyelidik UMS mempunyai kualiti dan mampu mendapat perhatian industri tempatan. Ini dibuktikan peningkatan jumlah penyertaan dan kejayaan hasil penyelidikan dan inovasi yang dipertandingkan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sepanjang 2019 dan 2020.

Untuk rekod pemenang PEREKA UMS 2019 telah memenangi satu anugerah khas, satu emas dan dua gangsa dalam pertandingan Malaysia Technology Expo (MTE) 2020 Kuala Lumpur.

UMS terus cemerlang di 30th International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2020 dengan membawa pulang satu anugerah Khas dalam katergori Malaysia Innovative Product Award, lapan emas dan 2 perak.

Seterusnya mereka ini akan mewakili UMS ke pertandingan di peringkat antarabangsa bagi tahun ini di International Trade Fair Ideas - Inventions - New Products (IENA), Nuremberg, German dan Seoul International Invention Fair (SIIF), Seoul, Korea.

Taufiq menambah, selain memenangi pelbagai anugerah, UMS juga telah berjaya memperoleh kerjasama pengkomersilan perlesenan untuk beberapa produk inovasi, selari dengan keperluan penjanaan pendapatan UMS.

“Hasil pengkomersilan, sama ada dalam bentuk yuran, lesen, royalti dan seumpamanya turut menyumbang kepada penjanaan pendapatan universiti.

“Kejayaan kerjasama pengkomersilan ini diharap akan memberikan semangat kepada para penyelidik UMS untuk terus berusaha memajukan hasil penyelidikan dan inovasi yang berkualiti untuk diterima pakai oleh masyarakat dan juga industri,” kata Taufiq.

Dalam pada itu, Taufiq menjelaskan, EXCOCIPTA merupakan gabungan tiga aktiviti iaitu PEREKA 2020, Konvensyen Penyelidikan dan Pengkomersilan (KONCEPP) 2020 dan Anugerah Penyelidikan UMS (APUMS).

“KONCEPP bermatlamat untuk meningkatkan kemampuan dan peluang para pensyarah dan peserta dalam bidang penyelidikan, penerbitan, dan pengkomersilan melibatkan enam acara utama berbentuk persidangan, ceramah, dan bengkel iaitu Colloquium, Winning Proposal, High Impact Paper, Quadruple Helix Research, Business Pitching, dan Meet and Greet.

“Kemuncak bagi acara EXCOCIPTA UMS 2020, Malam APUMS yang akan meraik dan mengiktiraf kecemerlangan ahli akademik UMS dalam aspek penyelidikan, penerbitan, dan pengkomersilan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul memberitahu, PEREKA 2020 yang berlangsung bermula Ogos hingga Disember 2020 berjaya menghimpunkan 144 produk inovasi dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) negara.

“Dari 144 penyertaan, 125 penyertaan daripada penyelidik UMS, 4 dari Universiti Kebangsaan Malaysia, 9 dari Universiti Malaysia Kelantan, 1 dari Universiti Malaysia Terengganu, 3 dari Institut Kemahiran MARA, dan 2 dari Southern University College.

“Berbeza sebelum ini, PEREKA 2020 membuka penyertaan kepada institusi luar menjadikan penganjurannya bertaraf kebangsaan, selain mempertandingkan produk inovasi sepenuhnya serta teknologi-teknologi yang sedang dibangunkan,” ujar Ramzah.

PEREKA 2020 menyaksikan sejumlah 19 produk mendapat pengiktirafan bagi pemenang pingat emas, manakala 47 produk menerima pingat perak, dan 39 produk mendapat pingat gangsa.

Untuk maklumat lanjut berhubung aktiviti EXCOCIPTA UMS 2020 boleh layari laman sesawang excocipta.online.